Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 8

Matanya bulat memandang keindahan bilik yang dihias begitu indah. Jambangan bunga hidup di setiap sudut kamar membangkitkan aroma segar yang cukup menyelesakan. Namun begitu perasaannya cukup bergelora saat ini. Kesedihan yang masih menebal di dalam dirinya.
Ke manakah arah tujunya selepas ini? Bersama Danishkah? Memang dia mencintai lelaki itu sepenuh hati. Adakah Danish lelaki yang baik? Sebenarnya dia masih belum mengenali Danish sepenuhnya. Terutama sekali tentang keluarganya. Pertemuan mereka bermula di alam siber. Walaupun pada permulaannya dia tidak pernah tertarik pada Danish, namun semakin lama mengenali Danish semakin hati ini tertarik. Wajahnya yang cukup kacak, berkening lebat, mempunyai lekuk di dagu menjadikan Zukhrina Syamimi begitu berani untuk menjalinkan cinta dengannya di alam maya. Tidak disangka pertemuan pertama mereka di alam realiti memberi kesan yang cukup bermakna pada perhubungan mereka. Mereka ditangkap khalwat! Satu peristiwa yang menghancurkan dan melenyapkan hubungannya dengan keluarganya yang tercinta.
Dia benar-benar menyesal. Ini adalah satu tragedi yang tidak seharusnya berlaku. Ya! Tragedi ini adalah perkara yang amat mustahil akan berlaku kepadanya jika dia meletakkan harga dirinya di tempat yang betul. Mengapa perlu dia bersama dengan lelaki yang bukan muhrim di tempat sunyi begitu?
Nafsu syaitan sering mempengaruhinya agar terjebak ke kancah kemaksiatan ini. Dosa yang telah terjadi tetap telah pun terjadi. Bukan sekadar hanya dikesali sahaja. Sebaliknya dia perlu menghapuskan dosanya dengan taubat nasuha. Moga dia diampunkan oleh Yang Maha Esa. Tentang Ibu dan keluarganya, mudah-mudahan suatu masa nanti mereka akan menerimanya kembali.
” Kau keluar dari rumah aku sekarang. Mulai hari ini kau bukan anak aku lagi.” Kata-kata ibu sebelum dia melangkah keluar amat menyedihkan. Tapi apakan daya segala yang berlaku disebabkan oleh dirinya sendiri.
Sebak sungguh hati ini apabila mengingatinya. Dia telah dibuang jauh dari keluarga. Ke manakah harus disandarkan harapan untuk menempuhi liku-liku hidup ini? Selama ini Ibu adalah segalanya padanya. Dialah tempat Zukhrina Syamimi bermanja, melepaskan bicara mahu pun berkongsi suka dan duka. Dan kini siapakah yang akan mengantikan tempat ibu? Ah! Peritnya. Tidak terbayang perjalanan yang bakal dilaluinya tanpa Ibu.
Sedih, terkejut bercampur baur di dalam hati seorang anak apabila dibuang oleh ibu sendiri. Hati dan jiwa berperang sesama sendiri, menyesali perbuatan yang telah dilakukannya. Ya! Dia memang bersalah dan dia patut dihukum begini. Bisiknya sendirian.
” Ya Allah, kau ampunkan aku. Hanya Kau yang maha mengetahui Ya Allah akan segala kesilapanku.”
Hanya baris-baris ayat itu yang mampu diucapkannya saat ini. Dipandangnya pada Danish yang masih di sofa.
Danish yang dikenalinya dulu begitu asing sekali. Lelaki itu hanya membisu malah segaris senyuman pun tidak dihadiahkan padanya. Fikiran Zukhrina Syamimi ligat mencari satu penyelesaian untuk kebaikan mereka berdua. Dada Zukhrina Syamimi berdebar hebat tatkala memikirkan adakah tindakan Ibu mengahwinkan dirinya dengan Danish adalah satu tindakan yang wajar? Benarkah Danish adalah seorang lelaki yang baik? Sedangkan mereka baru pertama kali berjumpa. Bolehkah Danish melindunginya? Bolehkah Danish menjaganya? Bolehkah Danish menyanyanginya? Ah terlalu banyak soalan yang perlukan jawapan segera. Sungguh! Dia begitu tidak yakin dengan perkahwinan ini. Ya Allah, tolonglah hambamu ini.
Adakah Zukhrina Syamimi mampu menatang hari-hari yang mendatang bersama suami yang tidak pernah dikenali hati budinya? Malah dia rasa ragu untuk menggantung harapan pada lelaki itu.
” Tanggalkan pakaian kau!” Perintah Danish dengan nada tegas.
Zukhrina Syamimi tersentak hebat. Dia menelan air liurnya. Bersediakah dia menerima batang tubuh lelaki yang begitu asing baginya?


