Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 9

Sungguh dia tidak sanggup lagi menghadapi semua penderitaan ini. Dia ingin keluar dari penderitaan ini. Penderitaan yang menyiksa zahir dan batinnya. Danish memperlakukannya tidak ubah seperti seorang perempuan simpanan. Langsung tidak mempedulikannya. Danish datang berjumpa dirinya hanya jika mahukan layanan sahaja.
     Malah setiap kali Danish balik ke rumah, Danish akan menunjukkan muka yang garang dan marah-marah tidak tentu pasal. Entah ribut taufan mana yang melandanya. Tidak kira malam atau siang pastinya akan disuakan wajah yang bengis itu. Hingga kadang-kala Zukhrina Syamimi jadi takut. Bukan ini yang diharapkan dan diperlukannya sebagai seorang isteri. Tidak sedarkah Danish bahawa isteri bukan daripada mulut untuk dijerkah, bukan juga daripada tangan untuk dikasari, bukan juga daripada kaki untuk dihina tetapi sang isteri dijadikan dari tulang rusuk kiri sang suami untuk dijaga , dibelai dan dilindungi juga dekat dihati agar sang isteri lebih dihargai. Menitis air mata Zukhrina Syamimi apabila dia mengenang madah tersebut.
Tiada lagi ucapan cinta yang sering diucapkannya suatu masa dulu. Sikap dan perwatakan Danish berubah sepenuhnya. Kenapa perubahan yang dahsyat itu boleh bertukar secara menadadak? Atau lelaki itu masih tidak dapat menerima perkahwinan mendadak ini? Atau lelaki itu masih berdendam dengan keluarganya kerana bersikap kasar padanya pada hari  kejadian dulu?  Apa yang sebenarnya yang merasuk Danish? Atau sikap semula jadinya begini?
     Setiap kali dirinya diherdik, Zukhrina Syamimi cuma mampu bersabar. Dia cuba yakinkan dirinya sendiri bahawa ini adalah satu tribulasi dan pancaroba di dalam berumah tangga kerana tiada satu pun perkahwinan yang sempurna. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan hubungan suami isteri yang melibatkan dua hati yang berbeza.
     Hatinya cukup tertekan dengan sikap Danish yang perahsia itu. Dia tidak pernah tahu ke mana perginya Danish. Siapakah keluarga Danish? Apakah pekerjaan Danish? Isteri jenis apakah dia jika dia tidak tahu langsung perihal suaminya itu?
” Nina...” Jerit Danish yang duduk bersandar di atas sofa. Kakinya diletakkan di atas meja dan disilangkan. Gaya seperti seorang raja yang menunggu layanan daripada dayang-dayangnya. Huh! Memang itulah sikap sejati Danish. Mengarah dan mengarah je kerjanya. Dan Zukhrina Syamimilah yang menjadi kuli bataknya!
Segala sifat kelakian tulen yang dipancarkan oleh Danish pada pertemuan pertama mereka hilang tanpa ada sedikit pun. Zukhrina Syamimi sedar Danish hanyalah pandai mengambil hatinya sekadar untuk keseronokan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Sekarang dia benar-benar terhimpit dengan keadaan disekelilingnya.
” Ya bang..” Lembut tutur bicara Zukhrina Syamimi menyahut panggilan suaminya itu. Itulah sikap Zukhrina Syamimi. Walaupun ditengking atau diherdik namun dia tetap lembut tutur bicaranya seolah-olah Danish adalah segala-galanya. Berbaloikah pergorbanannya tatkala ini?
” Mana air? Aku dahaga ni!” Kasar sekali tutur bicara Danish lagak seorang majikan dengan tukang gajinya. Namun Zukhrina Syamimi akur. Segera dia mengorak langkah ke dapur.
Dia membuat segelas teh panas. Tinggal selama tiga minggu bersama Danish membuatkan dia sudah lali dengan kegemaran Danish. Lelaki itu tidak gemar minum air batu. Selalunya setiap kali pulang kerja Danish akan meminta teh panas untuk membasahkan tekaknya.
” Airnya abang.”
Alahai lembutnya bicara gadis ini. Mata Danish terus tertumpu pada wajah lembut itu. Setiap kali Zukhrina Syamimi berkata ’ ya abang’ jiwa lelakinya berdebar hebat. Namun cepat-cepat dinyahkan perasaan yang baru bercambah itu. Danish sepeti tidak dapat menerima kenyataan bahawa sekarang ini dia sudah menjadi seorang suami yang memerlukan pengorbanan dalam menjaga keluarganya.
