Monday 18 June 2012

Tanpamu di sisi Bab 2

Mata Datuk Mat Noh memandang tajam ke arah Danish yang masih kelihatan tenang duduk di hadapannya. Sesekali Danish menjeling kepada beberapa keping gambar yang merakamkan kejayaan ayah di dinding bilik Pengarah Urusan Naluri Bhd. Dia cukup kagum dengan ayah yang begitu gigih membangunkan syarikat milik keluarga mereka. Danish teringat pesanan ayah yang selalu memetik ungkapan yang dianggap keramat iaitu manjadda wa jadda yang bererti dimana ada kemahuan di situ ada jalan kejayaannya.
Datuk Mat Noh memang lelaki yang cekal, hebat dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Kalau tidak masakan beliau dapat membina empayar perniagaan yang hebat yang mana mengikut pandangan Danish kehebatan ayahnya sama seperti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan syarikat korporat yang lain. Danish sedar bahawa ayahnya adalah seorang budak kampung yang hidup dalam kesusahan tetapi kecekalan ayahnya menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Kalau tidak masakan majalah Usahawan Hebat iaitu sebuah majalah korporat dalam negara dan majalah Times iaitu sebuah majalah korporat luar negara sentiasa mahu menemubicara ayahnya membincangkan tentang faktor dan cabaran yang dihadapai oleh ayah dalam membangunkan syarikatnya. Namun dia hanya sekadar memuji, dia tidak pernah menanam impian untuk mengikuti jejak ayah.
Sebenarnya Danish masih belum mempunyai perancangan masa depan. Buat masa ini biarlah dia berehat buat seketika setelah penat menimba ilmu di rantau orang.   
” Berapa umur kau sekarang?” Serius sekali pertanyaan Datuk Mat Noh.
” 24.” Jawab Danish ringkas. Dia masih berlagak selamba walaupun dia perasan tentang kekeruhan pada wajah ayahnya itu. Dia tahu kelewatannya itu adalah punca keradangan ayahnya.
” 24 tahun! Kau tau tak dalam umur kau ini ayah dah mula mengembangkan empayar syarikat kita ini! Dalam umur 24 tahun ayah sudah menjadi lelaki hebat! Bukan hebat di mata wanita sahaja tapi hebat di mata kaum lelaki juga. Tapi kau? Apa sumbangan kau pada keluarga dalam usia 24 tahun ini? Kau tak nak jadi lelaki hebat macam ayah ke?” Datuk Mat Noh sudah mula membebel.
Ah ayah, bukannya dia tahu definisi hebat yang sebenarnya! Dengus Danish di dalam hati. Lainlah kalau ayah juga kaki disko macam dia. Baru ayah tahu bahawa anak lelakinya ini benar-benar hebat! Menjadi kegilaan ramai wanita. Malah ramai wanita yang berbangga apabila dapat berdampingan dengannya. Dia punya segalanya! Macho dan berharta! Dialah sebenarnya lelaki hebat!
” Kalau setakat hebat kat kelab malam tu boleh jalan la...Semua orang boleh bersikap buaya macam kau ni! Tapi tak semua orang mampu menggalas tanggungjawab menjadi pemimpin!” Bidas ayah yang seolah-olah dapat membaca bicara hati anaknya itu.
Danish hanya mampu menelan liur. Dia tidak berani untuk menjawab. Sudahnya dia hanya membisu membiarkan ayah terus membebel sesuka hati.
” Ayah nak tanya kau. Apa yang kau bangga sangat dengan sikap buaya kau tu? Sampai bila kau nak terus berseronok macam orang tak de pegangan agama? ”
” Ayah ni bercakap macam Danish tak pernah nak bagi sumbangan pada keluarga. Macam Danish ni hampeh sangat! Danish tahu lah Danish ni bukannya baik sangat tapi Danish ada juga rasa tanggungjawab. Kalau mak ayah ada masalah Danish tolong juga tau!” Danish cuba membela diri.
” Tolong tahi kucing kau! Dalam keadaan keluarga kita yang dah macam tunggang terbalik ni kau boleh buat bodoh je. Still lagi dengan perangai kau yang nak berseronok tu. Ada kau bagi sumbangan macam mana nak selesaikan masalah syarikat yang makin hari makin teruk ni? Ada? Mana sikap tanggungjawab kau tu? Mana?”
