Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 3

” Abang dah fikir masak-masak ke?”
Ada kegusaran pada nada suara Datin Rohaya. Dilekatkan kepalanya di dada suaminya. Hatinya mula sayu. Keputusan suaminya untuk menetap sementara di India selepas berlaku rusuhan pekerja yang menyebabkan kerugian besar pada pelaburan syarikat di India benar-benar merunsingkannya.
Menurut wakil syarikat mereka di India rusuhan yang berlaku menyebabkan operasi syarikat tergendala lebih daripada dua minggu. Kebanyakan daripada pekerja memilih untuk tidak keluar bekerja kerana khuatir dengan ancaman daripada perusuh.
Sebenarnya Datuk Mat Noh boleh menghantar sahaja wakil daripada Malaysia untuk ke India menyelesaikan masalah ini. Namun sikap Datuk Mat Noh sendiri yang cukup teliti yang mahu turun pandang dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku di sana. Dia khuatir kalau masalah ini tidak diselesaikan segera akan memberi kesan kepada operasi syarikat keseluruhannya. Kekuatan dan kecekalan Datuk Mat Noh inilah punca perniagaannya berkembang maju disamping sifatnya yang amat pemurah dan suka membantu sesama insan.
” Alah..abang pergi bukannya lama pun. Selesai kerja kat India abang baliklah ke sini.” Datuk Mat Noh mengucup rerambut Datin Rohaya dengan lembut. Walaupun sudah menginjak usia senja namun kasih sayang mereka masih tetap utuh seperti dulu.
” Kat sana kan bahaya. Dah banyak kali dah ada rusuhan kat sana. Saya risaulah.”
Datin Rohaya mendongak memandang ke dalam anak mata Datuk Mat Noh dengan wajah dan emosi yang cukup hambar. Bibirnya yang merah menahan apa yang terselindung di sebalik hati. Bukan dia tidak biasa di tinggalkan suami namun pemergian suaminya kali ini benar-benar merisaukan benak hatinya.
” Alaaah tak de apa-apalah. Awak janganlah risau sangat. Lagi pun kalau dah ajal kat atas katil pun kita boleh meninggal.” Datuk Mat Noh cuba menenangkan hati isterinya. Sekali lagi diciumnya rerambut Datin Rohaya. Jelas Datin Rohaya tidak memperdulikannya.
Suatu masa dulu Datuk Mat Noh melihat India mempunyai potensi yang tinggi menjadi sebuah pemacu ekonomi dunia. Hakikat bahawa India adalah sebuah negara demokrasi terbesar dan penguasaan bahasa Inggerisnya yang bagus menyebabkan Datuk Mat Noh berpendapat India mempunyai sinar cerah untuk memegang ekonomi dunia. Namun serangan pengganas dan juga rusuhan yang sering berlaku di sana melumpuhkan semua harapan indah itu.
” Hati saya masih tak sedap nak biarkan abang pergi ke sana sorang-sorang. Biar saya temankan abang ke sana.”
Dengan lemah Datin Rohaya memusingkan badannya. Kesejukan dinding balkoni yang disandar sudah mampu menular ke tulangnya. Dia berpeluk tubuh. Fikirannya tidak lepas memikirkan tentang keadaan yang bakal ditempuhi suaminya di sana. Hatinya benar-benar rawan. Itulah ketaatan dan kasih sayang seorang isteri yang bernama Datin Rohaya yang sentiasa memikirkan keselamatan suaminya yang tercinta. Faktor umur suaminya juga adalah penyebab utama mengapa Datin Rohaya amat berat hati membenarkan suaminya ke India seorang diri. Tapi apakan daya beliau hanyalah seorang isteri yang amat baik yang amat berkeinginan memasuki syurga Allah kerana beliau yakin dengan ketaatan yang diberikan sepenuhnya pada suaminya yang tercinta selagi suaminya memandunya ke arah kebaikan akan menjamin kebahagian untuk dirinya dan keluarganya.
” Iskh awak ni. Habis tu siapa nak uruskan syarikat kita di sini?”
Datuk Mat Noh masih tidak mempercayai kebolehan Danish. Kehadiran Danish ke pejabat setiap hari hanyalah sekadar untuk mendapat gaji. Malah Danish langsung tidak mempunyai inisiatif untuk mempelajari selok-belok perniagaan. Inilah yang menambahkan kerunsingan Datuk Mat Noh. Kerunsingan yang dihadapi oleh Datuk Mat Noh tidak sesekali dipancar di hadapan isterinya yang tercinta kerana beliau takut akan menambahkan kerisauan di dalam hati Datin Rohaya. Keupayaan mengawal diri inilah salah satu punca Datuk Mat Noh berjaya di dalam perniagaannya.
Nyata kebimbangan Datuk Mat Noh semakin ketara apabila terpaksa meninggalkan keluarga di dalam keadaan Danish masih tidak lagi ada tanda-tanda mahu berubah. Kegelisahan ini sudah terlalu banyak. Siapakah yang boleh diharapkan untuk menjaga keluarganya kelak sepanjang dia berada di India? Sedangkan Danish adalah satu-satunya anak lelaki yang sepatutnya memikul beban tugas ini.
” Danish kan ada!”  
Datuk Mat Noh sudah bersandar di dinding. Hatinya bertambah walang. Kebimbangan terhadap sikap Danish mengatasi kebimbangannya terhadap perniagaannya di India. Dia sudah buntu.
” Huhh budak bertuah tu! Dia datang ofis bukannya nak buat kerja. Asyik berchatting je dari pagi sampai ke petang. Naik geram abang dengan perangai dia.”
