Wednesday 1 February 2017

CINTA HATI NAYLI (Oh My Doctor) Bab 6

Kaki yang teguh berdiri terasa lembik. Sesaat kemudian Nayli sudah terduduk. Dia mengetap bibir. Dibiarkan air mata yang mengalir deras menuruni lekuk pipinya. Tidak mampu dia berdiri tegak bila Adrian sanggup melontarkan kata berbisa sebegitu. Rasa macam seluruh nyawanya dibawa pergi.
"Mak su rasa kita kena bawa Nayli ke hospital," kata Mak Su Salwani sambil menapak mendapatkan Nayli.
Nayli diam tidak berkutik. Kata-kata Adrian sebentar tadi tidak ubah bagai pita perakam. Benarkah dulu dia kejam? Tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan Adrian terlantar seminggu di hospital? Dia macam tidak percaya dengan apa yang Adrian perkatakan kerana dia tidak pernah terkurang walau sedikit didikan yang diberikan orang tuanya.
Jika benar bicara Adrian itu, di mana Nayli yang penuh dengan kesantunannya? Di mana Nayli yang begitu baik akhlaknya? Bukankah selama ini anugerah pelajar terbaik kerana cemerlang dalam akademik dan sahsiah sering digondolnya? Nayli menggeleng. Air mata makin lebat mengalir di pipi. Pandangannya kabur. Ini semua tidak betul! Kenapa dia yang harus menanggung semua ini? Rasanya Adrian sudah tersalah orang kerana dia yakin tidak mungkin dia menjadi sekejam itu.
"Tak perlu mak su. Kau bangun sekarang!" Adrian merengkuh lengan Nayli kejap. Mak Su Salwani hanya mengeluh. Tidak mampu menghalang tindakan Adrian itu.
"Sa..sakit!" Pegangan kejap Adrian di lengannya begitu menyakitkan.
"Kau pergi makan sekarang! Makan supaya kau sihat walafiat. Kalau kau tak sihat macam mana kau nak bermain dalam game ini? Game yang aku tentukan peraturannya. Hanya aku! Dan kau tahu bukan betapa sakitnya permainan itu bila peratutan itu hanya berpihak pada sebelah pihak sahaja? Jadi aku nak kau bersedia. Mental dan fizikal sebab permainan ini terlalu mencabar. Sangat mencabar hingga kau sendiri menyesal kerana memulakannya," penuh dendam Adrian berkata.
Jika mampu dia mahu merayu agar Adrian berterus-terang tentang siapa dirinya. Tentang salah silapnya. Tentang apa yang menjadikan Adrian begitu benci kepadanya. Dia tidak akan malu untuk memohon kemaafan dan pastinya akan membetulkan kesilapannya. Dia sudah cukup menderita dengan keadaan dirinya kala ini. Tidakkah Adrian melihatnya kala ini?
"Sudahlah Ad. Ad tak kesian kat Nayli ke?" Mak Su Salwani menegur. Dia menarik Nayli ke meja makan. Didudukkannya di situ. Nayli tidak membantah kerana seluruh jiwanya terasa lemah.
Adrian ketawa sinis. Dia geleng kepala. "Tak payah mak su nak berbaik dengan dia. Perempuan macam dia memang tak layak dilayan begitu." suara Adrian berdentum segenap rumah.
Mak Su Salwani menggeleng. Ternyata kemarahan membuatkan Adrian hilang pertimbangan. Memang tidak pernah ada mana-mana gadis yang dibawa Adrian masuk ke rumah ini. Nayli adalah yang pertama. Aneh bukan? Kenapa mesti gadis yang Adrian benci?
"Saya ni perempuan macam mana?" Nayli gigit bibir menahan esakan yang mahu pecah. Sampai bila dia harus dihukum atas kesalahan yang dia sendiri tidak tahu?
Halkum Adrian bergerak menelan liur. Dia terdiam seketika dengan pertanyaan Nayli itu.
"Tak kan kau tak tahu? Atau kau sengaja buat-buat tak tahu?"
"Saya memang tak tahu! Kat kepala ni kosong! Kosong!" Nayli tunjal kepalanya sendiri. Air mukanya keruh mempamerkan rasa sakit hati dan terluka yang bukan sedikit.
Adrian menapak menghampiri Nayli. Mulut didekatkan di telinga sebelum dia berbisik. "Seorang pelacur yang sanggup menjual tubuhnya demi wang ringgit. Tak kan kau dah lupa?"
Walau dia tidak jelas tentang siapa Nayli sebenarnya tetapi dia pasti gadis itu adalah pelacur dari cara pemakaiannya.