Danish meneguk air teh panas yang diberikan oleh isterinya. Mukanya berkerut seribu tatkala air berwarna coklat muda itu menyentuh lidahnya. Manis! Segera dia membaling cawan di tangan ke dinding.
Bergema bunyi kaca berderai membuatkan jantung Zukhrina Syamimi berdebar kencang. Bertaburan kaca di permaidani dan begitu jualah rasa hatinya di saat ini.
” Kau sengaja nak bagi aku mengidap kencing manis?” Marah Danish yang sudah buntang matanya ke arah Zukhrina Syamimi.
Zukhrina Syamimi yang ketakutan hanya tertunduk memandang lantai. Setiap manusia di muka bumi ini mempunyai maruah dan harga diri yang perlu dipertahankan. Perlukah dia terus-terusan membiarkan maruah diri dipijak sesuka hati hatta suami sendiri? Ya... aku perlu membahagiakan suami ku... detik hati kecil Zukhrina Syamimi dengan seribu harapan agar suaminya itu berubah kepada kebaikan.
Dia sedar selama ini Danish memperlakukan dirinya tidak ubah seperti seorang hamba abdi. Dia dilayan seperti seekor binatang. Malah kadang-kala dia rasakan taraf binatang itu lebih tinggi daripadanya. Di manakah letaknya dia sebagai seorang isteri di mata Danish?
“ Maaf abang.”
Hanya itulah perkataan yang mampu diucapkannya untuk membela dirinya. Perlukah ucapan maaf itu sedangkan terang lagi bersuluh dia tidak pernah bersalah di dalam hal ini. Ya dia memang seorang yang bodoh kerana masih setia bersama Danish. Mana ada wanita yang sanggup bersuamikan lelaki seperti Danish ini. Suami yang tidak tahu menghargai peranan isteri.
Danish sudah bangun dari sofa. Dia terjah wajah Zukhrina Syamimi yang pucat lesi itu.  
“ Maaf, maaf. Itu je yang kau tahu. Bodoh! Satu kerja pun tak tahu nak buat. Kau tu dah macam biawak hidup. Menyusahkan aku!” Maki Danish. Jari telunjuknya menunjal-nunjal kepala Zukhrina Syamimi. Dia cukup bengang dengan wanita di hadapannya ini.
Zukhrina Syamimi tetap tunduk. Walaupun maruahnya dicerca, namun dia masih diam. Ah diam tidak semestinya bermakna kalah. Dia terus bermunajat dalam hati.
Namun perasaannya cukup terhiris. Biawak hidup? Oh hinanya dia di mata Danish. Air jernih dari matanya dibiarkan mengalir menuruni pipi gebunya. Dia cuba tabah demi setitis harapan untuk hidup bahagia bersama insan yang disayanginya. Walau seburuk mana pun perangai Danish, lelaki itu adalah suaminya. Suami yang akan hidup bersamanya di dunia dan akhirat.
“ Huh bila aku cakap, menangis! Tu la manja sangat! Dari kecil tak pernah kena tegur!” Bentak Danish seakan memberi ceramah kepada Zukhrina Syamimi sedangkan dia sendiri umpama orang yang tidak beragama kerana melayani sang isteri yang amat taat kepadanya dengan kasar sekali.
Egonya memuncak tinggi apabila Zukhrina Syamimi hanya diam membisu. Langsung tidak melawan. Dia tahu Zukhrina Syamimi amat takut pada dia. Bagi Danish lagi takut isterinya padanya lagi membuatkan dia lebih berkuasa.
“ Habis tu apa lagi yang boleh Nina buat selain dari menangis?” Tanya Zukhrina Syamimi dalam esakan yang sudah bergema. Bukan bermaksud untuk melawan tapi hatinya sudah tidak tahan dengan makian Danish itu. Dia tahu Danish tidak sayangkannya. Dan kata cinta yang ditaburkan selama ini hanyalah palsu belaka. Tetapi apa salahnya jika lelaki itu hormatkan perasaannya? Melayannya dengan baik!
Buntang biji mata Danish mendengar bibir munggil itu sudah pandai melawan. Segera dia mencengkam dagu isterinya hinggakan wanita itu mengaduh kesakitan. Zukhrina Syamimi pejamkan matanya rapat-rapat. Sungguh dia tidak berani untuk bertentang mata dengan mata yang ganas itu. Seumur hidupnya inilah pengalaman pertamanya berhadapan dengan wajah bengis sebegitu. Ya Allah kau selamatkanlah aku. Di dalam hati dia memanjat doa pada Yang Maha Esa.
