Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 5

Apa ertinya cinta? Dia sendiri tidak pasti. Perasaan itu tiba-tiba hadir apabila Danish muncul dalam hidupnya. Entah mengapa di matanya sekarang hanya ada Danish. Entah mengapa siang dan malam dia hanya teringatkan Danish. Beginikah rasa cinta? Ohh... indahnya cinta ini? Hati Zukhrina Syamimi tertanya-tanya adakah dirinya sememangnya tercipta untuk Danish?
Segala persoalan tentang cinta terus bermain di fikiran Zukhrina Syamimi. Zukrina Syamimi kelihatan seperti dipukau dengan pukulan cinta yang amat kuat setelah dia mengenali seorang lelaki bernama Iqmal Danish. Baginya inilah takdir cinta untuknya dan pasti dia tidak akan melepaskan dan terus membawa dirinya untuk menerobos dan meneroka cinta yang sudah tercipta untuknya ini.
Renungan Zukhrina Syamimi tidak berkelip. Rentak-rentak naluri bagaikan irama lagu cinta yang sering bernyanyi di corong radio. Dia lupa pada nasihat Kak Long. Dia lupa pada niat murni ibu yang mahu bermenantukan Hadi. Benarkah apa yang dipandang adalah lelaki yang telah mencuri hatinya di alam cyber? Cinta yang tidak pernah kenal dunia nyata. Walaupun tidak pernah bersua tetapi penuh dengan rasa cinta yang tidak terpupus hingga saat ini. Inilah takdir untuknya. Malah, Niza selalu berpesan kepadanya bahawa sebagai manusia kita juga boleh dan mampu untuk mencipta takdir kita. Zukhrina Syamimi tetap dan tekad dengan keputusannya untuk menerima Danish sebagai pelengkap hidupnya.
Kelopak matanya, hidungnya, ulas bibirnya cukup membuatkan naluri wanitanya bergetar. Apabila ulas bibir itu mengukirkan senyuman membuatkan burung-burung di taman ini bernyanyi keriangan. Adakah keriangannya ini mampu di kongsi oleh semesta alam lalu melakarkan pelangi indah di dada langit?
Jauh di sudut hatinya ada kebahagian dan rasa cinta yang mengalir hangat ke dalam lubuk hatinya. 
” Saya Danish, ini Zukhrina Syamimi ke?” Bicaranya lembut sekali.
Zukhrina Syamimi masih tidak lepas memandang pada seraut wajah yang sudah mencuri hatinya ini. Wajah yang mempersonakan itu sudah membuatkan dia penasaran. Sekali lagi dadanya bergetar membibitkan rasa cinta yang tidak terhingga. 
Sapaan manja penuh kelakian yang dilontarkan oleh Danish kepadanya amat mempersonakan jiwa. Tidak pernah Zukhrina Syamimi menjangka dia akan bertemu dengan pria yang sehebat ini dalam hidupnya.
Zukhrina Syamimi hanya mengangguk. Dilemparkan senyuman manis kembali kepada lelaki di hadapannya. Dia mempersilakan lelaki itu duduk dengan penuh kelembutan sebagai seorang wanita sejati.
Lelaki di hadapannya tersenyum sambil terus memandang dirinya tanpa jemu. Timbul pula rasa malu di dalam dirinya. Terfikir di dalam benak fikiran Zukhrina Syamimi, adakah benar apa yang berlaku kepadanya ini?
” Susah tak cari taman ini?” Tanya Zukhrina Syamimi memulakan bicara.
” Agak susah juga la. Tiga kali saya berpusing di pusat bandar. Dari jauh nampak dah menara Alor Setar, tapi nak sampai tu...azabnya. tersesat-sesat dibuatnya.” Terang Danish ramah sekali.
Dia sendiri tidak percaya dengan dirinya kerana sanggup datang ke Alor Setar semata-mata mahu bertemu teman cyber. Bukan disebabkan sayang tetapi hanya sekadar suka-suka. Mahu menguji tinggi mana sahamnya. Sememangnya Danish adalah seorang yang suka berfoya-foya. Danish berjaya menunjukkan keikhlasan yang sebenarnya adalah palsu terhadap Zukhrina Syamimi.