Terkedu Nayli menerima ayat Adrian itu. "Kau tipu!" jerit Nayli dan serentak dengan itu Nayli menghentak meja. Pinggan dan cawan bersepai atas meja. Mata Adrian bulat. Hampir gugur jantungnya melihatkan tindakan Nayli itu. Pantas tangannya menarik pergelangan tangan Nayli. Melihat tangan yang luka berdarah membuatkan hati Adrian terasa sakit. Pelik! Tetapi perasaan inilah yang dirasakannya kala ini.
"Apa hak kau nak sakiti tubuh kau sendiri hah?" jerkah Adrian. Marah benar dia dengan tindkaan Nayli itu. Di tambah lagi bila melihat wajah Nayli berkerut menahan sakit. Hatinya menyumpah kuat bila air mata Nayli mula bertakung di birai mata sebelum menitis laju menodai pipinya.
Terkedu Nayli menerima ayat Adrian. Ah Adrian benar-benar melampau. Dosa apa yang telah dia lakukan sebelum ini hingga dia hilang hak kepada tubuhnya sendiri?
"Mak su, ambil first aid kit!" arah Adrian. Mak Su Salwani mengangguk. Dia melangkah sambil menggeleng lemah. Nyata dia tidak faham dengan sikap Adrian. Kalau dah benci kenapa mahu ambil berat lagi kepada Nayli?
"Tak perlu nak tunjuk baik kepada saya!" kata Nayli dalam senyuman pahit. Air matanya mengalir lemah. Dia cuba rentap tangannya tetapi Adrian lebih kuat memegangnya. Adrian terpejam sesaat mendengar tangisan Nayli yang menghiris hati lelakinya.
"Sebab aku ni tak kejam macam kau!"
Adrian capai kain napkin yang ada di atas meja makan. Lalu ditekannya ke atas luka Nayli dengan kasar. Wajah yang menyerigai kesakitan itu langsung tidak dihiraukan.
"Apa yang encik nak daripada saya sebenarnya?" tanya Nayli separuh berbisik melihatkan Adrian cuba menghentikan pendarahannya. Rupanya dalam kebencian itu masih ada rasa belas dalam diri lelaki itu. Hati wanitanya tersentuh juga namun sedaya upaya dia cuba sedarkan dirinya. Siapa dirinya di mata Adrian.
"Kau tahu jawapannya Nayli!" Kelopak mata diangkat. Dipandang tepat pada anak mata Nayli yang sejak dari tadi memandangnya.
Adrian capai sebelah lagi tangan Nayli yang tidak tercedera. Dibawanya ke atas kain napkin yang sudah bertukar merah.
"Jangan cuba nak buat kerja bodoh begini sebab kau tak kan tahu permainan apa yang sedang kau bermain kini," ugut Adrian tegas.
Ditolak tangan Nayli dengan kasar. Dia hanya tersenyum sinis bila melihatkan Nayli bagaikan terhenyak dengan ugutannya itu. Mak Su Salwani sudah datang membawa first aid kit dan dia terus berlalu. Membiarkan Mak Su Salwani merawatnya. Tidak mahu membiarkan perasaan aneh yang membelit lantas membuatkan dia semakin hilang arah.

ENTAHdi mana datangnya rasa belas buat gadis yang pernah kejam terhadapnya dia sendiri tidak pasti. Semakin didekati semakin kuat pula perasaan yang sedang membelit perasaannya. Semakin dalam luka yang cuba dipahatkan dalam hati Nayli, semakin terasa sakit dalam hati sendiri.
Adrian pejam mata. Nafas dihela berat. Sungguh dia tidak mengerti dengan dirinya sendiri. 
Memang dia mahu membalas dendam kepada Nayli. Nayli bersalah kerana buat hidupnya gelap, derita, tersiksa. Tetapi tindakan Nayli buat hatinya tersiat. Berdarah. Malah dia semakin terdera apabila melihatkan Nayli menangis disebabkannya.
Adrian mengeluh geram. Jujurnya dia geram dengan diri sendiri. Sepatutnya dia tidak perlu menculik Nayli lama begini. Ah dia hanya perlu dapatkan begnya semula dan semuanya akan berjalan seperti biasa!
"Ad.."
Adrian berpaling ke arah Mak Su Salwani. Ada dulang berisi makanan di tangannya. Kening Adrian berkerut.
"Ad tolong suapkan Nayli," kata Mak Su Salwani sambil menghulurkan dulang tersebut kepada Adrian.
Dah sudah! Mak Su ni memang sengajakan nak porak perandakan hati aku lagi! Hati Adrian berperang sendiri.
"Dia tak boleh makan sendiri ke sampai nak bersuap bagai!" Nafas dilepas kasar. Baru sahaja nak sejuk dah menggelegak pula! Mak su ni pun macam sengaja nak naikkan darahnya pula.
