Friday, 10 July 2015

Lasernya Mulut Dia Bab 1

Kudin yang sedang memandu mengintai kelibat Tan Sri Hasan di balik cermin pandang belakang. Kelihatan Tan Sri Hasan sedang termenung panjang. Kudin perasan dengan sikap Tan Sri Hasan yang asyik termenung sejak kebelakangan ini.
“ Termenung panjang, Tan Sri,” tegur Kudin, pembantu peribadi setia Tan Sri Hasan sejak 15 tahun lalu.
Tan Sri Hasan mendenggus lemah. Selemah hatinya tatkala ini.
“ Akhir-akhir ini saya asyik teringatkan arwah Amin,” luah Tan Sri Hasan tanpa berselindung lagi. Kudin sememangnya mengenali Amin dan mengetahui tentang kisah Amin.
“ Perkara yang sudah lepas tu biarlah berlalu,” kata Kudin.
“ Apa yang telah saya lakukan dahulu tidak boleh ditebus dengan apa-apa pun. Saya menyesal,” kata Tan Sri Hasan.
“ Kalaulah saya tidak tamakkan harta dunia dahulu, pasti semua ini tidak akan terjadi,” luah Tan Sri Hasan lagi. Suaranya kedengaran serak. Dia hampir menitiskan airmatanya. Penyesalan yang ditanggungnya ini begitu dalam sehingga telah memakan dirinya sendiri.
“ Tan Sri, jangan terlalu fikirkan sangat. Tan Sri tu kan sakit. Nanti penyakit Tan Sri bertambah teruk,” nasihat Kudin.
“ Kalau saya mati kelak, macamana saya nak berjawab dengan Allah,” keluh Tan Sri Hasan.
Kudin terdiam. Sedih hatinya apabila mendengarkan bicara Tan Sri Hasan itu. Dia faham bebanan perasaan yang ditanggung oleh Tan Sri Hasan.
“ Tan Sri ada mencari keluarga arwah Amin?” Tanya Kudin.
Tan Sri Hasan mengeluh. Keluhan yang mengambarkan betapa tersiksanya batin Tan Sri Hasan tatkala ini.
“ Saya tak berani nak mencari mereka. Saya tak berani untuk berhadapan dengan dosa saya,” kata Tan Sri Hasan lemah. Pandangannya ditebarkan kepada jalan raya yang lengang. Matanya berlinangan dengan jernihan airmata. Perasaan yang mencengkam ini telah membunuh nikmat kehidupannya.
Kudin juga turut mengeluh. Dia bagaikan dapat menyelami kesakitan yang sedang ditanggung Tan Sri Hasan tatkala ini.
“ Beginilah Tan Sri. Biar saya cari mereka,” cadang Kudin.
Tan Sri Hasan yang sedang membuang pandang di luar terus sahaja memberikan tumpuan kepada Kudin yang setia dengan pemanduannya.
“ Buat apa?” tanya Tan Sri Hasan tidak mengerti. Ada ketakutan yang mula bergayut di hatinya tatkala ini. Bagaimana jika keluarga arwah Amin tidak mahu memaafkannya? Tan Sri Hasan mengeluh lemah. Dia sudah tidak termampu untuk berfikir jauh lagi tentang keluarga arwah Amin.
“ La Tan Sri boleh tanya lagi? Mestilah untuk meminta maaf. Daripada Tan Sri asyik menghukum diri Tan Sri begini, lebih baik Tan Sri berjumpa dengan mereka dan memohon maaf,” ujar Kudin panjang lebar.
“ Mahukah mereka memaafkan saya? Saya ni banyak berdosa kepada mereka. Saya tak layak dimaafkan,” kata Tan Sri Hasan terus tertunduk menyesali diri dan menghukum hati atas apa yang sudah berlaku.
“ Insyalah Tan Sri, kita cuba dulu. Yang penting kita kena cari keluarga arwah dulu,” kata Kudin.
Tan Sri Hasan mengangguk. Hatinya terhiris pilu. Hampir sepuluh tahun dia menanggung perasaan ini sendirian. Tiba-tiba airmatanya mengalir laju. Perasaan sebaknya tidak dapat dibendung lagi.
“ Kudin, tolong saya. Tolong cari mereka. Saya sebenarnya sudah tidak sanggup lagi hidup dalam perasaan ini. Saya sudah tidak sanggup,” luah Tan Sri Hasan, pilu. Ya Allah, berikanlah sedikit ketenangan untukku kali ini. Ia sudah lama tidak ku kecapi.
Luluh hati Kudin apabila mendengarkan bicara tersebut.
“ Insyalah, saya cuba Tan Sri,” ujar Kudin, lemah.

No comments:

Post a Comment