Suara ayah sudah tinggi. Matanya terbeliak merenung wajah Danish. Dia tidak dapat menerima alasan bodoh anaknya itu. Adakah anak lelakinya ini masih belum matang atau pun anak lelakinya ini masih belum bersedia mahu memikul tanggungjawab?
 ” Ala ayah ni...sabar lah dulu. Danish masih muda. Danish masih mahu enjoy lagi. Biarlah Danish enjoy dulu. Lepas Danish puas enjoy barulah Danish tolong selesaikan masalah syarikat kita.”
Datuk Mat Noh hanya mengeleng mendengarkan bicara anaknya itu. Segala kenyataan yang diutarakan oleh Danish adalah suatu hujah yang dangkal seolah-olah mahu menunjukkan beliau hebat tetapi ternyata hanyalah hujah yang kosong. Datuk Mat Noh bukannya orang yang dungu yang tidak mampu menyanggah hujah anak lelakinya tetapi beliau mahu melihat sampai mana Danish boleh pergi dengan hujah sebegitu rupa. Terfikir juga dibenak pemikiran Datuk Mat Noh alangkah silapnya beliau tidak memantau perjalanan pengajian dan kehidupan Danish ketika belajar di luar negara dan dengan siapa beliau berkawan sehingga Danish sudah tidak mampu untuk berbicara seperti orang yang beragama. Rasanya mahu saja Datuk Mat Noh menengking Danish dengan hujahnya yang dianggap tidak mempunyai visi dan misi. Tetapi memikirkan maruah anaknya juga harus dijaga daripada di dengari oleh stafnya yang lain maka Datuk Mat Noh membatalkan niatnya tersebut.
Sebenarnya Datuk Mat Noh juga amat berharap agar Danish berubah dan menjadi anak yang bertanggungjawab serta patuh kepada ajaran Islam. Datuk Mat Noh sedar beliau sudah tua dan bila-bila masa saja beliau boleh pergi dari alam dunia ini. Harapan beliau agar Danish menjadi anak yang soleh kerana beliau yakin hanya doa anak yang soleh adalah satu dari pembelanya di alam berikutnya.
” Sampai bila baru kau puas Danish? Sampai rambut kau dah beruban baru kau tahu erti puas? ”
” Mana ada sampai macam tu sekali.”
Danish mula mempersoalkan tentang ketegasan ayah padanya. Sepatutnya ayah perlu faham dengan jiwa anak muda sepertinya. Bukankah sudah menjadi lumrah hidup di usia mudalah kita perlu berseronok. Jika sudah tua badan sudah sakit mana mungkin kita boleh bergembira lagi.
Ah emak dan ayah sama sahaja. Suka sangat menggongkong hidupnya. Mereka berdua langsung tidak mahu memahami naluri hatinya. Cakap mereka sahaja yang betul. Entah sampai bila hidupnya akan terus terkongkong sedangkan dia sudah matang benar untuk menentukan sendiri arah hidupnya. Malah dia tidak perlukan nasihat daripada sesiapa hatta kedua ibu bapanya dalam mencorakkan kehidupannya ini.
” Patutnya di usia muda nilah kau rebut sepenuhnya untuk mencapai kejayaan sebab di usia muda inilah jiwa lebih bersemangat waja. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu.”
Danish sudah menggaru hidung tanda bosan apabila mendengar ceramah agama daripada ayah. Sejak bila pula ayahnya sudah pandai menjadi ustaz?
 “ Tengok tu! Kalau ayah cakap tu dengar bukannya buat bodoh je…Iskh geramnya aku dengan budak bertuah ni!”
“ Alah ayah…Danish tahulah mana yang baik untuk Danish!” Danish cuba membela dirinya. Dia sudah bosan apabila kedua ibu bapanya asyik mengutarakan isu yang sama.
Datuk Mat Noh menarik nafas dalam-dalam. Dia faham benar dengan perangai Danish yang degil itu.
“ Baiklah kalau kau tak nak berubah, ayah juga boleh tunjukkan autoriti ayah sebagai ketua keluarga. Mulai sekarang no more money. You have to find it on your own. Ayah tak kisah kau nak bersuka ria sampai ke tua pun tapi kalau berlaku sesuatu yang buruk atau mengaibkan keluarga, ayah tak akan mengaku kau anak ayah lagi!”
Danish terkebil-kebil mendengarkan ugutan ayah itu. Namun di dalam hati dia masih lagi tersenyum. Ah ayah, masakan ada sesuatu yang buruk akan berlaku padanya sedangkan dia sudah matang benar dan pandai menjaga diri. Tidak mungkin Danish yang terpelajar ini boleh mengaibkan keluarga.
