Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 4

Sememangnya anganan itu indah belaka. Cukup mempersonakan hingga kadang-kala dia hanyut dalam impian indah itu. Zukhrina Syamimi terus dilamun cinta sementelah lagi dia tidak pernah dilamun cinta. Adakah ini cinta pandang pertamanya. Zukhrina Syamimi terus bingung memikirkan apa yang sedang dialaminya.
” Saya serius terhadap awak. Kalau boleh saya mahu ambil awak sebagai isteri saya.”
Suara di corong telefon cukup mengasyikkan. Ah! Dia sudah kalah dengan kata-kata manis daripada sang arjuna. Perasaan Zukhrina Syamimi tidak keruan sekali tatkala mendengar ayat-ayat cinta yang amat meyakinkan dari si pelamar cinta yang bernama Danish.
Bibir Zukhrina Syamimi menguntum senyum. Sungguh, hatinya cukup berbunga-bunga mendengarkan pengharapan tinggi daripada seorang lelaki. Hebat sungguh kata-kata dan keyakinan yang diberikan oleh lelaki ini padanya. Zukhrina Syamimi bingung dan keliru sama ada ingin mempercayai atau tidak apa yang didengarinya dari corong telefon bimbitnya.
” Betul?” Tanyanya dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Dia cuba untuk mendapatkan kepastian.
” Mmm..betul sayang. Nanti apabila awak habis belajar saya akan datang pinang awak.”
Alangkah bahagianya dunia ini. Terasa tubuhnya sudah di awang-awangan dek kerana keasyikan itu. Terasa diri ini disanjung tinggi dan dihargai. Zukhrina Syamimi terpukau dan terpesona mendengar jawapan yang cukup tenang dan penuh penghargaan daripada seorang pria. Tetapi dalam keadaan mengharap Zukhrina syamimi tetap meletakkan sedikit perasaan ragu-ragu atas perkenalan ini lagi-lagi perkenalan ini berlaku di dalam ruang maya dan bukannya realiti.
” Awak ni biar benar. Kita baru berkenalan lima hari. Jumpa pun belum lagi.” Duga Zukhrina Syamimi lagi.
Sememangnya dia tidak pernah percaya pada cinta siber. Tetapi kata-kata manis lelaki itu cukup meruntun hatinya. Dia mahu mengenali lelaki ini dengan lebih dekat lagi. Entah, dia bagaikan tertarik dengan lelaki cyber ini.
” Betul kata awak itu. We should  know each other first. Yang penting saya nak awak tahu saya memang seorang yang serius dalam perhubungan.”
Kata lelaki itu cukup yakin sekali. Bolehkah dia percaya pada kata-kata manis ini? Bolehkah dia menggantung harapan pada janji yang tidak pasti ini? Sedangkan dia belum mengenali lelaki ini sepenuhnya. Mereka belum bertemu muka. Hanya berborak di alam cyber. Namun tidak dinafikan hubungan mereka rapat sekali. Cukup intim bagaikan berkurun sudah bertemu. Zukhrina Syamimi tertanya-tanya adakah ini dinamakan penangan cinta? Kerana secara jujurnya dia tidak pernah membuka dan memberi ruang kepada hatinya untuk merasai cinta disebabkan keadaan dirinya yang terlalu memilih dan mengutamakan pelajaran.
” Awak belum kenal saya. Macammana awak begitu yakin dengan saya?” Tanyanya masih mahukan penjelasan.
” Pertama sekali saya tertarik melihat wajah penuh keibuan di wajah awak itu. Saya begitu yakin bahawa awaklah yang bakal menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak saya.”
Ya lelaki itu pernah melihat gambarnya. Namun tidak disangka begitu tinggi harapan lelaki itu padanya. Betapa indahnya istana anganan yang dia mahu bina. Danish sebagai raja dan dialah permaisuri. Bertuahkah dia apabila dilamar oleh lelaki ini? Persoalan ini terus bermain di ruang fikiran Zukrina Syamimi.
” Saya sentiasa berdoa agar awak dan saya disatukan sebagai pasangan suami isteri yang bahagia dan sentiasa di dalam naungan dan kerahmatan Allah.” Luah Danish dengan penuh keyakinan kepada Zukhrina Syamimi.
