Friday 10 July 2015

Lasernya Mulut Dia Bab 9

Amir Rifqi tersenyum riang apabila membaca surat tawaran yang diberikan kepadanya. Dia bersyukur dengan tawaran yang tidak di sangka-sangka ini walaupun dia tidak pernah memohon permohonan ini. Mungkin inilah rezeki yang telah Allah berikan kepadanya setelah hampir 10 tahun dia hidup dalam penganiayaan.
Tawaran mengikuti ijazah sarjana muda undang-undang secara sepenuh masa dengan biasiswa.
Matanya terus tertumpu kepada tajuk utama surat tawaran tersebut tanpa memperdulikan televisyen yang sedang menyiarkan rancangan berita. Tawaran yang diberikan oleh syarikat Tetuan Hasan & Associates sungguh mengembirakan hatinya. Syarikat itu menawarkan biasiswa pengajian dan elaun sara hidup, buku dan alat tulis sepanjang pengajiannya dan sekiranya dia menerimanya dia perlu bekerja di syarikat tersebut selama empat tahun.
“Tetuan Hasan & Associates,” kata Amir Rifqi sendirian.
“ Syarikat guaman yang gah di Malaysia Tetuan Hasan & Associates melakarkan sebuah lagi kejayaan cemerlang apabila berjaya menegakkan keadilan kepada mangsa penipuan hartanah. Kejayaan ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna kepada mangsa-mangsa tersebut kerana hampir sepuluh tahun mereka berjuang untuk mendapatkan kembali hak mereka. Kes ini dikendalikan oleh Tan Sri Hasan. Sememangnya Tan Sri Hasan adalah seorang peguam yang sangat handal dan dilabelkan sebagai peguam yang tidak pernah kalah dalam perbicaraan sepanjang tempoh dia berkhidmat sebagai peguam. Malah ada juga yang berpendapat bahawa sesuatu kes pastinya akan menang jika Tan Sri Hasan yang mengendalikannya.”
Amir Rifqi menumpukan perhatiannya kepada skrin televisyen yang memaparkan cerita kehandalan seorang peguam. Tiba-tiba bibir Amir Rifqi mengukirkan senyuman lebar. Siapa sangka dia bakal berkhidmat di syarikat yang cukup berprestij ini suatu hari nanti.
“ Terima kasih Tetuan Hasan. Jasa syarikat tuan akan saya kenang sampai bila-bila,” kata Amir Rifqi sambil tersenyum lebar. Sungguh dia bersyukur kerana syarikat ini telah membantunya untuk mencapai cita-citanya. Di dalam diam dia menanam tekad untuk menjadi seperti Tan Sri Hasan, peguam yang sangat gah dan cukup disenangi oleh semua.
“ Janji dengan mama, tegakkan keadilan untuk abah.”
Tiba-tiba bicara ibunya sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir membuatkan Amir Rifqi menjadi sebak. Hatinya dipaut pilu.
“ Mama, Rifqi bakal menjadi peguam. Rifqi akan cari keadilan buat abah,” kata Amir Rifqi dalam linangan airmata.
AMIR RIFQI mengayuh basikal dengan pantas. Sepantas debaran di dadanya. Sesekali basikal yang ditungganginya terlanggar lopak air sehingga membuatkan air kotor itu terpecik ke seluar sekolahnya. Namun Amir Rifqi tidak peduli. Yang pasti dia mahu sampai ke rumah dengan segera. Wajah insan tersayang yang sedang menanggung kesakitan tidak sabar untuk ditatapnya.
Begitulah keadaan Amir Rifqi yang tidak pernah betah berada di sekolah. Walaupun berada di sekolah fikirannya hanya kepada ibunya yang sedang sakit tenat di rumah. Sebenarnya dia tidak mahu ke sekolah. Dia mahu bekerja sahaja supaya dia mempunyai wang untuk menampung kos perubatan ibunya yang mahal. Tetapi ibunya melarang. Setiap kali dia suakan keinginannya itu, pastinya ibunya menangis dan bersedih. Sungguh dia tidak sanggup melihat ibunya bersedih sebegitu membuatkan dia terpaksa akur dengan keinginan ibunya itu.
“ Mama..mama,” jerit Amir Rifqi sambil meletakkan basikal yang ditunggangnya di bawah pohon jambu. Dadanya berdebar hebat. Kadang-kala dia takut. Takut kalau-kalau apabila dia pulang ke rumah dia tidak dapat bertemu dengan ibunya lagi. Sungguh, perasaan itu sangat menyiksa dirinya.
Pantas sahaja Amir Rifqi menapak masuk ke dalam rumah. Ingin mendapatkan ibunya lebih dari segala-galanya.
“ Mama…” kata Amir Rifqi sambil menarik nafas lega. Lega apabila melihatkan ibunya masih bernafas seperti selalunya.
Puan Ainina hanya memandang Amir Rifqi dengan perasaan sebak. Sebak apabila memikirkan anak tunggalnya ini akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Mendapat penyakit kanser ini seolah-olah seperti mendapat hukuman mati. Lebih teruk lagi apabila dia tidak mendapat rawatan secukupnya pastinya penyakit kanser ini akan cepat merebak.
“ Mama tak nak pergi hospital ke?” tanya Amir Rifqi. Keengganan ibunya untuk berjumpa doktor amat meresahkan hatinya.
Puan Ainina hanya menggeleng. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Apatah lagi semua harta milik suaminya telah dibekukan oleh mahkamah akibat tuduhan yang telah dikenakan ke atas suaminya itu.
