Monday 18 June 2012

Tanpamu Di Sisi Bab 6

Kalaulah masa itu boleh diulang sekali lagi, alangkah baiknya. Dia mahu ubah semua yang berlaku. Sumpah dia cukup menyesal. Penyesalan yang tiada penghujungnya.
Ya Allah, mampukah dia hidup dengan rasa sesal ini?
” Anak setan!” Dia terus-terusan dimaki.
Tidak cukup dengan itu dia dihadiahi dengan penampar sulung dari ibu.
Dia hanya mendiamkan diri. Langsung tidak melawan. Penglihatannya jadi kabur.
” Aku tak pernah ajar kau berzina!” Suara Ibu semakin meninggi.
Dia mengesat airmata. Tidak! Dia tidak melakukan kesalahan itu. Percayalah!  Dia inginkan semangat dari seseorang. Sekiranya Danish berada di sisinya sekarang ini, pasti dia sudah lari mendapatkan perlindungan darinya. Dia perlukan seseorang yang boleh menyelamatkan dia dalam keadaan ini.
Dia rasa gementar sekali. Tangannya sudah sejuk. Pengalaman ini memberi kesan mendalam dalam hidupnya. Siapalah dia untuk mengubah takdir. Namun hakikat sebenar harus ditelan walaupun perit.
” Jangan nak buat muka sedih di sini! Aku nak tahu kenapa kau buat perangai macam ni?” Marah Kak Long yang sudah merah mukanya. Kak Long yang sudah beranak dua itu sudah mendidih darahnya apabila mendapat berita adik bongsunya ditangkap khalwat.
Zukhrina Syamimi hanya mendiamkan diri. Sedikit pun dia tidak berani bertentang mata dengan semua ahli keluarganya.
” Heiii!!!! Kenapa diam??” Sergah Kak Long sekaligus menghadiahkan penampar di mukanya.
Airmatanya semakin deras mengalir. Terasa panas pipinya dek penangan Kak Long tadi. Dia tidak dapat mengawal perasaannya. Dia sedih kerana diperlakukan sebegini oleh keluarganya. Kenapa mereka tidak mencari jalan penyelesaian dengan cara baik?
” Kau ni tak ada maruahkah?” Suara Kak Long kian lantang.
Zukhrina Syamimi tetap membisu.
” Sabar Zurin.” Abang Long cuba menenangkan keadaan.
Kak Long hanya mengeluh manakala ibu pula sudah bercekak pinggang. Bagi Ibu dia tidak perlukan penjelasan daripada anak yang sudah pandai menconteng arang di mukanya. Keadaan tidak mungkin dapat dibetulkan lagi. Anak daranya sudah pun ditebuk tupai.
Zukhrina Syamimi memberanikan diri memandang ke arah Abang Long. Namun tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Airmatanya semakin laju bercucuran.
” Hei!!! Anak tak sedar diuntung!” Sergah Ibu menarik tangannya dengan kasar. Zukhrina Syamimi cukup terkejut dengan sikap Ibu itu.
” Kenapa kau buat begitu? Tak malukah kau? Kau tak ada maruahkah?”
” Sumpah bu, adik tak buat apa-apa pun!”  
Esakannya makin kuat kedengaran. Sampai begitu sekali Ibu memarahinya. Dia rasa begitu hina sekali. Dimaki dihamun sesuka hati. Kenapa insan yang paling dia sayangi sanggup memarahinya begitu sekali?
Geram dengan sikap Zukhrina Syamimi yang hanya tahu menangis itu, tanpa diduga ibu mencekik leher anak bongsunya.
” Kalau aku tahu kau nak memalukan aku, dari kecil lagi aku dah cekik kau!” Marah Ibu sambil terus-terusan mencekik Zukhrina Syamimi. Tidak terduga permata hatinya sanggup menconteng arang di mukanya. Selama ini dia sanggup mengorbankan diri, melakukan apa sahaja dan melupakan kepentingan peribadi demi menjayakan kasih  sayang pada seorang anak. Adakah ini balasan yang setimpal atas segala keringatnya membesarkan sang anak seperti menatang minyak yang penuh?
” I...bu...” kata Zukhrina Syamimi tersekat-sekat. Nafasnya juga sudah sesak. Tanpa simpati Ibu kuatkan lagi cekikannya itu. Dia jadi lupa bahawa suatu masa dulu anak inilah yang ditatangnya bagai minyak yang penuh. Kasih sayangnya sudah padam sejak dia mendapat berita yang mengaibkan itu.
” Sabar ibu, mati adik nanti.” Pujuk Abang long cuba meleraikan cekikan Ibu itu. Kak Long yang hanya berpeluk tubuh hanya menjeling.
” Biarlah dia mati! Tak de lah memalukan kita!” Herdik Kak Long yang cukup benci melihat wajah adik bongsunya itu.
Tanpa memperdulikan pujukan Abang Long, Ibu terus mengamuk bagaikan orang yang hilang pedoman. Kali ini Ibu turut dibantu oleh Kak Long. Tangan Ibu dan Kak Long terus memukulnya berkali-kali. Mereka terlalu marah kepadanya saat ini. Terasa ada cecair pekat mengalir keluar dari celah bibir. Ya Allah selamatkan aku! Doanya di dalam hati.
Zukhrina Syamimi tahu Ibu dan Kak Long malu pada orang kampung. Dia tahu apa yang terjadi bukan sesuatu yang boleh diterima oleh keluarganya. Namun berbaloikah kesalahannya ini dengan penyeksaan yang telah dihadiahkan oleh keluarga padanya?