” Saya rasa saya dah pilih taman yang senang awak nak jumpa. Sebelah Menara Alor Setar  je. Tak sangka la pula begitu azabnya awak nak jumpa menara ini. Lain kali kita jumpa kat plaza tol je lah. Lagi senang kan?”Zukhrina Syamimi cuba membangkitkan kemesraan antara mereka.
” Bernas juga idea awak tu! Nanti kita buat ye!” Ujar Danish cuba mengambil dan membeli hati Zukhrina Syamimi.
Zukhrina Syamimi cuma tersenyum. Kali pertama memandang, lelaki ini nampak menarik dan terpelajar. Bibirnya merah bermakna mungkin dia tidak merokok. Mukanya bersih tanpa sebarang jerawat terpalit di muka. Kukunya juga bersih dan pendek. Bajunya juga kemas dan penampilannya juga menarik. Lelaki ini cukup sempurna dari luar. Bagaimana dalamannya? Kata ibu, kalau mahu memilih calon suami carilah lelaki yang beriman. Bagaimana pula dengan Danish? Tidak mengapa dia masih mempunyai banyak masa untuk menilai lelaki ini.
So apa perancangan kita hari ini?” Tanya Zukhrina Syamimi yang sudah semakin relaks. Dari semalam lagi, hatinya sudah tidak tenteram memikirkan tentang pertemuan ini.
” Apa kata kita pergi makan dulu. Perut saya ni sudah bernyanyi lagu dondang sayang,” Danish memberi cadangan.
Zukhrina Syamimi hanya menurut cadangan Danish itu. Dengan menaiki kereta Proton Perdana milik Danish mereka mula bergerak menuju ke restoran makanan segera.
” Awak drive sorang ke dari KL?” Tanya Zukhrina Syamimi ketika mereka sama-sama menikmati makanan.
Danish yang kelihatan begitu sopan menjamah makanan sambil mengiakan pertanyaan Zukhrina Syamimi. Gadis di hadapannya ini benar-benar jelita. Masakan dia sanggup ke sini kalau tak kerana kejelitaan asli yang di miliki oleh gadis ini.
” Penatnya. Bukannya tak boleh tunggu habis cuti semester saya.” Zukhrina Syamimi meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dia cukup tidak percaya dengan kesungguhan Danish itu. Sudah acapkali dia mengutarakan agar mereka bertemu sahaja di Kuala Lumpur selepas dia tamat cuti semester kerana dia belajar di Universiti Malaya. Namun Danish berkeras. Katanya dia sudah tidak boleh menunggu lagi.
” Apa salahnya saya berkorban sedikit untuk awak,” kata Danish mula mengeluarkan ayat manis. Dia tahu dengan perempuan dia perlu bersikap ’gentleman’ baru mereka ’cair’. Pandai sungguh Danish bermain cinta. 
Zukhrina Syamim mula terbuai dengan kata-kata Danish yang begitu lembut itu. Dia mula yakin dengan kata hatinya bahawa inilah jodohnya. Ciri-ciri lelaki idamannya hampir sudah lengkap pada lelaki yang ditemuinya pada hari ini.
” Kesian awak. Tak pasal-pasal kerana saya melayang duit awak.”
” Demi awak, lautan api pun sanggup saya harungi,” seloroh Danish.
Zukhrina Syamimi mencebirkan bibir mendengarkan bicara Danish itu. Pertemuan ini membuahkan benih-benih kemesraan antara mereka.
” Sebenarnya saya baru dapat duit insuran. Tak de lah banyak tapi bolehlah tampung duit poket untuk ke sini,” ujar Danish berterus-terang. Lagipun dia tidak kisah berhabis duit asalkan mendapat pulangan yang lumayan. Mana tahu gadis jelita ini dapat mengisi kebosanan hidupnya nanti.
” Insuran? Awak lepas accident ke?”Zukhrina Syamimi sudah mula panik. Dia bimbangkan keadaan Danish. Ah hati, mengapa terlalu cepat sekali kau jatuh cinta sedangkan ini hanyalah pertemuan pertama?
Danish tersenyum. Hatinya tercuit dengan kebimbangan yang dipamerkan gadis cyber itu. Sayangkah gadis itu padanya? Ah cinta cyber bukannya boleh dipercayai! Kelihatan Danish juga masih berhati-hati dengan teman cyber yang cukup istimewa yang ditemuinya.
