Tuesday 22 August 2017

Cinta Hati Nayli (Cinta Hati Cik Doktor) (Oh My Doctor) Bab 10

MATA memandang wajah itu dengan perasaan meluap-luap. Terasa mahu diplaster mulut itu yang sedang lancar mengemukan cadangan penjualan Aryana Resort. Dia sudah tidak dapat mempertahankan sabarnya. Kala ini terasa mahu menjerit dan memaki hamun Puan Serina yang sedang lancar mengutarakan cadangan tidak bernasnya itu.
“Aryana Resort tidak ubah seperti biawak hidup kepada Bumi Hijau. Kalau dibiarkan lama-lama ia boleh menggancam kedudukan Bumi Hijau. Penjualan Aryana Resort bukan sahaja dapat menyelamatkan Bumi Hijau daripada terus terdedah daripada risiko sebaliknya ia akan turut memberikan keuntungan sebanyak 20 juta ringgit akibat daripada penjualan tersebut.”
Adrian ketap bibir. Menahan mulutnya daripada terus mengeluarkan sesuatu yang tidak enak didengar di sini. Hati pula terasa sebak. Bagaikan terbayang-bayang kegembiraan arwah mama saat menceritakan tentang cadangan penubuhan Aryana Resort. Aryana Resort bukan sekadar sebuah perniagaan baginya tetapi di situlah merakamkan semua kenangan manis antaranya dan mama.
Aryana Resort diambil sempena nama mamanya kerana mamalah pencetus kepada penubuhan Aryana Resort dan semua hiasan dalaman, rekaan serta sentuhan adalah daripada mama sendiri. Sebab itu Adrian begitu sayangkan resort tersebut.
Adrian pejam mata lagi. Tanpa sedar setitik air matanya jatuh ke pipi. Cepat-cepat disekanya. Entah bila air matanya bertakung dia sendiri tidak menyedarinya. Betapa kenangan yang hadir begitu memeritkan hati dan perasaannya.
“Cadangan yang cukup baik. Penjualan Aryana Resort bukan sahaja menyelamatkan Bumi Hijau daripada terus mengalami kerugian sebaliknya ia juga akan memberikan suntikan modal kepada Bumi Hijau.”
Adrian lihat Puan Serina tersenyum lebar. Pasti berpuas hati kerana cadangannya menerima sokongan daripada ahli lembaga pengarah. Adrian tahu sejak dari dulu lagi Puan Serina mahu menyingkirkan Aryana Resort daripada Bumi Hijau. Sejak dari dulu lagi Puan Serina tidak berkenan dengan Aryana Resort kerana asas penubuhan Aryana Resort adalah lambang cinta arwah papa kepada mama yang tidak pernah ditonjolkan arwah papa kepada Puan Serina.
“Aryana Resort mempunyai pantainya yang tersendiri dan berpontensi memberikan keuntungan yang besar kepada kita kerana Resort itu terletak di pulau pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong. Sebenarnya Aryana Resort membuat keuntungan tetapi penyelenggaraan golf course melebihi keuntungan yang dibuat. Jika mahu memulihkan Aryana Resort, kita hanya perlu memberhentikan perkhidmatan golf course sahaja,” bantah Adrian. Dia akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan Aryana Resort. Selagi dia masih bernyawa selagi itulah dia akan mempertahankan haknya di sini.
Kau nak tambahkan lagi kerugian Bumi Hijau?” Puan Serina masih tetap mempertahankan pendiriannya. Dia sudah dapat menganggak cadangannya ini pasti akan ditentang habis-habisan oleh Adrian. Memang sudah dimaklumi oleh semua ahli lembaga pengarah yang dia dan Adrian tidak pernah sebulu. Selalu sahaja mereka berdua bertekak dalam setiap mesyuarat yang dijalankan.
“Aryana Resort rugi disebabkan ahli lembaga pengarah sendiri tidak memberikan peruntukan sewajarnya untuk mempromosi dan menyelenggaranya. Sebab itulah Aryana Resort kalah dengan persaing-pesaingnya,” tambah Adrian. Turut naik darahnya melawan patah bicara  itu. Sememangnya dia tidak boleh bersabar dengan Puan Serina.
“Adrian, buat apa kita perlu bazirkan duit kepada pelaburan yang tidak berpotensi?” bangkang Puan Serina.
“Siapa kata Aryana Resort tidak berpotensi? Sedangkan semua resort perniagaan di situ memberi keuntungan yang besar? Kenapa hanya Aryana Resort mencatatkan kerugian daripada tahun ke tahun? Puan pernah buat kajian tak kenapa semua ini terjadi? Bukankah sebab cadangan golf course daripada Puan yang bagaikan sengaja memberi kerugian kepada Aryana Resort?” lancar sahaja Adrian menuturkan bicaranya.
Puan Serina mendenggus geram. Geram dengan Adrian yang tidak habis-habis mahu menyalahkan dirinya.
“Saya memberi cadangan demi untuk kebaikan Bumi Hijau. Lagipun apa yang berlaku kepada Aryana Resort adalah persetujuan ahli lembaga pengarah termasuk Encik Adrian sendiri bukan?”
“Jadi puan mengakulah yang puan yang telah menyebabkan Aryana Resort kerugian besar? Ini sudah terbukti yang puan lemah dalam membuat keputusan. Puan tak mampu dan tidak akan mampu menerajui Bumi Hijau dengan baik,” provokasi Adrian lagi.
“Adrian! Apa yang kau cakap ini?” Puan Serina sudah tidak betah sendiri. Provokasi Adrian nyata sudah mencalar kreadabelitinya yang mahu mengintai jawatan CEO.
Adrian tersenyum senget. Hatinya berasa begitu puas kerana berjaya membuatkan Puan Serina marah. “Saya bercakap atas dasar fakta semata-mata, Puan. Berikan tempoh masa selama setahun kepada saya untuk menaikkan semula kegemilangan Aryana Resort seperti 15 tahun lalu. Kalau saya gagal barulah saya serahkan kepada semua ahli lembaga pengarah sama ada mahu menjualnya atau membiarkannya begitu sahaja,” kata Adrian dengan penuh keyakinan. Walau apa pun terjadi dia akan cuba menaikkan Aryana Resort yang begitu penting dalam hidup mama.
“Setahun? Maksud kau, kau mahu biarkan kerugian ini berpanjangan selama setahun? Sekaligus menjejaskan perjalanan Bumi Hijau?” tanya Puan Serina. Sungguh dia begitu tidak berpuas hati dengan pendapat Adrian itu. Hati di dalam semakin resah tidak bertepian. Bimbang kalau-kalau ahli lembaga pengarah terpengaruh dengan pendapat Adrian itu.
“Saya rasa tidak guna kita tangguhkan penjualan Aryana Resort. Aryana Resort dalam keadaan tenat sekali. Kalau dibiarkan pasti akan memudaratkan perjalanan Bumi Hijau secara keseluruhannya,” sokong Datuk Ghazali.
“Saya juga turut bersetuju dengan pendapat Datuk Gahazali itu!”
“Saya juga!”
“Saya!”
Puan Serina tersenyum lebar apabila kebanyakan ahli lembaga pengarah mula bersetuju dengan pendapatnya. Dijeling seketika Adrian yang sudah tidak betah sendirian.

“Dan kita boleh mulakan undian untuk memilih CEO Bumi Hijau yang baru!”