Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 7

” Senang cerita, kita kahwinkan je mereka berdua ini,” seorang lelaki tegap yang di panggil Pak Su oleh keluarga Zukhrina Syamimi memberi cadangan membuatkan dada Danish berdebar hebat.
Danish tidak terkata apa. Hatinya bagaikan terpukul. Fikirannya berserabut. Dia tidak menyangka perkara sebegini yang akan dihadapinya.
” Betul tu. Kita kahwinkan mereka. Senang cerita,” lelaki tinggi lampai yang di panggil abang long juga bersetuju dengan cadangan itu.
Kelopak mata Danish nyata terkelip-kelip seketika. Dia sedar kemarahan keluarga Zukhrina Syamimi sudah tidak mampu di kawal lagi. Dia terus membisu. Apa yang berlaku di luar perancangannya. Mungkin inilah natijah bagi seorang buaya darat sepertinya. Dia mula serik dan sedar betapa tingginya langit dan bumi.
Tiba-tiba wajah insan yang di sayangi menjelma di layar ingatannya. Dia tidak boleh merunsingkan keluarganya dengan perkhabaran yang memalukan ini. Saat ini keluarganya sudah pun di rundung pelbagai masalah yang masih belum bertemu titik penyelesaiannya. Empayar syarikat yang di terajui oleh keluarganya sudah mula goyah dan memeningkan semua pihak. Di tambah pula dengan masalah adiknya yang baru sahaja bercerai membuatkan kedua orang tuanya bersedih. Alya yang sudah mula pandai memanggilnya daddy juga memerlukan perhatian yang lebih daripadanya. Perlukah dia menerima perkahwinan yang tidak di rancang ini? Tidak! Dia tidak harus menerima perkahwinan ini, niatnya untuk bertemu dengan Zukhrina Syamimi hanyalah suka-suka dan sekadar melihat kemampuannya untuk memiliki seorang gadis yang akan dijadikan pengubat kebosanan di dalam kehidupannya. Terpancar rasa menyesal di sudut hati Danish sekarang ini. 
” Macammana dengan kau? Setuju tak?” Jerit Abang Long tegas sekali.  Di renung keras pada wajah yang kelihatan takut-takut itu.
Danish menarik nafas perlahan-lahan. Dia cuba berlagak tenang. Dia berdehem sekali menghilangkan kekalutan hati sebelum bersuara,
” Maafkan saya,” hanya patah ayat itu sahaja yang mampu diungkapkannya saat ini.
” Maaf je kau tahu! Keluarga kami dah malu kau tak nak ambil tahu! Aku tak kira kau kena kahwin dengan anak saudara aku juga!” Gelodak rasa Pak Su semakin membara. Dicengkam leher baju Danish dengan telapak tangannya. Dia sudah mula hilang sabar. Ikutkan hati mahu saja diberikan sebiji penumbuk ke muka Danish. Baginya Danish telah merosakkan anak saudaranya yang selalu dimanjakan semenjak kematian abang iparnya.
” Sabar Pak Su...” Pinta Abang Long yang terkejut besar dengan tindakan Pak Su itu. Manakala ibu dan Kak Long hanya memerhatikan mereka. Masih ada sisa airmata di wajah kedua wanita itu. Mereka hanya membiarkan Pak Su dan Abang Long membuat keputusan yang terbaik untuk Zukhrina Syamimi. Sementara Zukhrina Syamimi masih lagi berkurung di dalam bilik.
” Nak sabar apa Long!” Pak Su sudah merah matanya sambil dijegil pada Danish yang kelihatan sudah pucat dengan tindakan Pak Su itu.
” Sabar dulu....”pujuk Abang Long sekali lagi. Dia sendiri tidak dapat menerima berita yang mengaibkan ini. Dia tidak sanggup melihat wajah kecewa di wajah Ibu dan isterinya. Walaupun Zukhrina Syamimi hanyalah adik iparnya namun dia menyayanginya lebih daripada adik kandungnya sendiri.
Ibu terus mendengar sambil menahan kepedihan yang bukan sedikit. Semakin nama Zukhrina Syamimi di sebut semakin hatinya luruh. Air matanya kini semakin di rasa mengalir tanpa surut. Kenapa Zukhrina Syamimi sanggup memalukannya sebegini? Tidak adakah secebis iman dalam hatinya sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya pada seorang lelaki yang baru dikenali? Bagi seorang Ibu apabila anaknya ditangkap berkhalwat menunjukkan anaknya itu sudah tidak suci lagi.
Ke mana hilangnya kesantunan orang melayu yang ibu didik kepada Zukhrina Syamimi sejak dari kecil lagi. Malah Zukhrina Syamimi di didik dengan bekalan agama yang cukup. Tinggi budi pekerti dan selama ini Zukhrina Syamimi berpegang kuat dengan nasihat ibu yang menjadi ibu tunggal sejak Zukhrina Syamimi kecil lagi.  
” Ini soal maruah long. Kita mesti kahwinkan mereka sebelum perkara ini menjadi lebih besar,” herdik Pak Su semakin berang sambil menggertapkan giginya.
” Biar saya tanya dia dengan baik,” usul Abang Long yang kelihatan merah mukanya menahan rasa yang sama. Namun dia masih mampu menahan sabarnya. Sememangnya diketahui sifat Abang Long yang penyabar dan selalunya berupaya menyelesaikan segala masalah dalam keluarga ini.
Pak Su duduk semula. Dia tarik nafas dalam-dalam sambil menyalakan rokok daun yang telah dibuatnya tadi. Sebak serta geram mengelami hatinya. Sebak melihat wajah sendu kakaknya yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi. Manakala Zurin terus menunggu butir bicara yang bakal diluahkan oleh suaminya kepada lelaki yang sudah menconteng arang ke muka keluarga mereka.