“ Ayah mana boleh ugut Danish macam tu!” Protes Danish.
Bagi Danish dalam apa keadaan sekali pun duit amatlah penting. Malah dalam dunia serba maju ini semuanya memerlukan duit hatta mahu berseronok sekali pun.
“ Bila masa pula ayah mengugut?” Tanya Datuk Mat Noh seolah-olah tidak faham dengan bicara anaknya itu.
Danish mengeluh. Dia faham dengan perangai ayah yang cukup tegas sekali. Pernah suatu masa dulu ayah menyekat elaun sara hidupnya kerana dia gagal berturut-turut di dalam peperiksaan di Universiti. Sudahnya dia terpaksa bekerja di ladang anggur untuk menampung perbelanjaannya. Saat itu terasa begitu jerihnya untuk mendapatkan sesen duit sedangkan selama ini dia hanya tahu menghabiskan duit hasil keringat kedua orang tuanya.   
  Habis tu kenapa ayah nak hentikan elaun sara hidup Danish?” Tanya Danish masih tidak berpuas hati.
Datuk Mat Noh tersenyum sumbing melihatkan gelagat Danish itu. Dia sudah merasakan kemenangan di pihaknya.
“ Sebab kau dah tak belajar lagi. Buat apa ayah nak bagi elaun sara hidup lagi? Kalau kau nak duit kau kena cari sendiri. Kau tahu macamana nak cari duit? “
Danish mendenggus mendengarkan bicara bapanya itu. Dia tidak menyangka bapanya sanggup bertindak zalim kepadanya. Dia rasa ingin mengamuk namun demi kerana hormat dia terus membisu.
“ Dengan bekerja! Kau tahu kat mana nak cari kerja?” Tanya ayah sengaja membakar lagi kemarahan Danish.
“ Alah ayah ni. Danish tahulah. Tak payah nak provoke Danish lagi,” tingkah Danish yang cukup geram dengan sikap bapanya itu.
Datuk Mat Noh hanya menganguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Dia terus menyandar di kerusi empuknya sambil bermain-main dengan mata pena yang ada di jemarinya. Sebagai seorang yang gigih membina syarikat yang besar, Datuk Mat Noh tetap berfikir bagaimana beliau dapat menidakkan keegoan anak lelakinya yang hanya memikirkan tentang keseronokan hidup tanpa ada sedikit pun rasa bertanggungjawab pada syarikat keluarga.
“ Kalau macam tu tak payahlah ayah offer kau kerja di sini. Lagi pun you are  seem not  excited with my offer,” kata Datuk Mat Noh.
Danish mengetapkan bibirnya. Hatinya geram dengan gelagat ayah yang seolah-olah mahu dia melutut kepada ayah supaya memberikan pekerjaan kepadanya. Kalau diikutkan rasa egonya mahu sahaja dia mencari kerja di syarikat lain tetapi pastinya ia akan memakan masa yang agak lama kerana perlu menjalani proses temuduga dan sebagainya. Danish pula perlukan kerja ini dengan kadar segera. Jika tidak dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung aktiviti sosialnya itu.
Di hati dan kotak fikiran Danish ketika ini hanya mahukan keseronokan. Bukan tidak boleh berseronok di dalam kehidupan kita tetapi keseronokan yang tidak ada hadnya mengundang kepada kehancuran tetapi Danish tetap tidak mahu melepaskan keseronokan yang sedang beliau alami kerana dengan kehidupannya sebagai anak ahli perniagaan tersohor mampu memberikannya segala-galanya kepuasan di dunia ini. Pemikiran Danish dilihat kosong umpama orang yang tidak mempunyai pegangan agama dan matlamat hidup.
“ Berapa gaji yang ayah akan beri kepada Danish kalau Danish sanggup kerja dengan ayah?” Tanya Danish selamba. Hilang sudah egonya.
“ Gaji?” Tanya Datuk Mat Noh semula sambil mengangkat keningnya.
Datuk Mat Noh kemudiannya tersenyum kambing melihatkan gelagat Danish itu.  Dia masih mahu menguji kesungguhan Danish. Kali ini biar Danish rasa susah sedikit. Kalau dulu dia dan isteri terlalu memanjakan Danish dengan kemewahan sehinggakan anak lelakinya ini sudah mula besar kepala.
