Apakah
yang perlu Mariam Qistina bicarakan di saat hati begitu rawan sekali. Di saat
hati masih lagi menangisi kehilangan orang yang tersayang. Di saat hati masih lagi meratap dengan takdir
yang telah ditentukan oleh Sang Pencipta. Dia mengusap-usap rambut Irdina yang
lena di atas sofa.
Tragedi yang mencabut nyawa kedua
ibu bapanya begitu memberi kesan dalam diri Mariam Qistina. Dia sendiri tidak
menyangka pemergian kedua ibu bapanya ke Johor kerana urusan kerja rupa-rupanya
telah memisahkan mereka buat selama-lamanya di bumi Allah yang sementara ini.
Ke manakah lagi tempat untuk dia menumpang kasih sebagai pengubat rindu kepada
kedua orang tuanya yang begitu penyayang dan memanjainya sepenuh hati.
Sedangkan dia merupakan anak manja kepada Tan Sri Mohd Jamil dan Puan Sri Nor
Aini.
Dia langsung tidak ambil peduli tentang masa
hadapannya. Tentang siapa yang akan menjaganya. Tentang ke mana arah tujunya
nanti. Sehinggalah keluarga Pak Long Sahak berpindah ke rumahnya seminggu
selepas arwah kedua ibu bapanya meninggal. Ah kasih sayang Pak Long Sahak tidak
pernah sama dengan kasih sayang kedua ibu bapanya. Dia rasa mahu menjerit
apabila terkenangkan itu semua.
“ Kak Siti nak ke mana?” Lamunan Mariam
Qistina terhenti apabila dia ternampak kelibat Kak Siti yang lalu di hadapannya
dengan membawa sebuah beg besar.
Wajah Kak Siti kelihatan sayu sekali.
Ada airmata yang bertakung di kolam matanya.
“ Kak Siti, diberhentikan kerja.”
Kata Kak Siti yang sudah tidak terdaya lagi untuk memandang sorotan mata Mariam
Qistina. Dia dapat menjangkakan sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada masa
hadapan anak gadis di hadapannya ini. Hatinya bertambah sayu.
“ Kenapa pula?” Tanya Mariam Qistina
yang terkejut besar. Siapa pula yang pandai-pandai membuat keputusan untuknya.
“ Pak Long Sahak tidak perlukan akak
lagi.” Kata Kak Siti. Sedih hatinya mengenangkan dugaan yang dihadapi oleh Mariam
Qistina. Tidak sanggup rasanya hati
untuk meninggalkan rumah yang penuh dengan sulaman kasih sayang dan kedamaian
ini. Di rumah inilah kehidupannya begitu dihargai. Di sini jugalah dia
mengenali erti dan nilai hamba kepada Rabbul Jalil.
Terjegil biji mata Mariam Qistina
mendengarnya. Pak Long Sahak sudah melampau. Siapa Pak Long Sahak yang berani
membuat keputusan di dalam rumah ini? Ini rumah papa dan mama dan bukan rumah
Pak Long Sahak! Kedatangan mereka di sini juga tidak pernah dialu-alukan
olehnya. Marah Mariam Qistina di dalam hatinya.
Segera dia mendapatkan Pak Long
Sahak. Kelihatan Pak Long Sahak dan Mak Long Esah sedang enak menjamu selera
sambil bergurau senda. Dia rasa begitu marah sekali melihatkan kegembiraan
mereka sedangkan dia masih lagi meratapi pemergian kedua ibu bapanya. Tidak
bersedihkah mereka sedangkan kedua ibu bapanya mempunyai pertalian darah dengan
mereka?
“ Pak Long, kenapa Pak Long
memberhentikan Kak Siti?” Tanya Mariam Qistina cukup sopan sekali. Dia masih
boleh menyembunyikan rasa marahnya.
Mak Long Esah
dan Pak Long Sahak saling berpandangan. Kemudian mereka berdua tersenyum sinis
kepada Mariam Qistina.
“ Sebab aku tak
perlukan dia lagi! Aku dah dapat tukang gaji baru,” kata Pak Long Sahak penuh
bongkak dan kasar sekali. Dia cukup gembira apabila mendengar berita bahawa
adiknya telah maut di dalam kemalangan jalan raya. Khabarnya kereta Tan Sri
Mohd Jamil remuk teruk, diseret lori treler sejauh beberapa meter.
Nampaknya nasib
sentiasa menyebelahinya. Kalau tidak kerana kematian adiknya mungkin juga di
saat ini dia sudah meringkuk di dalam penjara kerana kes rasuahnya itu.
Bukannya dia tidak tahu dengan desas-desus di syarikat yang mengatakan bahawa
Tan Sri Mohd Jamil ingin mengambil tindakan undang-undang jika sesiapa yang di
dapati mengambil rasuah. Desas-desus itu mula bertiup kencang setelah dia di
panggil oleh Tan Sri Mohd Jamil sebelum arwah terlibat dalam kemalagan.
Mariam Qistina
berasa hairan dengan perubahan sikap Pak Long Sahak yang begitu mendadak. Cara
percakapannya berbeza benar. Dulu gaya bahasa Pak Long Sahak begitu lembut dan
tertib sekali, tidak pula kali ini. Apa yang telah merasuk Pak Long Sahak
sehingga dia berubah benar.
“ Siapa?” Tanya Mariam
Qistina pelik.
“ Siapa lagi,
kaulah!”
“ Apa yang Pak
Long dan Mak Long maksudkan?”
“ Kau tak faham
atau kau buat tak faham? Kau ingat kami suka sangat dengan kau? Kami ni sama je
macam Sarah yang tak sukakan kau. Tapi Sarah tak pandai berpura-pura seperti
kami.” Kata Mak Long Esah dengan muka yang cukup bengis sekali. Dia cukup
gembira dengan rezeki yang diberikan kepada mereka ini. Tidak sangka Tan Sri
Mohd Jamil pendek umurnya. Kalau tidak sampai ke mati pun mereka tidak akan
dapat merasai kehidupan semewah ini. Walaupun suaminya hanya di lantik sebagai
pemegang amanah kepada Mariam Qistina sehingga dia berumur 18 tahun tetapi
mereka sudah mempunyai misi tersendiri agar harta yang diwariskan akan tetap
menjadi milik mereka selama-lamanya.
“ Kenapa Pak
Long dan Mak Long sanggup buat saya macam ni? Sampai hati Pak Long! Sampai hati
Mak Long. Kubur papa dangan mama masih merah lagi. Sampai hati Pak Long!”
Esakan Mariam
Qistina semakin meninggi. Sampai begitu sekali Pak Long Sahak sanggup lakukan
padanya. Mariam Qistina berasa sedih sekali. Kenapa insan yang mempunyai
pertalian darah dengannya sanggup memperlakukannya sebegini rupa?
Pak Long Sahak
dan Mak Long Esah hanya ketawa mendengarkan ucapannya itu. Mereka langsung
tidak bersimpati kepada Mariam Qistina.
Segera Mariam
Qistina berlari ke biliknya. Di dalam bilik dia menangis sepuas-puasnya. Dia
sangat merindui kedua-dua ibu bapanya. Malah dia berasa ngeri untuk memikirkan
tentang nasib dirinya bersama dengan keluarga Pak Long Sahak. Berbahagiakah dia
kelak?
No comments:
Post a Comment