” Taklah. Insuran yang saya ambil ni, every three years saya akan dapat pulangannya,” terang Danish.
Selalunya dia akan menjaja kepada setiap wanita yang mahu di pikatnya bahawa dia adalah anak seorang tokoh korporat yang ternama. Dia tahu dengan cara itu mereka akan terus terpikat dengannya tanpa perlu dia bersusah-payah mengejar mereka. Tapi kali ini dia menggunakan pendekatan yang lain pula. Dia mahu tengok adakah sahamnya masih lagi tinggi kalau dia tidak menggunakan kedudukannya dalam memikat.
” Oh ye ke? Saya ingat kalau melabur dalam insuran selagi tak berlaku kematian atau kemalangan selagi itulah kita tak akan dapat duit.”
Zukhrina Syamimi mula malu dengan kebimbangan yang dipamerkannya sebentar tadi. Tu lah! Gelojoh sangat! Dia mula mengumam di dalam hati.
” Taklah. Ia bergantung kepada jenis polisi insuran yang kita pilih. Polisi yang saya pilih ini , setiap tiga tahun sepanjang tempoh polisi berkuatkuasa, saya akan menerima pembayaran tunai sebanyak 12.5% daripada jumlah yang diinsurankan. Sebagai contoh, sekiranya saya diinsurankan sebanyak RM100,000 bagi tempoh 21 tahun berikutnya, saya akan menerima pembayaran tunai sebanyak RM 12,500 setiap tiga tahun.”
Lelaki itu bijak mengutarakan topik perbualan antara mereka membuatkan pertemuan mereka ini bertambah bermakna. Cara lelaki ini menuturkan bicara menunjukkan ketinggian ilmu yang dimilikinya. Ya lelaki itu begitu hebat di matanya. Tidak seperti Hadi yang ibu banggakan itu. Hadi hanya tahu berbicara tentang isu remeh-temeh yang langsung tiada pendekatan ilmu di dalamnya.
” Wow, kayalah awak sekarang ini,” seloroh Zukhrina Syamimi.
  Iskh tak de lah. Itu contoh je. Saya manalah ada duit sampai nak insurankan diri saya sebanyak 100 ribu,” Danish merendah diri.
” Ala...baru je berangan-angan nak tackle awak. Ingatkan bolehlah jadi janda kaya kelak,”Zukhrina Syamimi cuba berjenaka.
Danish ketawa. Apabila dia ketawa ada sepasang lesung pipit di kedua belah pipinya. Cukup memukau! Bertuahnya dia kerana dapat menakluki hati lelaki ini.
” I’m assume that we are already in love, aren’t we?”Danish cuba mengintai kamar hati Zukhrina Syamimi.
Zukhrina Syamimi tergamam seketika. Dia rasa malu dengan pertanyaan Danish itu. Perlukah dia berterus-terang dengan perasaan yang bergolak saat ini? Dia seumpama tidah keruan, bagaimana dia mahu memberikan jawapan kepada persoalan Danish? Zukhrina Syamimi takut sekiranya jawapan yang diberikan nanti tidak menepati kehendak Danish. Persoalan ini juga umpama perangkap baginya.
” Awak ni, kenapa tanya soalan macam ni? Malu saya!” Zukhrina Syamimi cuba menutup malunya dan cuba memulangkan semula persoalan itu kepada Danish. Entah bagaimana rupanya saat ini.
Danish tersenyum lebar. Betapa mudahnya perasaan wanita ini di sentuh. Di lubuk hati Danish sudah mula yakin bahawa gadis ayu di depannya ini akan berada di dalam genggamannya.
” Bukankah kita sudah menyatakan perasaan masing-masing time chatting dulu?” Danish cuba menyelak perasaan Zukhrina Syamimi yang sebenarnya. Dia tidak akan pernah percaya dengan teman cyber. Di sini ucap sayang dan di sana juga ucap sayang. Dan jika bertemu nampak agak tidak menarik terus menghilangkan diri tanpa dapat di kesan lagi. Dia juga melakukan perkara yang sama di alam maya.
Zukhrina Syamimi terus menunduk. Dia sudah tidak sanggup lagi bertentang mata dengan Danish. Hatinya sebenarnya sarat dengan rasa cinta yang teramat pada Danish.