            “ Ye lah...berapa gajinya. Tak kan nak kerja free pula,” Danish sudah mula hilang sabar. Dia berharap ayah akan memberikan gaji yang lumayan setanding dengan kedudukannya sebagai anak Pengarah Urusan Naluri Bhd.
            Lagipun bekerja dengan bapa sendiri senang sedikit. Dia boleh membuat peraturan sendiri tanpa ada sesiapa yang berani menegurnya. Malah ayah tidak akan sanggup memecatnya sedangkan selama ini ayah yang beria-ia mahu dia mengambil alih urusan syarikat.
            “ Beginilah ayah offer kau jawatan sebagai admin executive dengan gaji bersih RM 3000 sebulan. Setuju?” Tanya ayah.
            Danish mengerutkan keningnya. Tidak sangka ayah akan memberikan jawatan rendah tu kepadanya. Kalau setakat jawatan dan gaji serendah itu lebih baik dia mencari kerja di syarikat lain. Tiada istemewanya kedudukannya di syarikat ini walaupun sebenarnya dia adalah pewaris Naluri Bhd.
            “ Alah kalau setakat admin executive. Semua orang boleh jadi. Ayah tak patut nak malukan Danish dengan memberikan jawatan bodoh itu kepada Danish!” bangkang Danish yang sudah masam mencuka.
            Datuk Mat Noh menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap dan peri laku Danish itu. Anak bertuah ini memang tidak tahu bersyukur dan sudah jauh tersasar. Tiba-tiba Datuk Mat Noh teringat pesanan arwah ibunya ketika beliau mula-mula mahu melangkah ke dunia perniagaan. Ibunya pernah berkata,
 Ingatlah anakku setiap keuntungan yang kau terima daripada perniagaan kau jangan kau lupa untuk bersedekah kerana setiap harta yang kita perolehi walau sebanyak mana pun atau sedikit mana pun tetap ada hak orang lain di dalamnya.”
 Arwah emak Datuk Mat Noh juga sentiasa mengingatkan beliau harta halal akan lagi barakah sekiranya kita sentiasa bersedekah. Apa yang bermain di fikiran Datuk Mat Noh adalah mampukah Danish meneruskan legasi perjuangannya dalam perniagaan ini tanpa meninggalkan amalannya dari dahulu sehingga sekarang iaitu membantu sesama manusia dan sentiasa bersedekah.
            “ Habis tu kau nak jawatan apa?” Datuk Mat Noh juga sudah mula hilang sabar dengan Danish yang terlalu banyak songehnya.
            Danish tersenyum lebar apabila mendengarkan pertanyaan ayahnya itu. Dia tahu ayahnya akan menurut segala kehendaknya jikalau dia sanggup bekerja di sini. Dia juga akan meminta supaya ayah menukarkan kereta Proton Perdananya itu kepada Ferrari, sesuai dengan jawatan yang bakal disandangnya kelak. Pastinya bertambah-tambahlah sahamnya selepas ini. Dia bakal menjadi lelaki idaman Malaya.
            “ Sekurang-kurangnya sebagai Admin Manager ke. Barulah ada class!
            Class tahi kucing kau. Alamat lingkuplah syarikat ayah kalau biarkan kau menjadi manager!” Bangkang Datuk Mat Noh. Dia tidak sangka Danish yang pemalas itu masih ada hati untuk memegang jawatan besar sebegitu.
              Ayah mana tahu kebolehan Danish. Lagi pun Danish ada ijazah dari luar negara. And I am suit with that position!” Danish cuba mempertahankan hujahnya.
            Datuk Mat Noh menjuihkan bibir mendengarkan bicara Danish itu.
            “ Yer lah tu. Dah tahu diri sendiri pemalas nak demand lebih-lebih pula. Macam ni lah Danish, ayah still dengan keputusan ayah. Ayah boleh offer kau dengan jawatan admin executive dengan gaji RM 3000 sebulan. Kalau kau rasa kau tak sesuai dengan jawatan ini kau boleh cari kerja di syarikat lain. Ayah tak menghalang kau untuk mencari kerja di mana sahaja yang kau suka asalkan ianya kerja yang halal,“ tegas sekali kata-kata Datuk Mat Noh.
            Danish mendenggus kasar. Geram benar dia kepada ayah yang kedekut itu. Apa salahnya kalau ayah memberikan jawatan itu kepadanya. Lambat laun syarikat itu akan di serahkan kepadanya juga. Ayah memang sengaja mahu memalukan dia!