“ Nantilah. Mama tak sakit pun. Nanti kalau mama dah tak tahan mama minta Rifqi dan atuk bawa mama ke hospital ye,” bohong Puan Ainina.
“ Mama..Rifqi sedih tengok mama begini,” tangis Amir Rifqi.
“ Mama sihat sayang. Air yasin yang Rifqi dan atuk baca saban malam amat mujarab. Selepas mama minum, mama tak rasa sakit pun,” tipu Puan Ainina lagi. Dia tidak mahu memberikan tekanan kepada Amir Rifqi. Dia sedar apa yang telah berlaku kepada suaminya itu benar-benar telah memberi tamparan hebat kepada Amir Rifqi. Amir Rifqi di ejek, di maki dan di pandang hina disebabkan perkara tersebut. Dia tahu betapa Amir Rifqi sangat-sangat menderita dengan tragedi yang menimpa keluarga mereka.
“ Mama nak minum air yasin lagi?” tanya Amir Rifqi. Dia berasa lega apabila ibunya berkata begitu.
Puan Ainina mengangguk. Segera Amir Rifqi membantu ibunya untuk bangun sebelum menyuapkan air yasin ke dalam mulut ibunya dengan penuh perasaan kasih.
“ Alhamdulilah. Ayat Allah ini cukup mustajab,” kata Puan Ainina.
Puan Ainina kemudiannya berbaring semula. Dia cuba menyembunyikan kesakitan yang ditanggungnya tatkala ini. Kesakitan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Namun dia tahu dia perlu kuat demi satu-satu zuriatnya yang tersayang.
“ Rifqi, kena belajar berdikari mulai sekarang. Rifqi kena belajar jadi kuat. Rifqi tahu bukan, mama sakit dan mama tidak tahu berapa lama lagi mama boleh bersama dengan Rifqi. Jadi anak yang baik ya sayang. Walaupun mama tiada untuk mendidik Rifqi kelak, tetapi mama rayu kepada Rifqi, tolong jadi insan yang baik. Baik di mata Allah, di mata manusia dan di mata semua makhluk Allah,” nasihat Puan Ainina sambil memegang telapak tangan anak kesayangannya. Di tatap wajah itu penuh kasih. Entah berapa lama lagi Allah memberi peluang untuknya menatap wajah itu?
Allah, walaupun aku sudah tiada kelak, Kau jagalah anak aku dengan baik. Jadikanlah dia pemuda yang dapat membantu menegakkan agamaMu. Hanya padaMu aku bergantung harap. Doa Puan Ainina di dalam hatinya.
“ Mama, apa yang mama cakapkan ni?” tanya Amir Rifqi sebak. Airmata sudah bertakung di kelopak matanya. Airmata yang tidak pernah kering semenjak kejadian aib itu berlaku kepada keluarganya. Allah, betapa besarnya ujian yang Kau turunkan kepada kami sekeluarga.
Puan Ainina memaksa dirinya untuk tersenyum walaupun kesakitan yang mencengkam ini begitu sukar baginya untuk berbuat demikian. Senyuman yang dapat melegakan rawan anak kesayangannya itu. Senyuman yang sebenarnya sudah pupus dalam keluarga mereka sejak peristiwa aib itu berlaku.
“ Mama kena cakap sayang sebab mama tahu Allah akan tarik nyawa mama bila-bila masa sahaja. Apabila Rifqi sudah besar kelak, mama harap Rifqi boleh menjadi seorang lawyer,” bicara Puan Ainina terhenti seketika. Dia rasa sebak sekali. Hampir sahaja dia menitiskan airmata. Namun sedaya upaya dia cuba bertahan. Dia tidak mahu anaknya itu turut bersedih.
“ Lawyer yang amanah dan takut kepada Allah. Dan jika Rifqi ada kesempatan dan peluang tolong tegakkan keadilan buat abah. Dia tidak bersalah sayang. Dia telah diperangkap oleh mereka yang tamakkan harta dunia,” kata Puan Ainina. Akhirnya dia menangis juga. Dia sudah tidak mampu bertahan lagi apabila mengenangkan penderitaan yang terpaksa di tanggung oleh suaminya akibat fitnah orang.
Kasihan abah sayang. Abah begitu menderita sekali. Sudahlah difitnah dan dianiaya. Akhirnya dia mati dengan membawa nama yang busuk. Di mana keadilan untuk suamiku Ya Allah? Kenapa Kau tidak menengakkan keadilan untuknya? Rintih Puan Ainina di dalam hatinya. Dia tidak mahu merintih di depan anaknya. Takut rintihannya ini akan terus menganggu emosi anaknya yang sememangnya sudah terjejas.
“ Insyalah mama,” kata Amir Rifqi sambil menyapu airmata yang sedang laju mengalir di pipinya.
Puan Ainina memaksa dirinya supaya tersenyum lagi. Dia mengusap wajah Amir Rifqi yang kelihatan agak cengkung sedikit. Membuktikan batin anak tunggalnya itu begitu menderita.
“ Satu lagi sayang, jangan berdendam dengan orang. Mama tahu, saat ini Rifqi begitu menderita. Rifqi di maki, di cela disebabkan tragedi perit ini. Mama harap Rifqi bersabar ya sayang. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar,” nasihat Puan Ainina.
“ Baik mama,” kata Amir Rifqi yang sudah tersedu.
Ah..dapatkah dia bersabar selamanya? Sedangkan hatinya sungguh menderita. Batinnya tersiksa. Emosinya terganggu disebabkan perkara ini. Kenapa mereka yang mencaci dan mencelanya tidak menyelami sendiri perasannya? Allah, Kau kurniakanlah seribu ketabahan dan kekuatan buatku dalam menempuhi kehidupanku yang begitu mencabar ini.

No comments:

Post a Comment