Danish menyedut kenikmatan aroma asap rokok dengan penuh perasaan. Kemudian disepit rokok itu dengan hujung dua jarinya dan menghembus keluar asap rokok yang membuak-buak. Namun kepalanya makin serabut. Serabut dengan masalah yang diciptanya sendiri.
Gila! Bagaimana dia harus berterus-terang pada emak tentang perkahwinan mendadak ini? Bukan setakat mengamuk, silap haribulan kepalanya yang akan dipenggal. Kenapalah dia yang pandai-pandai mencari penyakit. Tak pasal-pasal terpaksa ditanggung biawak hidup ini! Dia buntu.
Dikerling pada Zukhrina Syamimi yang mengiring ke kanan katil. Tubuhnya diselimuti hingga ke paras dada. Terdengar tangisan pilu isterinya itu. Namun Danish langsung tidak ambil peduli. Baginya Zukhrina Syamimi ini adalah bebanan yang tidak dapat diterimanya.
“Ayah tak kisah kau nak bersuka ria sampai ke tua pun tapi kalau berlaku sesuatu yang buruk ayah tak akan mengaku kau anak ayah lagi!”
Ugutan ayah suatu masa dulu bagaikan tergiang-giang di telinganya. Kalaulah ayah tahu berita yang mengaibkan ini……
Terlalu banyak perkara yang menyenakkan fikirannya saat ini. Entah di mana mahu disorok biawak hidup ini daripada pengetahuan keluarganya. Sudahlah dia baru bekerja setelah menamatkan pelajaran di Universiti. Keadaan dirinya sendiri masih belum stabil. Inikan pula mahu membela anak dara orang.
Saat ini dia hanya membantu emak menguruskan syarikat yang hampir bankrap. Malah ayah pula menetap di India untuk menjana modal syarikat di sana yang pada pendapatnya akan gulung tikar tidak berapa lama lagi. Ah pening!
Semakin lama mendengar tangisan Zukhrina Syamimi hatinya makin tertekan. Terasa mahu sahaja diplaster mulut isterinya itu. Sudahlah dadanya penuh sesak dengan masalah bertalu-talu. Mendapat isteri bukannya dapat menenangkan jiwanya langsung.
” Kau tak reti nak diam ke? Asyik memekak dari tadi! Tension aku!” Marah Danish dengan suara yang agak tinggi.
Zukhrina Syamimi nyata terkejut. Kekerasan nada suara Danish membuatkan hatinya jauh tersentuh. Di manakah bicara lembut lelaki itu? Bicara yang sering di ucapkannya suatu masa dulu.
Dalam kepayahan itu dia cuba menahan sendu yang bermaharajalela. Namun semakin ditahan semakin kuat tangisan itu berlagu. Oh Tuhan, kenapa perasaan ini sungguh mencengkam jiwa?
Kewalangan hati Danish makin meninggi. Entah kenapa dia jadi benci dengan Zukhrina Syamimi yang bagaikan beban padanya.
” Menangislah! Menangis kuat-kuat! Biar satu flat ni dengar tangisan kau tu!” Danish sudah memberi amarannya.
Mengapa lelaki ini berubah benar sikapnya? Zukhrina Syamimi keliru dan terkedu. Dia tidak faham sama sekali tentang diri Danish. Terlalu cepat Allah menduga rumah tangga mereka. Kenapa Danish bersikap kasar sebegitu sekali?
Dalam kepayahan dia mengawal emosinya itu, akhirnya dia berjaya juga mengawal sendunya. Namun dia masih tersedu lagi walaupun airmatanya tidak lagi mengalir. Seboleh mungkin dia cuba patuh pada setiap kehendak Danish.  Zukhrina Syamimi tahu sekarang dia adalah milik seorang lelaki yang bertaraf suami. Tidak bau syurga sekiranya dia tidak mematuhi segala kehendak suaminya.
Hati Danish masih belum puas. Marahnya masih meluap-luap tanpa sebarang sebab. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia membelasah Zukhrina Syamimi biar hatinya puas. Tapi dia bukannya seorang lelaki dayus begitu. Dia tahu taraf seorang isteri pada suami adalah amat tinggi dan dia perlu dijagai dengan baik. Sejahat-jahat Danish dia tetap mempunyai perasaan yang baik pada isteri segeranya itu.
Dipandang tajam pada tubuh Zukhrina Syamimi yang mengiring membelakangkannya. Entah kenapa hatinya mahu mencari lagi kesalahan isterinya itu. Seolah-olah satu kepuasan pula apabila dapat mendera mental Zukhrina Syamimi.
” Siapa ajar kau tidur membelakangkan suami? Tu lah padahnya jadi anak derhaka sampai ajaran orang tua pun tak nak dengar!” Jerkah Danish pada Zukhrina Syamimi dengan penuh perasaan marah.
Tajam sekali kata-kata Danish itu seperti belati yang menyiat setiap isi hati Zukhrina Syamimi. Setitik demi setitik airmatanya mengalir. Dia cuba bersabar. Mencari kekuatan dalam dirinya sendiri. Menahan airmatanya itu daripada terus-terusan mengalir. Menahan diri daripada menjadi seorang yang lemah dihadapan Danish.
Dalam kepayahan itu dia menarik nafas dalam-dalam. Dia menyeka sisa airmatanya yang terlekat di pipi. Kemudian dia membilang sehingga tiga, mencari keyakinan dirinya sebelum berpusing menghadap suaminya. Mengikut hukum yang sudah termaktub sejak azali.
Danish merengus kasar. Langsung tidak memandang Zukhrina Syamimi yang mengiring menghadapnya. Seolah-olah wanita disisinya adalah seekor anjing kurap yang langsung tiada nilai. Tanpa perasaan bersalah dia berpaling dan mengiring membelakangkan Zukhrina Syamimi.
Hujan di hati Zukhrina Syamimi makin lebat. Sungguh dia rasa begitu hina sekali. Sampai hati kau Danish memperlakukan aku sebegini. Oh Tuhan inikah balasan untuknya menjadi anak derhaka.
” Bukan ku pinta kehidupan begini Tuhan, aku mahukan seorang suami yang baik yang mampu menyayangiku sepenuh hati,” rintih Zukhrina Syamimi dalam esak tangisnya.
Zukhrina Syamimi menangis dan menangis lagi. Hanya itulah sahaja satu-satunya cara untuk melepaskan tekanan yang bersarang di jiwanya. Pelbagai tanggapan negatif tentang masa depannya mula bermain-main di fikirannya. Sesungguhnya Zukhrina Syamimi begitu takut untuk menghadapi kehidupan yang baginya kian suram ini.



No comments:

Post a Comment