“ Dah pandai melawan sekarang?” Soal Danish dengan nada yang tertahan-tahan. Tercabar egonya dengan sikap Zukhrina Syamimi itu. Perasaannya bergelora. Marahnya membuak-buak. Sepatutnya Zukhrina Syamimi perlu sedar siapa dirinya. Kalau tidak kerana belas ihsannya sudah pasti wanita itu akan merempat di jalanan!
Airmata yang mengalir sudah bercucuran laju. Kalaulah dia diberi pilihan tidak mungkin dia akan memilih hidup segetir ini. Kesedihan dan kesengsaraan yang terlalu hebat.
“ Hei pandang aku!” Tempik Danish pada Zukhrina Syamimi yang masih terpejam rapat matanya. Dia menguatkan lagi cengkaman di dagu Zukhrina Syamimi. Dia sengaja mendogakkan wajah wanita itu supaya mereka dapat bertentang mata.
Namun Zukhrina Syamimi ingkar. Dia rela dipukul daripada melihat wajah bengis itu. Sungguh dia begitu takut sekali. Ketakutan yang luar biasa yang dialaminya saat ini. Kakinya mengeletar hebat dan akan rebah pada bila-bila masa sahaja.
“ Pandang aku sekarang! Tadi berani sangat lawan cakap aku!” Danish sudah menunjukkan kuasanya. Kuasa sebagai seorang lelaki yang mengawal segala-galanya tentang Zukhrina Syamimi.
“ Maaf abang. Maaf.”
Perkataan itu diulangnya berkali-kali. Di dalam hati dia berdoa agar Allah melembutkan hati Danish. Semoga ada setitis simpati dalam hatinya untuk Zukhrina Syamimi yang tidak berdaya. Sedarkah Danish bahawa sebenarnya dia amat perlukan Danish untuk menyokongnya untuk meneruskan hidup ini. Dia sudah cukup lemah untuk melawan arus kehidupan yang cukup getir ini.
“ Maaf..maaf…Nah ambil ni!”
Penampar sulung sudah melekap di pipi kiri Zukhrina Syamimi. Danish sudah memuncak egonya apabila melihatkan Zukhrina Syamimi yang semakin lemah.
Zukhrina Syamimi menangis sambil memegang pipinya yang terasa panas. Kemudian tanpa menunggu sesaat dia terus berlalu ke kamar. Dia tidak menyangka bahawa Danish sanggup memperlakukan sebegitu kepadanya.
Di dalam kamar dia segera mendapatkan gambar ibu yang berada di dalam tas tangannya. Dia memandang sayu pada wajah tua itu mencari kembali kenangan yang memedihkan hati tetapi membuatkannya kembali merasai kehadiran insan kesayangan yang telah lama menjauh. Airmatanya mengalir sederas-derasnya. Hingga sesak nafas Zukhrina Syamimi menahan tangisan itu. Dia memeluknya erat ingin merasai kasih sayang ibu yang sudah jauh tercicir.
“ Ibu..ibu…” Tangisnya penuh sendu.
Zukhrina Syamimi amat merindui ibunya. Tapi dia sedar apa lagi yang mampu dia lakukan. Semua ini adalah kesilapan dirinya sendiri yang terlalu memilih tentang pasangannya. Keegoannya menerima pilihan ibu sebagai suaminya adalah penyebab dan terhasilnya kehidupan yang amat ganas ini. Sekarang baru dia merasai bahawa restu ibu adalah satu fakor yang amat penting di dalam suatu perkahwinan.
Betul, kasih dan sayang ibu yang membawa ke syurga.
Terfikir Zukhrina Syamimi. Adakah dia dapat menemui ibunya kembali? Ibunya sendiri telah meghalau dan tidak menerimanya sebagai seorang anak akibat dari kejadian yang memalukan keluarganya dahulu.
Zukhrina Syamimi tetap berdoa dan mengharap kepada Allah agar dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya.
Lidah dan mulutnya disaat ini sentiasa mengeluh dan menangisi nasib yang telah menimpa dirinya. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukan. Dia betul-betul merasakan kesunyian dan kesepian menggempur jiwa dan raganya.





No comments:

Post a Comment