” Atau awak sengaja mainkan perasaan saya?” Danish masih mahu bermain kata. Dia hanya sekadar suka-suka.
Pantas sekali Zukhrina Syamimi mendongak. Dia tergamam dengan persoalan yang di ucapkan oleh Danish.
” Bukan begitu.” Zukhrina Syamimi cepat-cepat menyangkal kata-kata Danish itu. Dia tidak mahu di tuduh menipu. Lagipun hatinya sudah pun di curi oleh Danish. Cuma dia perlu lebih berhati-hati. Banyak penipuan yang berlaku di alam cyber. Dan dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya.
” Habis tu?’ Soal Danish lagi untuk mendapatkan kepastian daripada Zukhrina Syamimi.
Wajah tampan itu tidak jemu-jemu memandangnya. Dadanya bergetar lagi. Apa maknanya rasa yang mendadak datang ini? Tiba-tiba sahaja dan bukan di buat-buat.
” Kita perlukan lebih banyak masa untuk mengenali satu sama lain,” luah Zukhrina Syamimi dengan jawapan yang dianggap adil baginya kepada Danish.
Bukan dia mahu menafikan perasaannya, tetapi dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Ini adalah soal jodoh. Dia tidak mahu tersilap satu langkah pun, kerana soal jodoh bukan sesuatu yang boleh dibuat main dan tidak ia semudah membuat keputusan seperti suatu permasalahan yang remeh.
” Betul kata awak tu. Saya juga tak nak terburu-buru dalam soal jodoh ini. We should know each other first. But I want you to know that I am realy serious about this relationship,” luah Danish dengan penuh rasa bertanggungjawab.
Zukhrina Syamimi tergamam seketika. Cepat dan pandai benar lelaki yang tampan ini bermain kata. Namun dia cukup senang dengan kata-kata manis yang dilemparkan lelaki tampan ini.
Suatu masa dulu lelaki ini pernah mengucapkan kata-kata yang sama. Tetapi dia tidak berapa mengambil serius kerana janji itu dilafazkan di alam cyber. Tapi kini, bolehkah kata-kata lelaki itu dia pegang dan sekaligus dia terus memasang angan untuk membina istana nan indah?
” Jangan terburu-buru Danish. Kelak memakan diri,” Zukhrina Syamimi masih cuba menyangkal apa yang sedang terbit di dasar hatinya saat ini.
Danish tersenyum lebar dengan bicara Zukhrina Syamimi itu. Danish makin berminat untuk terus bermain kata. Baginya ini adalah satu peluang baginya untuk menghilangkan kebosanannya dan gadis di depannya ini pula akan pulang ke KL untuk meneruskan pengajiannya di sana. Alangkah bertuahnya jika gadis ini jatuh ke tangannya.
” Saya tahu awak tak akan menghampakan perasaan saya.” Pinta Danish dengan penuh kerendahan hati.
Zukhrina Syamimi terkedu sekali lagi. Yakin benar Danish dengan kata hatinya. Bibirnya terus mengukir senyuman lebar.
Memang ada yang istemewa pada diri Danish. Terlalu istemewa sehingga setiap saat hati tidak pernah putus untuk memikirkannya.
Setelah berbual kosong, Danish membawanya bersiar-siar. Kemudian Danish memberhentikan keretanya di tempat letak kereta di Taman Tasik Bayu. Kali ini mereka hanya berbicara di dalam kereta. Kata Danish dia mahukan lebih banyak masa berdua. Manakala Zukhrina Syamimi hanya mengikut sahaja.
” Nina, awak percaya tak kepada cinta cyber?” Tanya Danish.
” Entahlah. Tapi banyak orang kata, kita kena berhati-hati dengan teman cyber,” jujur sekali Zukhrina Syamimi meluahkan pendapatnya. Apabila gadis itu berbicara bibir munggilnya sentiasa tersenyum. Ini membuatkan Danish bertambah tertarik dengan  kejelitaan yang dimiliki oleh gadis itu.
” Jadi, awak tak percaya pada saya?” Danish memang bijak bermain kata. Jam ketika itu sudah pun menginjak ke angka 12 tengah malam.
” Bukan....bukan begitu maksud saya.”