Datin Rohaya mengeluh. Resahnya untuk suami bersulam dengan kebimbangan sikap Danish. Kepada siapakah yang boleh dia berkongsi keresahan ketika ini?
” Sabarlah....Lama-lama dia berubahlah tu. Biar dia biasakan diri dengan suasana di pejabat dulu.” Datin Rohaya cuba membela anaknya walaupun sebenarnya dia sendiri makin bingung dengan tingkah laku anak lelakinya yang masih tidak faham erti tanggungjawab.
Datuk Mat Noh mengeluh berat. Seolah-olah bebanan yang padu menghempap dadanya. Bolehkah dia menyandarkan harapan kepada Danish? Sedangkan sikap Danish nyata semakin hari semakin membimbangkan.
” Sebab tu lah abang nak awak ada di sini. Awak boleh monitor perangai dia. Kalau tak berubah juga awak hantar dia kat India. Biar Danish dan abang sama-sama uruskan syarikat di India. Kat sana nanti dia dah tak de masa nak berfoya-foya lagi dah!” Kata Datuk Mat Noh sekadar mengertak. Dia sendiri tidak mahu memperjudikan nasib anaknya di sana sedangkan di sana masih belum pasti keselamatannya.
” Kenapa abang tak bawa je Danish ke sana bersama abang sekarang ni?”
Dia masih tidak sedap hati melepaskan suaminya bersendirian. Kalau Danish ada di sana bolehlah Danish menjaga ayahnya. Ah bolehkah Danish di harap?
Masa Danish di alam persekolahan, Datin Rohaya senang dengan sikap Danish. Danish tidak pernah tinggal sembahyang. Danish selalu menolongnya membuat kerja rumah. Kadang-kadang Danish akan membuat lawak dan mereka sekeluarga akan ketawa. Datin Rohaya selalu puji Danish yang baik itu.
Tetapi Danish anak lelakinya sekarang sudah lain benar tingkahnya. Danish telah berubah sejak dia belajar di luar negara. Hati Datin Rohaya cukup terhiris dengan perubahan yang tidak di sangka-sangka itu. Datin Rohaya sangat rindukan semua keriangan dulu. Rindu serindu-rindunya.
” Keadaan di sana masih kucar-kacir lagi. Biarlah abang je ke sana. Tapi kalau apa-apa berlaku pada abang, abang harap Danish dapat teruskan perjuangan abang ini.”
Datin Rohaya terpaku. Dia tidak sangka suaminya meletakkan harapan yang tinggi pada seorang anak yang masih belum nampak kebolehannya.  
Atau ianya hanya sekadar harapan kosong.  Dadanya dihujani sejuta ketakutan yang teramat. Wajahnya diburu kegelisahan. Fikirannya cukup memberi jawapan kehampaan. Dia terus meratap pilu. Dia tahu harapan untuk Danish berubah hanyalah sekadar harapan kosong. Dia kenal benar dengan sikap Danish itu.
Datin Rohaya terus terdiam. Rupa-rupanya terlalu tinggi harapan yang suaminya letakkan kepada Danish. Sedangkan dia sendiri sudah berputus asa menunggu perubahan yang tidak pernah kunjung tiba.
” Abang yakin Danish akan berubah?” Datin Rohaya terus memandang pada sinaran mata suaminya itu. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata suaminya.
Datuk Mat Noh mengangguk.
” Abang yakin sekali. Sebab Danish anak kita. Abang kenal anak kita macammana. Mungkin saat ini dia masih belum tahu erti tanggungjawab,” kata Datuk Mat Noh yakin sekali.
Datin Rohaya mengeluh berat. Terlalu tinggi harapan Datuk Mat Noh terhadap anaknya. Sedangkan pandangan mata sahaja sudah dapat mentafsir kesudahan sikap Danish itu.
 Datin Rohaya terus merasa kegelisahan lantas beliau mengambil wudu’ dan bersolat sunat hajat memohon pertolongan kepada Sang Pencipta agar menguatkan imannya dan keluarganya. Setelah selesai menunaikan solat hajat terus sahaja beliau membuka tafsir Al Quran yang sentiasa menjadi penemannya dikala hatinya runsing. Tafsir itu sudah hampir berusia 25 tahun kerana baginya itulah hadiah paling bernilai yang diberikan oleh suaminya sebagai hantaran semasa pernikahan mereka berdua dahulu. Tafsir itu dijaga dengan rapi. Ketika membuka tafsir tersebut Datin Rohaya mula teringat kupasan yang dibuat oleh suaminya terhadap surah Al-Munafiqun ayat 9, Allah berfirman yang bermaksud ”Wahai Orang-Orang Yang Beriman! Janganlah Disebabkan Harta Benda Kamu Dan Anak-Anak Kamu Melalaikan Kamu Dari Mengingati Allah Dan Barangsiapa Yang Berbuat Demikian Maka Mereka Itulah Orang-Orang Yang Rugi”.
Setelah teringatkan maksud ayat-ayat Allah tadi Datin Rohaya terus bersemangat dan menguatkan keimanannya agar sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah yang Maha Esa. Datin Rohaya terus membaca kitab suci Al Quran tersebut dan meletakkan pengharapannya yang amat tinggi kepada Allah. Suaminya selalu berpesan kepadanya bahawa sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah seharusnya kita meletakan harapan dan cinta kita yang paling utama hanyalah kepada Allah, ini adalah kerana dengan harapan dan cinta yang utama pada Allah sahajalah dapat mengubat hati manusia seluruhnya kerana manusia tidak akan kecewa dengan harapan dan cintanya kepada Sang Pencipta kerana itulah cinta yang abadi dan tidak memerlukan pembalasan.




No comments:

Post a Comment