Thursday 24 March 2016

Darlingku Minah Angau-Bab 2

"PAPA tak pernah kisah tentang Isha, kan?"
Wajah Anggun Danisha kelihatan tegang. Matanya tepat memandang Badri yang kelihatan tidak ambil peduli dengan bicaranya itu. Anggun Danisha mengeluh sendirian. Ternyata papanya tidak pernah mempedulikan dirinya. Ah, dia tidak ubah seperti seorang anak yatim piatu walaupun hakikatnya dia masih mempunyai seorang bapa.
"Apa yang kau mengarut ni, Isha?" tanya Badri.
Dia masih leka menatap komputer ribanya. Wajah Anggun Danisha yang tegang tidak dipandangnya.
Anggun Danisha mengeluh sambil melangkah ke balkoni. Hatinya berkeladak dengan perasaan marah dan geram. Namun dia cuba memujuk hati.
Dia berpaling membuang pandang pada dedaun kuning merah serta berwarna coklat kering yang bertaburan di atas bukit yang di penuhi dengan pokok maple. Kemudian dia beri perhatian pada fros di celah batu-batu di tebing bukit berhadapan dengan ruang tamu mereka.
Kemudian dia memandang ke langit pula. Ah, semua itu tidak menarik perhatiannya! Kesejukan suhu hampir di bawah paras beku ketika petang yang pendek ini juga tidak dapat meluntur kesabarannya. Hatinya semakin membeku dengan kasih yang tidak pernah digapai.
"Isha tak kira, Isha mahu cari Bunyamin," tekad Anggun Danisha. Dia bersandar di balkoni sambil matanya tepat memandang Badri.
Badri memandang sekilas kepada Anggun Danisha sebelum matanya kembali tertumpu kepada laptopnya. Anggun Danisha tahu bicaranya itu telah mengocak hati dan perasaan papanya itu.
"Isha akan pulang ke Malaysia," kata Anggun Danisha lagi. Ya dia tahu keputusan yang dibuatnya ini adalah satu keputusan yang tepat. Tidak mungkin dia hanya duduk membatu di sini sedangkan cinta yang dipertaruhkannya selama ini sedang menuju kehancuran.
"Isha tak faham ke apa yang papa katakan dulu? Papa tak suka Isha berkawan dengan Bunyamin!" marah Badri sambil matanya mencerlung memandang ke arah anak tunggalnya. Laptop yang berada di hadapannya sudah ditutup rapat.
"Kenapa pula? Isha tengok Bunyamin baik aje! Tak ada cacat celanya," kata Anggun Danisha sambil menjuihkan bibirnya.
Dia tahu punca kebenciaan papanya disebabkan tragedi masa lalu. Tragedi yang membawa papanya merantau ke sini. Namun Anggun Danisha yakin jauh di sudut hati papanya lelaki itu begitu rindukan Malaysia. Kalau tidak masakan Badri lebih suka mereka bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun mereka berada jauh di negara orang.
"Isha, dengar sini, kalau kau bertegas mahukan Bunyamin atau mana-mana lelaki ber bin kan Ikhwan maknanya kau bukan anak aku lagi!"