Tiada siapa yang memahami perasaannya saat ini.Tuhan sahaja yang tahu betapa seksa hidupnya tatkala ini. Mengapakah dia terus-terusan di hukum begini? Tiada ruangkah untuknya memperjelaskan kesalahan yang telah dilakukannya ini?
Dari detik ini bermulalah episod luka dalam hidupnya. Zukhrina Syamimi anak manja dalam keluarga sudah mula dibenci. Ibu pasti meradang apabila melihat dirinya. Kak Long pula memusuhi dirinya bagaikan dia seorang anak iblis. Abang Long tidak berkata apa-apa. Juga tidak membantu.
Untuk menutup malu, Zukhrina Syamimi dikahwinkan dengan Danish. Lelaki yang ditangkap khalwat bersamanya. Namun dia tidak menyalahkan Danish kerana apa yang berlaku bukannya seperti apa yang dicanangkan masyarakat tatkala ini. Dosanya hanya berdua-duaan dengan lelaki itu di tempat sunyi. Tapi mereka dihukum bagaikan sudah melakukan dosa yang dilaknat Allah itu!
Pada mulanya dia sangka dia dapat menerima keadaan yang bakal ditempuhi akibat kesilapan diri sendiri. Dia tidak sangka Ibu akan memusuhinya bagaikan Zukhrina Syamimi anak tirinya.
Dia cuba memujuk diri untuk menerima takdir ini. Meskipun rasa bersalah makin mencengkam jiwa, dia sedar ia tidak akan dapat diulang kembali. Dia tiada kuasa untuk membetulkan kesilapan kelmarin. Takkan kerana kesilapan lalu, dia harus memenjarakan diri dan meratap menyesali perbuatan?
Ah! Lupakan sahaja. Perlu apa dia mengenang kembali? Walaupun payah dia terpaksa teruskan hidup ini. Hidup sebagai seorang isteri kepada Iqmal Danish.
” Kau keluar dari rumah aku sekarang! Mulai hari ini kau bukan anak aku lagi!” Jerkah Ibu setelah selesai Zukhrina Syamimi dinikahkan.
Zukhrina Syamimi terkedu. Tidak sangka begitu jauh sekali Ibu membencinya. Dia yang bertanggungjawab menanam setiap kebencian yang wujud di hati ibu. Dia yang bersalah! Dia yang bodoh! Dia betul-betul menyesal dengan kesilapan yang telah dilakukannya.
Hatinya benar-benar sedih. Dia rindukan masa-masa indah ketika hubungannya dengan Ibu masih baik. Dia ingin mencurah dan memberikan kasih pada Ibu. Tetapi takdir telah mengubah keadaan tersebut. Kini siang malam dia berdoa agar keadaan kembali pulih. Biarpun di hatinya sudah terpalit rasa duka.
” Maafkan adik, Ibu.” Pujuk Zukhrina Syamimi sambil melutut memohon maaf dari Ibu. Dia mahu sujud di kaki Ibu dan mengakui kesalahan yang dilakukannya. Danish pula hanya membisu. Tidak pula mahu memohon maaf supaya hati Ibu sejuk. Sikap lelaki itu begitu ganjil sejak mereka dinikahkan.
Dipandang pada riak wajah Danish sekilas. Ingin meminta simpati pada lelaki itu. Cepatlah Danish melutut bersama isterimu ini. Cepatlah memohon maaf pada Ibu. Ibu pasti akan memaafkan kita. Ibu tetap sayangkan anaknya yang satu ini. Tak mungkin Ibu akan membuang anak manjanya ini.
Zukhrina Syamimi tahu marah Ibu cuma sebentar sahaja. Walau apa yang terjadi Ibu tetap sayangkannya. Ibu tetap kasihkannya.
Ibu pandang pada Zukhrina Syamimi sekilas. Rasa marahnya cukup meluap-luap. Mana mahu diletakkan mukanya setelah apa yang telah berlaku. Dia tidak sanggup lagi menahan aib.
” Pergi kau dari sini!” Tengking Ibu sambil menyepak anak bongsunya yang masih sujud di kakinya.
Ah! Kesilapan ini sebenarnya telah memyusahkan mereka. Kesilapan ini menyebabkan dia terbuang sendirian. Kealpaannya menghumbannya jauh dari kasih sayang Ibu. Terus-terusan menyiksa perasaan Ibu.  
Namun Zukhrina Syamimi tetap berdegil. Dia tetap tidak mahu berganjak. Dia tahu dia perlu bersabar. Kejap lagi pasti ibu akan memeluknya. Dia yakin Ibu tidak sampai hati untuk membuangnya. Dan segalanya akan kembali seperti sedia kala jika dia bersabar.
” Nah! Berambus kau dari sini!” Tengking Kang Long yang baru keluar dari bilik. Dia membawa beg pakaian milik Zukhrina Syamimi lalu dihumbannya ke tanah.
Tuhan, apakah hukuman yang aku lalui ini setimpal dengan kesalahanku ini? Perlukah dia dibenci oleh insan yang cukup disayanginya ini? Tidak! Dia tidak sanggup menghadapinya.
” Ibu, tolong ibu. Jangan benci adik ibu. Ibu, adik masih mahu bau syurga bu. Tolong maafkan adik! Makilah adik, pukullah adik. Adik rela, asalkan ibu puas. Tapi jangan halau adik begini bu. Tolong bu. Maafkan adik.” Rintih Zukhrina Syamimi dalam esak tangisnya.
Namun sayangnya hati Ibu sudah keras. Kesalahan Zukhrina Syamimi tiada maafnya lagi. Dia tidak boleh menerima Zukhrina Syamimi sebagai anaknya lagi.
Ah Ibu ke manakah jalan yang harus dia tuju selepas ini?





No comments:

Post a Comment