Tutur kata itu meruntun seribu rasa di dalam jiwanya. Dia mula tertarik dengan lelaki cyber ini. Mungkinkah perkenalan singkat ini akan membuahkan benih-benih kemesraan antara mereka? Ya dia cukup yakin dengan perkenalan ini. Lelaki cyber ini terlalu istemewa buatnya. Sedikit demi sedikit keraguan yang ada di dalam diri  Zukhrina Syamimi telah mula lenyap pada Danish dek kerana ayat-ayat cinta yang dihamburkan oleh teman lelaki cybernya ini. Tidak pernah dia mendapat dan mendengar ayat-ayat yang begitu indah dan mengasyikkan ini. Kata-kata yang begitu menusuk kalbu itu menyebabkan Zukhrina Syamimi terpegun untuk terus berbicara.
Memang benar kasih sayang itu tidak perlukan kita bertentang mata. Cukup sekadar dengan kata-kata, hati wanita akan tersentuh jua. Begitulah yang terjadi padanya kini.
Teringat pula Zukhrina Syamimi kepada madah-madah cinta yang diberitahu oleh Niza, kawan baiknya iaitu sebaiknya jika mahu bercinta jumpalah secara bertentang mata dengan orang yang kita cintai kerana sekiranya ia benar cinta maka mata akan bertentang mata, lidah kelu tak terkata dan hati mula berbunga-bunga. Itulah baru dinamakan cinta.
Ah.. itu kata Niza, getus hati Zukhrina Syamimi bagi menghalalkan dia menyambut cinta daripada Danish yang dikenali dari alam cyber. Baginya cinta yang diperolehi oleh setiap manusia berkemungkinan sama atau sebaliknya.
Hampir sepanjang malam Zukhrina Syamimi angau dengan penahan cinta dari Danish. Entah kenapa hatinya melonjak-lonjak mahu bertemu dengan Danish. Adakah ini dikatakan  cinta pandang pertama? Tetapi istilah ini mana mungkin dapat digunakan dalam epilog cinta mereka ini. Mereka tidak pernah bertemu muka hanya mendengar suara di alam maya. Adakah perasaan luar biasa ini juga boleh ditafsirkan sebagai cinta?
Zukhrina Syamimi tersenyum apabila melihatkan kelibat Kak Long di sebalik daun pintu. Hatinya berbunga-bunga mahu menceritakan perasaan luar biasa yang sedang dialaminya saat ini. Dia cukup bahagia.
” Kenapa tersenyum dari tadi ni?” Usik Kak Long.
Zukhrina Syamimi melebarkan lagi senyumannya.
”Bercakap dengan cik abang la tu. Suka nampak.”
Senyuman Zukhrina Syamimi makin lebar dan tidak sabar dia mahu berkongsi dengan Kak Long apa yang sedang dia alami.
” Adik berkawan dengan siapa?” Tanya Kak Long mahu mengorek rahsia sambil menguntum senyuman.
Zukhrina Syamimi tersenyum penuh mesra. Dicapai bantal lalu dipeluknya erat. Kak Long yang duduk di bucu katil hanya memandang sambil tersenyum.
” Baru je berkawan Kak Long. Dengan budak chatting.” Ujarnya sambil memintal-mintal hujung sarung bantal.
Muka Kak Long yang tadinya tersenyum mula tergamam dan berubah. Dia mula tidak sedap hati dengan cerita adiknya itu. Kak Long menggaru lengannya yang tidak gatal. Pandangannya dialihkan ke bawah, ke arah tikar getah yang sudah kusam warnanya. Bibirnya diketap kuat. Cuba mengenyahkan perasaan yang mencengkam sanubarinya.
Kak Long benar-benar takut adiknya ditipu. Baginya zaman sekarang penuh dengan penipuan dan kepalsuan. Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri lagi-lagi berita di akhbar-akhbar utama banyak menceritakan tentang kehilangan anak gadis sama ada dijual atau dilarikan. Kak Long takut sesuatu yang buruk berlaku kepada adik kesayangannya. Zukhrina Syamimi sajalah harapan untuk mengubah kehidupan keluarganya yang dihimpit kemiskinan kerana dia saja yang berjaya ke menara gading.
Chatting?” Tanyanya masih mahukan kepastian. Mana tahu dia yang tersalah dengar.
Zukhrina Syamimi mengangguk. Dia mula merasakan perubahan pada air muka kakaknya itu. Sememangnya Zukhrina Syamimi tahu Kak Long tidak akan menerima jawapan yang diberikan.
” Boleh percaya ke dengan kawan chatting ni?” Tanya Kak Long sambil mengerutkan dahinya dan berharap adiknya berpijak pada bumi yang nyata.
