Monday 22 July 2013

aku benci kau bab 6

“ Darius benci granny. Darius benci granny!” Kata Darius sebaik sahaja wajah ibunya tersembul di hadapannya. Segera dia memeluk Suraya dengan erat.
Suraya yang terkejut dengan reaksi anaknya terus mengeratkan pelukan di antara mereka. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Fikir Suraya sendirian.
“ Kenapa ni sayang? Tak baik benci granny. Granny kan nenek Darius. Apa yang granny dah lakukan kepada Darius sampai Darius benci begini?” Tanya Suraya dengan lembut sekali.
Dia mengusap kepala anak kesayangannya dengan penuh kasih. Dia bersyukur kerana akhirnya Darius di bawa pulang juga oleh Adam. Itu pun setelah di desak beberapa kali oleh Suraya.
“ Darius benci granny. Granny jahat. Darius sayang mama,” kata Darius.
Suraya mengeluh lemah. Hatinya berasa gusar. Kelakuan Darius tidak pernah begini. Dia di pagut kebimbangan. Mana tahu Darius di kasari oleh Puan Hendon. Lagi pun Puan Hendon tidak menyukai dirinya. Kemungkinan juga wanita itu melepaskan kemarahannya kepada Darius. Suraya semakin bimbang.
“ Apa yang granny dah lakukan? Beritahu mama sekarang, sayang,” tanya Suraya dengan penuh debaran di dada.
“ Granny kata mama jahat! Mama tak jahat bukan? Mama baik bukan? Darius tahu mama Darius baik. Granny yang jahat!” Adu Darius.
Dia mahu ibunya menafikan segala tohmahan yang dilemparkan oleh Puan Hendon sekali gus dapat menenangkan perasaannya yang gusar. Semenjak dia mengetahui cerita tersebut hatinya tidak pernah berasa tenang walaupun sesaat.
Berkerut dahi Suraya apabila mendengarkan bicara anaknya itu. Dia masih berlagak tenang dan menganggap bicara Darius itu hanyalah omongan kosong daripada anaknya sahaja. Tidak mungkin ibu mertuanya sanggup memburukkannya sebegitu. Fikir Suraya sendirian.
“ Kenapa kata granny jahat? Tak baik Darius cakap macam tu. Granny tu kan ibu kepada papa, jadi Darius kena sayangkan granny sama seperti Darius sayangkan mama,” nasihat Suraya dalam debaran di dada.
Darius mencebik. Hatinya sakit. Apatah lagi apabila mendengarkan bicara ibunya yang masih menyebelahi Puan Hendon. Suraya terlalu baik dan masih mahu menyebelahi ibu mertuanya sedangkan ibu mertuanya itu sering memburukkan dirinya.
“ Kenapa Darius perlu sayangkan granny sedangkan granny selalu memburukkan mama Darius?” Denggus Darius kasar sekali.
Berubah muka Suraya apabila mendengarkan bicara Darius itu. Hatinya pedih bagaikan di tusuk semalu. Sampai hati Puan Hendon memburukkan dirinya dihadapan zuriatnya sendiri. Apa sebenarnya tujuan Puan Hendon berkata demikian? Suraya di buru seribu persoalan yang perlukan jawapan segera.
“ Apa…apa yang granny katakan?” Tanya Suraya tergagap-gagap.
Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang di dengarinya tatkala ini.
“ Dia kata mama jahat. Mama tak jahat bukan? Granny yang jahat!” Kata Darius mengulangi bicaranya sebentar tadi.
Suraya dihimpit sebak. Kalau Darius tiada di hadapannya pastinya dia akan meraung tatkala ini. Apakah dugaan yang Allah persembahkan lagi kepadanya? Hati Suraya merintih dalam diam.
Suraya mengusap kepala Darius dengan penuh kasih. Sedaya upaya dia cuba tabahkan hati. Dia cuba tersenyum walaupun tawar.
“ Kenapa granny kata mama jahat?” Tanya Suraya ingin mengetahui cerita sebenar.
Segera Darius memeluk Suraya dengan erat. Dia berasa sedih. Dia tidak sampai hati untuk menyatakan kepada ibunya. Teresak-esak Darius menangis.
“ Granny kata mama tak sayangkan Darius. Granny kata mama suka berfoya-foya sebab itu mama suka hantar Darius ke rumah granny,” cerita Darius.
Suraya mengeratkan pelukannya kepada Darius. Sakitnya hati hanya Allah sahaja yang tahu. Setitik airmatanya mengalir tetapi cepat-cepat di sekanya.
Suraya melepaskan pelukan antara mereka. Dengan senyuman tawar dia mengelap airmata yang bercucuran di pipi Darius. Dia terus memandang ke dalam anak mata Darius.
“ Darius percaya?” Tanya Suraya dalam nada yang serak.
Dia ingin melihat setakat mana Puan Hendon dapat meracuni fikiran anak lelakinya itu.
Cepat-cepat Darius mengeleng.
“ Darius tak percaya sebab Darius tahu siapa mama Darius yang sebenarnya.”
Sebak Suraya mendengar luahan ikhlas anak kesayangannya itu. Segera dia memeluk tubuh Darius dengan erat. Akhirnya airmata Suraya yang cuba ditahannya semenjak dari tadi mengalir laju. Dia mencium pipi Darius kiri dan kanan semahunya.
“ Terima kasih sayang. Terima kasih kerana percayakan mama. Mama terlalu sayangkan Darius. Mama tak tahu apa tujuan granny yang sebenarnya tetapi kalaulah tujuan granny semata-mata untuk merampas kasih mama daripada anak mama tersayang, ternyata ianya gagal. Mama yakin kasih sayang antara kita berdua kukuh dan tiada siapa yang dapat pisahkan kasih sayang antara kita berdua,” kata Suraya.

No comments:

Post a Comment