            “ Macammana kau setuju tak?” Tanya Datuk Mat Noh apabila melihatkan Danish masih tetap membisu. Dia tahu anak lelakinya begitu marah dengannya saat ini. Sebenarnya dia mahu Danish belajar dari bawah. Biar Danish faham dulu selok belok perniagaan sebelum dia membiarkan anaknya itu mengemudi syarikatnya ini.
            Terdengar renggusan kasar dari Danish tanda protesnya di atas keputusan ayahnya itu.
            “ Ikut suka hati ayahlah nak bagi jawatan apa. You are the boss.”
            Panjang benar muncung Danish kali ini. Dia menerima dalam paksa.
            Datuk Mat Noh bangun daripada kerusi empuknya lalu berjalan menghampiri Danish. Mulutnya tersenyum riang dengan persetujuan Danish itu.
            “ So welcome to Naluri Bhd,” ucap Datuk Mat Noh sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan anak lelakinya itu.
            Dalam keterpaksaan Danish menyambut huluran salam itu. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawatan yang ayah berikan kepadanya.
            “ Kalau macam tu biar ayah perkenalkan kau kepada semua staf,” kata ayah sambil terus membawa Danish bertemu dengan beberapa orang pekerja di situ.
            Danish tahu sebenarnya ayah begitu gembira dengan persetujuannya untuk bekerja di sini. Nampak jelas riak kegembiraan di wajahnya apabila ayah dengan wajah manisnya itu mula memperkenalkan Danish kepada pekerja-pekerja di situ.
             Kemudian ayah menunjukkan biliknya yang berada di tingkat 12. Dia cukup terpesona dengan dekorasi bilik yang cukup menarik. Dia langsung tidak menyangka ayah akan memberikannya sebuah bilik. Berbeza pula dengan pengawai eksekutif yang lain yang hanya disediakan sebuah meja, kerusi dan komputer. Inilah istemewanya bekerja dengan bapa sendiri. Dia tidak perlu bertungkus-lumus untuk berada di tahap ini.
            Danish melangkah perlahan menuju ke meja kerjanya. Di tarik perlahan kerusi empuk lalu dia melabuhkan punggungnya di situ. Dia kemudian menghidupkan suis komputer. Dia mula bosan.  Apa yang harus dilakukannya saat ini? Dia langsung tiada minat untuk belajar tentang selok belok perniagaan yang bakal diwarisinya. Lagi pun dia tidak suka sesuatu yang membebankan mindanya.
Dengan semangat kerja yang langsung tiada di dalam jiwa Danish, fikiran Danish ligat berfikir apakah perkara yang seronok dapat dia harungi di dalam bilik yang hebat ini. Suasana bilik yang amat kondusif yang disediakan oleh ayahnya langsung tidak membantu menaikkan semangat Danish untuk berubah sebaliknya lebih meninggikan keegoan dan kemalasannya kerana tanpa perlu bekerja kuat beliau telah mampu duduk di ruang pejabat yang mewah.
            “ Lebih baik aku melayari internet,” kata Danish sendirian.
            Jejarinya pantas menekan tetikus untuk memilih laman sesawang yang di minatinya. Dia memilih untuk melayari laman web yang mempunyai perkhidmatan yang membolehnya berbual-bual secara langsung melalui pesanan berupa teks di layar komputer.
            “ Zukhrina? Sedapnya nama. Harap-harap mukanya secantik namanya,” kata Danish lalu terus menyapa pemilik nama tersebut di laman sesawang.
            “ Hi Zukhrina.”
            Itulah pesanan teks yang di hantar Danish kepada ‘chatter’ bernama Zukhrina itu.
            Tidak sampai dua minit pesanan Danish di balas.
            Hi. ASL pls?”
            ASL adalah singkatan kepada ‘age’, ‘sex’ dan ‘location’. Sebenarnya terdapat banyak singkatan yang digunakan untuk mewakili perkataan yang kerap di taip. Singkatan sebegini dapat menjimatkan masa para ‘chatters’ untuk menaip sesuatu ayat. Selain itu juga banyak simbol yang digunakan untuk mengambarkan emosi seseorang semasa berkomunikasi melalui internet. Memandangkan para ‘chatters’ tidak dapat melihat rakannya semasa berinteraksi simbol-simbol atau juga dikenali sebagai ‘smiley’ ini penting untuk menyampaikan pesanan dengan lebih berkesan.