” Bagi pihak keluarga Zukhrina kami merayu pada Danish agar bersetuju menerima perkahwinan ini. Berat sekali kami nak terima perkara yang memalukan ini,” Abang Long berkata tenang dan cuba memujuk Danish agar bersetuju dengan apa yang dirancangkan oleh keluarga mereka. Dia sendiri merasakan semua yang di dengar ini hanya satu gurauan pahit.
Danish yang sudah mengeletar lulutnya terus menunduk. Lelaki yang berlagak penyabar ini pernah menghadiahkan penumbuk di mukanya tatkala mengetahui berita yang mengaibkan ini.
” Maafkan saya. Saya tidak dapat melakukannya,” kata Danish hampir tidak terkeluar suaranya saat itu.
Suara tangisan ibu paling ketara kuat sekali tatkala Danish meluahkan kata hatinya. Pelbagai andaian buruk terus menghempap sanubarinya tentang nasib anak daranya itu. Apa salah keluarga mereka hingga mereka terpaksa menanggung aib ini?  
Sepantas kilat Pak Su bangun dan terus merentap parang panjang yang tersangkut di dinding lalu dihunuskan di leher Danish.
” Kau mesti kahwin dengan Nina atau aku penggal kepala kau sekarang juga!” Terkam Pak Su bagaikan singa lapar. Suaranya keras sekali.
Dalam ketakutan Danish terpaksa mengangguk. Dia tidak mampu berfikir jauh lagi. Matanya masih tegak memandang parang panjang itu. Terketar lutut tatkala parang itu mencecah lehernya. Dia takut separuh mati.
Tidak sanggup dia membayangkan corak kehidupannya kelak. Dia hampir merasakan dunia ini tiba-tiba menjadi gelap-gelita tanpa segarit cahaya sudi menanti.
Deringan telefon mengejutkan Danish daripada lamunannya.
” Shiitt!!! Tak payah banyak tanya la! Aku suruh kau cari rumah. Rumah flat pun jadilah! Aku bukannya ada duit pun!” Danish menjerit pada pemanggil telefon yang masih tidak faham bahasa itu.
Zukhrina Syamimi terus memandang Danish yang kelihatan sungguh marah sekali. Benaknya kalut mencari jawapan kenapa Danish berubah sikap dengan tiba-tiba. Beribu-ribu jawapan negatif diterima. Namun dia masih tidak dapat menerima jawapan yang sebenar-benarnya.
” Abang, kita nak pergi mana ni?” Tanya Zukhrina Syamimi apabila mendapati kereta Danish sudah pun memasuki lebuh raya utara selatan.
Bagaimana Zukhrina Syamimi boleh hidup bersama Danish yang baru di kenalinya? Dia merasa aneh dengan penghidupan yang cukup asing ini. Hatinya tersentuh. Bayangan wajah ibu terdampar lesu di ruang kamar hatinya. Bayangan wajah itu jelas sungguh terluka.
Ibu tidak patut menghukumnya begini. Sudahlah dia di paksa berkahwin dengan Danish dan kini ibu sanggup membuangnya pula. Jauh daripada kasih sayang keluarga. Tidak adakah sedikit simpati di hati ibu? Sikap ibu amat mengharukan perasaannya. Ibu tidak sama sekali cuba menaruh kepercayaan kepadanya. Malah ibu terus menghukumnya tanpa sedikit pun memberi ruang kepadanya menjelaskan keadaann sebenar. Dia benar-benar tertekan dengan apa yang terjadi. Baginya inilah ujian yang paling besar yang harus ditempuhinya.
Mengapa ibu tega bersikap sedemikian? Mana kasih sayang ibu selama ini? Mana perginya sokongan ibu selama ini? Tidak termampukah ibu menghadapi sedikit dugaan yang diberikan Allah dalam perjalanan kehidupan yang hakiki. Sedangkan Zukhrina Syamimi terpaksa menghadapi lebih daripada itu membuatkannya mula terasa asing walau dalam keluarganya sendiri.
Zukhrina Syamimi mengeluh dalam hati. Dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa dia sudah menjadi kepunyaan orang kini. Perkahwinan yang sememangnya di luar perancangannya. Namun Zukhrina Syamimi harus akur dengan jodoh yang telah ditentukan Allah sejak azali lagi. Jodoh Zukhrina Syamimi sudah terbentang di hadapan mata. Jodoh yang boleh di pupuk dengan rasa cinta. Dia perlu redha menjadi isteri kepada Iqmal Danish.
Hati Zukhrina Syamimi sebak walau sedaya-upaya Zukhrina Syamimi kikis bayangan ibu yang menerpa setiap kali terpandangkan Danish. Kasihan bukan kepalang kepada ibu. Dapatkah ibu menerima kenyataan yang terhampar ini.
” Ah! Diamlah kau!”
Tersentak dada Zukhrina Syamimi mendengarnya. Kenapa Danish sanggup bersikap kasar padanya? Adakah Danish sudah tidak sayangkannya? Tidak! Danish bukannya begitu.
Zukhrina Syamimi sedaya upaya menahan airmatanya daripada merembes keluar. Sampai hati Danish berkasar dengannya. Di dalam benak tidak berfikir apa-apa lagi kecuali tentang sikap Danish yang jauh berubah setelah mereka di nikahkan.
Zukhrina Syamimi menarik nafas dalam-dalam. Walau apa pun corak kehidupannya kelak dia harus kuat kerana apa yang telah berlaku adalah berpunca daripadanya. Dia yang sebenarnya memilih jalan hidup begini dan dia harus redha.






No comments:

Post a Comment