"Cik! Cik! Dah sampai!"
Anggun Danisha mengesat air matanya. Kenangan pahit itu cuba diusirnya jauh di dasar hatinya. Dia tidak mahu kenangan itu mengocak ketenangannya di sini. Malah kalau boleh dia mahu terus melupakan papanya yang sudah membuang dirinya.
Mata Anggun Danisha terus tertancap pada rumah teres satu tingkat yang sederhana besarnya. Tidak seperti rumah papanya di Findland yang boleh dikatakan selesa juga. Ah, papanya seorang terpelajar dan boleh dikatakan seorang lelaki yang berjaya di kota metropolitan itu.
Anggun Danisha mengeluh lemah. Dia tidak faham mengapa papanya sanggup membuang keluarganya hanya kerana dendam lama?
"Betul ke alamat yang pak cik berikan ini?" tanya Anggun Danisha.
Dia mahu memastikan alamat yang diberikan oleh papanya adalah tepat. Dia masih ingat lagi betapa payahnya papanya mahu memberikan alamat rumah datuknya itu.
"Ingat Isha selepas kaki kau melangkah ke luar dari rumah ini kau bukan anak aku lagi! Aku tak akan ambil tahu lagi pasal kau dan bagi aku kau sudah lama mati!"
Anggun Danisha menarik nafasnya dalam-dalam. Sesekali kenangan pahit itu menjelma membuatkan hati dan perasaannya terasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Betapa kejamnya papanya kerana sanggup membuang dirinya hanya kerana keputusan yang telah dibuatnya ini.
"Saya sangat pasti, cik," kata pemandu teksi itu.
Anggun Danisha mengangguk. Dia segera membayar tambang teksi sebelum kakinya melangkah keluar dari perut teksi itu. Setelah mengeluarkan barang-barang miliknya pemandu teksi itu segera berlalu.
Anggun Danisha menarik nafasnya. Perasaannya kembali berdebar. Bagaimanakah penerimaan datuknya apabila melihat dirinya berada di sini? Cucu yang tidak pernah diketahui kewujudannya.
Setahunya sudah hampir 23 tahun papanya tidak pulang ke Malaysia kerana berjauh hati dengan sikap datuknya yang lebih sayangkan anak angkatnya daripada anak kandungnya sendiri. Hanya itu yang diketahui oleh Anggun Danisha tentang masa lalu papanya itu. Itu pun setelah dicerita oleh arwah mamanya dulu.
Sekali lagi Anggun Danisha menarik nafasnya. Dia tahu keputusan yang dilakukan ini adalah satu keputusan yang tepat. Sebenarnya dia sudah lelah hidup sebatang kara. Selepas kematian mamanya hampir setahun yang lalu dia benar-benar rasa sendirian. Papa yang sentiasa serius tidak pernah mahu menunjukkan rasa kasihnya kepada Anggun Danisha.
"Isha masih ada keluarga di Malaysia. Kalau Isha ada peluang carilah mereka. Mama tak nak Isha jadi seperti mama. Hidup sebatang kara di sini."
Nasihat mamanya masih tergiang-giang lagi di fikirannya. Mamanya yang berasal dari Indonesia tidak pernah mengenali keluarga asalnya di Indonesia. Malah dia hidup sebatang kara setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia di Finland.
Dengan debaran di dada, Anggun Danisha terus menekan loceng rumah. Dia tahu apa yang dilakukan ini adalah satu keputusan yang terbaik untuk dirinya. Bukan sahaja dia dapat mencari keluarga asalnya tetapi juga dia dapat meraih kembali cintanya terhadap Bunyamin. Bibir Anggun Danisha tersenyum lebar. Sungguh dia berasa tidak sabar untuk bertemu semula dengan Bunyamin. Satu-satunya lelaki yang memiliki hatinya.
Senyuman Anggun Danisha mati apabila matanya tertancap pada seorang lelaki yang baru sahaja keluar dari perut teksi. Matanya membuntang. Dadanya berdebar hebat. Malah mata lelaki itu juga turut membuntang apabila melihat Anggun Danisha berada di situ. Ah, mesti taktik lapuknya itu. Sengaja buat-buat terkejut!
"You ikut I sampai sini? Apa yang you nak daripada I sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
Dia sudah gelabah. Rupanya lelaki itu tidak pernah mengalah dalam usahanya menawan hati Anggun Danisha.
Harith Mishka mengeluh geram. Lagi geram apabila minah perasan ini sesedap hatinya sahaja mahu menuduhnya sebegitu. Sepatutnya wanita itu cermin diri sendiri. Tidak mungkin wanita sebegini yang menjadi citarasanya. Malah, dia bukan jenis lelaki yang percaya kepada cinta pandang pertama!
"Oh, jadi betullah you sukakan I? Alamak apa yang perlu I lakukan," kata Anggun Danisha sedikit mengelabah.
Dia tidak sangka sampai sejauh ini lelaki ini sanggup mengejarnya. Usaha yang dilakukan oleh lelaki ini sepatutnya dihargainya.
"Hey, minah perasan! Boleh tak jangan terlalu perasan sangat! Kau ingat aku dah hilang akal ke sampai aku boleh jatuh hati dengan perempuan macam kau ni? Kau cubalah cermin diri kau! Kau ingat kau tu cantik sangat!(?)" kata Harith Mishka.
Buntang biji mata Anggun Danisha apabila mendengarkan bicara sinis Harith Mishka itu. Nafas Anggun Danisha sudah tidak sekata dan barannya sudah naik sampai ke kepala. Lelaki yang berada di hadapannya ini sudah dipandangnya kecil sahaja. Kalau diikutkan hatinya yang sedang marah mahu sahaja dia menampar lelaki itu.
"Hey, you jaga sikit mulut you! You ingat I perempuan I tak boleh belasah you?" kata Anggun Danisha.
Lengannya sudah disinsingkan. Kononnya sudah bersedia dengan pertempuran antara mereka.
Harith Mishka tersenyum sinis. Terasa ingin ketawa dengan tindakan Anggun Danisha. Namun dia berlagak tenang. Tidak mahu minah perasan ini akan lebih perasan jikalau dia bersikap mesra dengannya.
"Aku yang sepatutnya bertanya kenapa kau ada kat sini," kata Harith Mishka.
Anggun Danisha terkesima. Dia memandang rumah teres itu dan Harith Mishka silih berganti. Kenapa lelaki itu berkata begitu? Eh, aku dah tersalah rumah ke? Fikir Anggun Danisha.
"You buat apa kat sini?" tanya Anggun Danisha dengan wajah terkebil-kebil.
"Ini rumah aku! Dan kau pula buat apa kat depan rumah aku ni?" tanya Harith Mishka sambil menjegilkan matanya.

No comments:

Post a Comment