            Tanpa menunggu sesaat jemari Danish terus memainkan peranannya di papan kekunci.
            “ 24, M, KL. U?”
            Itulah bait-bait ayat yang di taip oleh Danish yang membawa maksud dia berumur 24 tahun, dia adalah lelaki dan tinggal di Kuala Lumpur.
            “ 22, F, Alor Setar.”
            “ Mak aii jauhnya. Nampak gayanya tak de peluanglah aku nak berjumpa dengan minah ni,” ujar Danish sendirian.
            Danish yang sememangnya buaya sentiasa mengintai peluang untuk menbaham mangsanya. Dia langsung tidak pernah ambil peduli tentang perniagaan yang bakal diterajuinya.
              “ Tak payahlah chatting dengan minah ni. Jauh sangat. Bukan boleh jumpa pun!” Ujar Danish lalu terus membiarkan perbualan mereka tergantung hanya setakat itu sahaja.
            Danish terus memulakan pencariannya semula. Sebenarnya terlalu banyak pilihan yang ada sehingga dia sendiri keliru untuk membuat pilihan.
            Danish mula bersandar di kerusi. Di luar cuaca panas terik. Cuaca panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun buat seketika. Air-air sungai mula mengering dan banyak pokok yang mati. Nasib baik penghawa dingin ada. Dapatlah meredakan sedikit bahang panas ini.  Dia kembali menghadap ke skrin komputer.
            “ Kenapa senyap je?”
            Pesanan daripada gadis yang bernama Zukhrina tertera di skrin komputer.
            Danish tersenyum. Nampaknya sahamnya masih tinggi meskipun di alam cyber.
            “ Boleh tunjuk gambar tak? Rasa tak best lah sembang tak lihat rupa tuannya,” balas Danish. Dia sendiri tidak mahu membuang masa lagi. Lainlah kalau wanita ini mempunyai rupa yang cantik yang boleh menjerat perasaannya.   
            Ah dia memang buaya. Pantang ada gadis berdahi licin mulalah dia naik bulu. Bagi Danish, dia akan dianggap bodoh sekiranya dia tidak mampu untuk menguasai gadis tersebut walaupun di dalam alam cyber.
            Tidak berapa lama gadis itu memaparkan gambarnya di skrin. Matanya tidak lepas memandang pada wanita yang berwajah cantik lagi ayu di dalam gambar tersebut. Kebaya pendek yang dipakai oleh wanita itu di dalam gambar membuatkannya jatuh cinta.  Malah dia tidak jemu-jemu menatap wajah gadis itu yang cukup memukau. Keayuan wajah Zukhrina benar-benar mencengkam hati Danish. Fikiran Danish ligat berfikir bagaimana dia dapat memiliki gadis yang dianggapnya amat jelita persis wajah gadis melayu terakhir.
             Tidak semena-mena Danish tersenyum lebar. Kebosanan yang di laluinya sepanjang hari ini tidak terasa lagi setelah bertemu dengan gadis yang telah mencuri hatinya. Dia benar-benar terpikat.
            Sepanjang hari itu dia menghabiskan masa berbual dengan teman cyber yang baru dikenalinya. Mereka hanya berbual biasa. Cerita tentang diri sendiri dan juga keluarga. Langsung dia tidak menyentuh tentang hati dan perasaan. Danish tahu dia tidak perlu gelojoh untuk memikat gadis cantik molek itu. Hatinya benar-benar berbunga bahagia. Satu perasaan yang cukup sukar digambarkan dan tidak pernah dirasainya selama ini.
            Pelik benar perasaannya kini. Selalunya dia tidak pernah tertarik untuk mencari teman dalam laman sesawang. Mungkin kerana bosan membuatkan dia begitu seronok dan tertarik untuk menjalinkan hubungan dengan gadis chatting ini.
            Sebelum menamatkan perbualan, mereka sempat bertukar nombor telefon. Danish tidak mahu pertemuan mereka pada hari ini hanya berakhir di sini sahaja. Dia mahu terus mengenali gadis ini dengan lebih dekat. Ada sesuatu yang istemewa tentang wanita itu yang membuatkan Danish makin ingin mengenali gadis itu dengan lebih dekat.


1 comment:

  1. Tulisan tak nampak.. Jadi kabur.. Macam mana nak baca :)

    ReplyDelete