Zukhrina Syamimi mengakui jauh di sudut hatinya dia begitu senang sekali bersama Danish. Pertemuan ini adalah pertemuan yang cukup bermakna. Malah kasih yang sedang berputik ini kian subur dibajai dengan layanan mesra Danish padanya hari ini.
” Habis tu, apa Nina? Cakap je lah yang sebenarnya awak sengaja nak mainkan hati dan perasaan saya!” Danish masih mahu menduga.
” Bukan...” Zukhrina Syamimi tidak menyangka Danish akan berkata begitu. Adakah lelaki itu sudah berkecil hati dengannya?
” Atau awak sengaja nak kenakan saya?”
Zukhrina Syamimi sudah mahu menangis apabila terus-terusan di asak dengan pelbagai tanggapan buruk dari Danish. Dia hanya menunduk. Untuk berterus-terang dia semakin malu. Dia berharap benar Danish dapat menjadi pelindung dirinya dan lelaki yang akan memimpinnya di dunia dah akhirat.
Melihatkan keadaan Zukhrina Syamimi begitu, Danish mula bersikap lembut. Dia sememangnya bijak membaca hati seorang wanita.
” Awak sayang saya tak?” Danish terus menjerat Zukhrina Syamimi. Tangannya pula sudah berada di pipi Zukhrina Syamimi. Membelai-belai wajah yang cukup jelita itu.
Muka Zukhrina Syamimi terasa panas tiba-tiba. Dia begitu malu sekali. Dia tidak sanggup lagi untuk melihat riak kecewa di wajah Danish. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia masih menunduk kerana malu untuk terus memandang wajah yang amat dicintainya.
”Sungguh?” Bisik Danish yang sudah pun tersenyum suka hati. Setiap nafas Danish terasa hangat di pipi Zukhrina Syamimi.
Berkali-kali Zukhrina Syamimi mengangguk. Perasaan Zukhrina Syamimi terus di buai. Sesungguhnya malam ini telah mencatatkan satu lagi kenangan yang cukup bermakna dalam hidupnya.
” Kami pencegah maksiat. Boleh kami tahu apa hubungan kamu berdua dan boleh kami tengok kad pengenalan kamu berdua?” Tiba-tiba suara yang kuat didengarinya dari luar kereta membuatkan mereka kembali tersedar.
Jelas Zukhrina Syamimi terkelu dan terkedu. Matanya tidak berkelip memandang kepada dua susuk tubuh yang berketayap di luar kereta mereka. Mulutnya terlopong dan dadanya berdebar hebat.
Perasaan takut dan menyesal timbul di dalam hati Zukhrina Syamimi. Tidak disangkanya bahawa pertemuan pertama dia dengan lelaki idamannya ini melakarkan satu lagi episod baru dalam hidupnya. Yang pasti episod ini adalah sebuah peristiwa hitam baginya dan keluarganya.
Ketika saat ini barulah Zukhrina Syamimi terpikirkan dan terbayangkan wajah-wajah keluarganya yang tersayang. Wajah ibu dan Kak Long terus menerjah masuk ke dalam mindanya. Apakah yang harus dia lakukan? Bagaimana dia mahu berdepan dan menerangkan perkara sebenar kepada keluarganya? Zukhrina Syamimi buntu dan tidak dapat berfikir apa-apa.
Tiba-tiba wajah arwah ayah yang sudah lama tidak di bayanginya muncul di layar ingatannya. Wajah arwah ayah kelihatan sedih sekali. Kalaulah ayah masih hidup pastinya ayah akan bersedih dengannya. Dialah pencakar maruah keluarga. 
            Zukhrina Syamimi merasakan dia telah memalukan keluarganya dengan apa yang telah terjadi. Fikirannya amat bercelaru sekarang. Perasaan sedih, takut dan penuh kekesalan bercampur di dalam dirinya. Zukhrina Syamimi cuba melihat Danish yang dilihat amat tenang. Dia mengharapkan agar Danish membantunya menyelesaikan episod baru yang menjadi satu pengalaman sedih bagi mereka berdua. 
            Betullah sesungguhnya Allah amat berkuasa terhadap sesuatu. Tadi dia dan Danish berada dalam alam yang amat indah tetapi sekelip mata keindahan itu berubah sebaliknya.





No comments:

Post a Comment