Tuesday 19 June 2012

Sisa Cinta Kita Bab 10


“ Aqif…Aqif…tu Cik Nyet!” Kata Kamarul sambil menunding jarinya ke arah Qisha yang sedang duduk bersembang di hadapan foyer Fakulti Kejuruteraan.
Aqif dan Wahid segera mengalih pandang ke arah yang dimaksudkan Kamarul itu. Mereka sama-sama tersenyum sambil mengangkat kening masing-masing. Kemunculan Qisha itu telah mengembirakan hati mereka. Terubat kebosanan mereka yang sebenarnya sudah letih dengan perkuliahan sepanjang hari ini.
“ Jom kacau!” Kata Aqif yang gemar mencari fasal.
Huluran maafnya di bilik Encik Arshad suatu masa dahulu hanyalah sekadar untuk melepaskan dirinya dari hukuman. Keinsafan masih belum timbul dalam dirinya apatah lagi perbuatan menyakat orang sudah sebati dalam dirinya.
Wahid dan Kamarul yang sememangnya sebulu dengan perangai Aqif terus mengikut langkah Aqif yang sedang menuju ke arah Qisha.
“ Hai Cik Nyet. ” Tegur Aqif yang tersenyum sambil menampakkan barisan giginya yang putih berseri.
Qisha yang begitu terkejut dengan kehadiran Aqif di situ menghadiahkan jelingan tajam. Dia bencikan nama Cik Nyet yang diberikan oleh Aqif itu. Disebabkan nama itu juga dia sudah menjadi bahan ketawa teman-temannya yang lain.
“ Wah..dia menjeling manja!” Kata Aqif kepada teman-temannya.
Kata-katanya itu disambut dengan hilaian tawa daripada mulut Wahid dan Kamarul.
“ Jom geng nyanyi lagu jeling-jeling paku.”
Bagaikan lembu di cucuk hidung mereka terus menyanyikan lagu itu. Qisha semakin menyampah. Macamlah tiada lagu lain yang boleh di dendangkan oleh Aqif and the gang. Sikap Aqif dan konco-konconya itu langsung tidak mengambarkan keintelektualan yang dimiliki mereka tatkala ini.
“ Mereka ini sudah melampau!” Kata Anisah perlahan kepada Qisha.
“ Jangan di layan,” jawab Qisha dengan wajah selamba. Sedikit pun dia tidak memandang kepada Aqif dan konco-konconya yang sedang menyanyi bagaikan sarkas.
“ Boleh tumpang duduk?” Tanya Aqif setelah nyanyian mereka selesai. Aqif sudah tersengih lebar.
Qisha memanggungkan kepalanya. Kali ini matanya dan mata Aqif bertentang. Dia lihat sengihan Aqif semakin lebar sebaliknya Qisha terus membuat muka serius.  
“ Duduklah. Lagi pun tempat ini bukannya hak persendirian aku!” Kata Qisha.
Aqif tersengih lagi sambil mengangkat keningnya kepada teman-temannya. Di dalam hati dia mendongkol dengan sikap bodoh sombong Qisha itu.
“Siap kau nanti Cik Nyet!” Kata Aqif di dalam hati sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Qisha. Sengihannya semakin lebar.
“ Aqif, ingat tumpang duduk je jangan sampai tumpang hati pula!” Kata Wahid.
Aqif dan konco-konconya ketawa lagi. Peliknya tawa mereka itu bagaikan mengejek Qisha membuatkan hatinya terbakar hangus.
“ Apa salahnya kalau tumpang hati juga,” balas Aqif sambil merenung wajah Qisha lama. Sengaja mahu mengganggu ketenteraman gadis di sebelahnya.
Anisah dan Qisha hanya mencebirkan bibir. Meluat benar dengan sikap buruk Aqif dan konco-konconya.
“ Cik Nyet marah ke?” Tanya mereka serentak.
Qisha hanya menyepi. Tidak mahu melayan sikap tidak matang mereka itu.
“ Boo layan la…” kata Aqif yang sudah kembali kepada konco-konconya apabila tidak mendapat respon daripada Qisha.
“ Jom lepak tempat lain,” cadang Anisah kepada Qisha.
Ketika itu Aqif dan konco-konconya sedang mengacau pelajar junior yang lain. Sememangnya mereka tidak boleh melihat sesiapa sahaja hidup dengan aman.
“ Buat apa?” Tanya Qisha kembali.
“ Aku menyampah tengok mereka.”
“ Sabarlah. Pandailah aku ajar mereka,” kata Qisha yakin sekali.  
Beredar dari sini bererti dia sudah kalah di tangan Aqif dan konco-konconya. Dia tidak mahu tewas dengan mereka.
“ Cik Nyet. Nah ambil air coke ini. Kali ini aku belanja kau minum.”
Tiba-tiba Aqif datang ke tempat mereka dengan meletakkan setin air coke di hadapan Qisha. Qisha pandang kepada setin air berkarbonat itu dengan perasaan pelik. Tidak pernah Aqif bersikap begini kepadanya. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu berkelakuan baik kepadanya?
Qisha pandang kepada Anisah dengan seribu kerutan di dahi. Anisah pula hanya menjungkitkan bahu tanda tidak mengerti. Ah pastinya ada ‘sesuatu’! desis hati Qisha lagi.
“ Maaflah aku tak minum air coke,” kata Qisha dengan senyuman paksa. Dia tidak mahu terus terperangkap dengan permainan Aqif.
Aqif juga tersenyum. Dia mula rasa tercabar dengan penolakan Qisha itu. Siap kau selepas ini!
“ Oh tak minum ya. Tak pe biar aku tolong bukakan.”
Tanpa memperdulikan bicara Qisha itu, Aqif terus mengoncang air tin tersebut sekuat hati. Kemudian di talanya air tin itu ke muka Qisha lalu di tariknya pembuka tin itu sekuat hati. Serentak itu juga air gas itu memancut keluar. Pancutan yang kuat itu menyebabkan ia terkena tepat ke muka Qisha.
“ Oh maafkan aku Cik Nyet!! Maaf…ha ha..” Kata Aqif apabila memerhatikan Qisha yang bagaikan terkejut beruk apabila terkena pancutan air dari dalam tin tersebut. Walaupun bibirnya mengucapkan ucapan maaf tetapi tangannya yang sedang memegang air tin itu masih di talakan ke arah Qisha. Sengaja mahu membiarkan air tin tersebut membahasahi muka Qisha lagi. Hatinya cukup puas apabila melihatkan wajah Qisha yang sudah basah dengan pancutan air coke itu.
“ Setan!!!” Jerit Qisha sekuat hati.
Aqif dan konco-konconya ketawa besar. Malah ketawa mereka di kongsi oleh segenap mahasiswa yang turut menyaksikan adegan tersebut. Semuanya bagaikan terhibur dengan kelakuan kurang ajar Aqif terhadap Qisha itu.
Qisha rasa dirinya dipermainkan. Sampai hati Aqif sanggup memperlakukannya sebegini. Malah Aqif sudah pandai menjatuhkan maruahnya di hadapan mahasiswa lain.
“ Setan!!!” Ajuk Aqif dan konco-konconya.
Qisha semakin bengang. Hatinya terbakar hangus. Dendamnya semakin membara. Aqif memang kurang ajar! Dan Aqif memang patut di ajar!



No comments:

Post a Comment