Zukhrina Syamimi terdiam. Lama dia tidak bersuara untuk menjawab pertanyaan Kak Long yang nyata resah dengan perhubungannya ini.
” Carilah orang lain, dik. Tu Hadi anak ketua kampung dah lama tergila-gilakan adik. Dari adik berkawan dengan kawan chatting yang kita tak kenal hati budi dia, baik adik kawan je dengan Hadi yang dah tentu baik budi pekertinya. Lagi pun Ibu memang dah berkenan dengan Hadi. Terima je lah, adik.” Kak Long cuba untuk tidak membaca perasaan Zukhrina Syamimi ketika ini. Dia tidak mahu adiknya tersalah pilih nanti. Dia tidak mahu adiknya tertipu dengan kawan chattingnya itu. Itulah harapan seorang kakak kepada adik yang disayanginya.
” Adik tak suka dengan Hadi! Ibu pula asyik desak adik terima Hadi je. Adik tak boleh terima cara Ibu tu. Cakap Ibu je yang adik kena patuh. Ibu memang melampau!” Nyata bicara Zukhrina Syamimi penuh dengan emosi.
 Dia memang tahu Hadi anak ketua kampung ada menaruh hati kepadanya. Sudah acap kali Hadi menyuarakan hasrat hati kepadanya. Tetapi awal-awal lagi Zukhrina Syamimi menolak. Zukhrina Syamimi mempunyai pilihan tersendiri dalam memilih calon suami. Sekurang-kurangnya lelaki itu mempunyai taraf pendidikan yang sama dengannya. Berbeza dengan Hadi yang hanya lulus SPM sahaja.
Zukhrina Syamimi amat takut Hadi tidak dapat menjaganya dengan sempurna disebabkan taraf pendidikan Hadi yang lebih rendah daripadanya. Sememangnya dari kecil lagi Zukhrina Syamimi meletakkan matlamat dalam hati kecilnya bahawa suaminya nanti mestilah orang yang berpendidikan dan mampu membahagiakannya dari segi kebendaan. Keinginan ini hanya dipendam di dalam hatinya tanpa memberitahu kepada sesiapa. Ini terjadi kerana kesempitan hidup yang dialami oleh dia dan keluarganya.
Ibu sememangnya amat tertawan dengan budi pekerti Hadi. Malah keluarganya terkenal dengan kewarakan dalam agama dan suka membantu orang-orang kampung yang berada di dalam kesusahan. Memang Zukhrina Syamimi mengenali keluarga Hadi yang baik itu tetapi hatinya tidak pernah terbuka dengan lelaki kampung itu. Begitu keras hati Zukhrina Syamimi kerana mahukan apa yang diidamkannya sejak dari kecil lagi.
” Ibu sayangkan adik. Ibu mahukan yang terbaik untuk adik.” Lembut sahaja tutur bicara Kak Long menasihati adik bongsunya. Kalau boleh dia tidak mahu Zukhrina Syamimi tercalar hatinya akibat penolakan keluarga di atas pilihan hatinya ini.
” Alaaahhh..Kak Long tak kenal Danish lagi. Mana boleh Kak Long terus hukum Danish macam ni!” Luahan kata-kata oleh Zukhrina Syamimi menaruh harapan agar Kak Long dapat memahami kehendak hatinya.
Perasaannya makin tertekan. Dia tidak boleh terima pendapat Kak Long yang dirasakannya berat sebelah. Lagipun dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Baginya masa depannya adalah bergantung kepadanya sendiri dan Kak Long tiada hak untuk mengatur kehidupannya. Kak Long juga dianggap tidak setanding pemikiran sepertinya kerana Kak Long hanya tamat pada tahap SPM sahaja sebab itu Kak Long hanya bersuamikan Abang Long yang setaraf dengannya.
Kak Long menghampiri Zukhrina Syamimi yang sudah masam mukanya. Dia cuba membaca perasaan adiknya yang kian berkocak itu. Kak Long sedang memikirkan ayat-ayat yang terbaik yang dapat menyejukkan hati adiknya yang sedang berkocak di atas penolakannya terhadap lelaki yang disukai oleh adiknya.
” Adik tak boleh tuduh Kak Long macam tu!” Bangkang Kak Long dengan tegas tetapi lembut. Kak Long masih cuba berdiplomasi dengan Zukhrina Syamimi.