"Tangan dia luka tu. Kesian kat dia, Ad. Dari semalam tak makan," pujuk Mak Su Salwani. Dia tahu dalam hati Adrian masih ada perasaan belas tetapi dek kerana ego perasaan itu cuba disembunyikan Adrian.
Adrian mendenggus. Dia tak nak sebenarnya tapi entah kenapa tangannya laju sahaja menyambut huluran dulang itu. Dan selepas itu dia sudah berada dalam bilik yang sedang didiami oleh Nayli.
"Makan!" Adrian keling Nayli yang menekur di lantai. Kala ini mahu sahaja dia baca fikiran gadis itu. Apa sebenarnya bermain di fikirannya.
Apabila Nayli menggeleng, Adrian mendekat dan dilabuhkan duduk tepat di sisi Nayli. Membongkok ke depan sambil menyoroti wajah pucat itu.
"Kau nak makan ke atau kau nak aku makan kau?" tanya Adrian separa menggugut.
"Saya dah kenyang," jawab Nayli dalam keluhan. Wajah Adrian langsung tidak dipandangnya. Dia sudah penat sebenarnya.
"Bila masa kau makan?" guman Adrian. Dia kemudiannya mengetap bibir. Menahan diri daripada terus memaki hamun Nayli.
"Saya nak balik. Mama dan papa mesti tengah risaukan saya," balas Nayli. Kalau dia pulang pasti akan membuka ingatannya. Dia perlu mencari jawapannya pada setiap tuduhan yang dilemparkan Adrian kepadanya. Dia mahu buktikan kepada Adrian apa yang lelaki itu perkatakan tidak benar.
Kening Adrian naik sebelah. Oh ada mak bapak! Ingatkan budak liar sebegini sudah lupa kepada mak bapaknya.
"Seminggu kau berpeleseran kat tepi jalan sampai tak ingat nak balik rumah, tak de pula kau ingat mak bapak kau!" tempelak Adrian. Seminggu dia menyuruh orangnya mengikut Nayli dan daripada pemantauan mereka Nayli hanya tidur di tepi kaki lima dan sebab itulah dia begitu yakin untuk menculiknya.
Mata Nayli membulat. Perlahan dia menggeleng. Tidak mungkin! Kenapa apa yang diperkatakan Adrian mengenai dirinya bagaikan lelaki itu menceritakan tentang orang lain sahaja? Dia pejamkan mata. Mencari ingatannya yang hilang. Cuba membayangkan seperti apa yang diperkatakan oleh Adrian tetapi ternyata semuanya begitu kosong sekali.
"Kenapa? Tak percaya?"
"Siapa saya?" tanya Nayli.
Tergelak besar Adrian mendengarkan pertanyaan Nayli itu. "Kau ni nak buat lawak pun agak-agaklah!"
"Tolong beritahu saya. Mungkin saya terlupa apa yang saya dah lakukan sampai encik marah sangat kepada saya?" tanya Nayli penuh pengharapan.
Adrian sekadar tersenyum sinis. "Makan dulu!" putus Adrian.
"Tapi saya nak tahu!" desak Nayli.
"Kau kena makan! Kau kena ada tenaga untuk bermain dalam permainan ini. Ingat aku akan buatkan kau menyesal kerana memulakan permainan ini!" ujar Adrian.
Nayli ketap bibir. Rasa seriau pula mendengarkan ugutan Adrian itu. Permainan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana. Tidak terbayang kesakitan yang bakal ditangguninya kelak. Mampukah dia tangguninya?
Tanpa sedar Nayli sudah jatuhkan kepalanya. Ugutan Adrian tidak boleh dipandang sepi.
"Tapi.." kepala Nayli tertoleh kepada Adrian. Dia pandang wajah itu penuh ketakutan.
"Apa lagi kau ni?" Adrian berdecit. Banyak songeh betul ‘budak kecik’ ini.
"Tangan saya sakit," adu Nayli perlahan dengan birai mata yang basah.
Mendengarkan suara itu separuh merayu, Adrian mengeluh lemah. Hati lelakinya terusik lagi. Perlahan-lahan dia mengambil pinggan dalam dulang. Bila pandangan persis merayu itu menikam kalbunya, rasa belas itu muncul lagi. Dan sedikit demi sedikit rasa aneh itu muncul di celah kebenciannya terhadap Nayli.
"Aku suapkan.."
Dan dia mengambil sudu lalu disuapkan ke mulut munggil itu tanpa dia sedar dia sudah melampaui batas.

********************************************************************************************
Nota Rabihah
Ehem..ehem..tersenyum nampak..:)
korang rasa Adrian tersalah culik orang ke? atau Nayli memang jahat? cer komen sikit..:)