” Adik terlalu muda untuk fikir yang terbaik untuk diri adik. Kak Long dan Ibu dah banyak pengalaman. Itu sebab kami bantah kemahuan adik!” Pujuk Kak Long masih cuba bertenang.
Zukhrina Syamimi berdenggus. Masih tidak dapat menerima nasihat Kak Long. Kak long tahu apa tentang hati dan perasaannya saat ini. Dia bukannya pernah bercinta sebelum berkahwin! Tup-tup terus dijodohkan dengan Abang Long.  Macam mana Kak Long nak selami perasaannnya yang sedang berkocak ini? Dia buta cinta! Dia hanya tahu menurut kata-kata dan kemahuan ibu. Bagi Zukhrina Syamimi sebab itu Kak Long tidak dapat mengubah kehidupan keluarga sebaliknya meneruskan kehidupan keluarga mereka yang miskin tanpa ada pembaharuan.
” Adik dah besar Kak Long...Adik tahu yang mana baik yang mana buruk.” Kata Zukhrina Syamimi mendatar dan cuba untuk meyakinkan Kak Long tentang lelaki pilihan hatinya. Zukhrina Syamimi kelihatan cuba mengawal kelodak kemarahan hatinya.
Kak Long menggelengkan kepala. Keras kepala betul adiknya ini. Sememangnya dia tahu semenjak kecil lagi dia sentiasa mengalah dengan adiknya kerana adiknya amat keras hati dan manja.
” Tak baik adik cakap macam tu. Sekurang-kurangnya adik kena terima pendapat Kak Long ni. Kak Long sedar Kak Long tidak sebijak adik di dalam pelajaran tetapi Kak Long tetap kakak adik dan tanggungjawab seorang kakak adalah memastikan adiknya selamat dan bahagia. Kak Long ambil berat tentang adik sebab tu Kak Long nasihatkan adik.”  Luah Kak Long dengan penuh kerendahan hati kepada adiknya kerana dia sedar bahawa tahap pendidikan antara mereka berdua adalah berbeza.
Zukhrina Syamimi mencebirkan bibirnya. Huh! Ambil berat ke atau pun dengki dengan kebahagiannya. Lagipun Danish bukannya calang-calang orang. Bukannya orang kampung seperti Hadi yang bergelumbang dengan selut dalam bendang itu. Danish orang bandar yang punya pelajaran tinggi. Bodohlah dia kalau menolak Danish hanya kerana mahu memilih Hadi yang serba kekurangan itu!
Zukhrina Syamimi tenggelam dalam kesombongan dan keegoannya. Sebenarnya jauh dilubuk hatinya Hadi tidak layak baginya dan dia mahu dipandang tinggi. Tapi sekiranya dia berkahwin dengan Hadi dia umpama kekal dalam kemiskinan walaupun keluarganya menganggap Hadi juga tergolong dalam golongan berada dan berpengaruh dalam masyarakat disebabkan Hadi adalah anak kepada ketua kampung. Bagi Zukhrina Syamimi kekayaan bukan diukur daripada pengaruh dalam kampung tetapi dari segi pendidikan dan kerjaya.
” Tak kena dengan Kak Long bolehlah Kak Long cakap apa sahaja!” Zukhrina Syamimi masih tidak mahu mengalah.
Dia menjeling tajam pada Kak Long yang kelihatan tenang itu. Apa salahnya Kak Long terima sahaja pilihan hatinya? Danish bukannya buruk sangat. Kalau dia berkahwin dengan Danish pun pasti Ibu akan berbangga kerana dapat menantu berpelajaran tinggi. Tak seperti suami Kak Long yang hanya tamat SPM sahaja!
” Susah nak cakap dengan kau ni!” Kak Long sudah mula hilang sabar. Bagaimana dia mahu terangkan pada Zukhrina Syamimi bahawa apa yang dia lakukan ini semuanya untuk kebaikan Zukhrina Syamimi sendiri. Mungkin suatu masa nanti Zukhrina Syamimi akan sedar tindakan mereka sekeluarga adalah yang terbaik dan betul. Dia mahu tengok masa depan Zukhrina Syamimi sempurna dan nasib Ibu terbela.
Zukhrina Syamimi cukup bersahaja. Apa sekali pun nasihat Kak Long dia tidak peduli. Kasihnya tidak akan tersemai pada pemuda kampung itu! Kak Long patutnya sudah tahu bahawa di hatinya kini hanya ada nama Iqmal Danish!





No comments:

Post a Comment