Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 10

Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 pagi ketika Danish tiba di banglo milik keluarganya. Fikirannya masih serabut memikirkan tentang Zukhrina Syamimi. Untuk selalu bermalam di rumah flat yang disewakan untuk Zukhrina Syamimi dia takut kalau-kalau emak akan mengesyaki sesuatu. Malah menjadi kepantangan emak jika anaknya bermalam di luar. Kelak mulalah emak berfikir sesuatu yang buruk tentang aktiviti sosial anaknya itu.
Tetapi untuk membiarkan Zukhrina Syamimi keseorang di flat itu dia risaukan keselamatan Zukhrina Syamimi. Tiada pengawal yang dapat menjamin keselamatan isterinya. Lagipun dia sudah melarang Zukhrina Syamimi bergaul dengan jiran tetangga. Dia takut kalau-kalau Zukhrina Syamimi akan membongkar rahsia perkahwinan mereka. 
Dia tidak mahu ibunya tersedar. Dengan perlahan-lahan dia menaiki anak tangga satu per satu.
” Danish.” Tiba-tiba suara emak menyapa.
Langkah Danish terhenti. Dia menoleh. Emak sedang memandangnya dengan wajah serius. Dia jadi kecut.
” Mak tak tidur lagi?” Dia bersuara ramah. Cuba membangkitkan keceriaan antara mereka. Harap-harap emak tidak marah.
” Patutnya mak yang tanya kamu. Dah dekat pukul tiga pagi baru balik. Kamu ke mana?” Suara emak kedengaran keras.
Ah! Kalut dia mencari alasan logik. Bukannya dia tidak tahu dengan sikap emak yang cukup tegas dalam soal mendidik anak-anak.
” Tadi Danish ada kerja sedikit.” Bohongnya. Kalaulah emak tahu rahsia besarnya pasti meruntun hati emaknya yang selama ini mendidiknya dengan sempurna dan penuh kasih sayang.
Emak mengeluh. Alasan anaknya itu tidak boleh diterima pakai. Dia risau dengan perangai anak lelakinya yang kerap pulang lewat. Kadang-kadang tidak pulang langsung. Entah di mana anak terunanya tidur. Takut juga Danish bergaul dengan budak-budak tidak senonoh.
Tidak pernah sekalipun perangai Danish melegakan kamar hati emak. Namun kalau diberi pilihan emak lebih berkenan dengan sikap Danish yang gemar melayari internet. Walaupun kegemaraannya itu tidak di sukai emak tetapi aktiviti itu tidaklah merisaukan emak kerana saban hari Danish hanya mengadap komputer. Tetapi entah kenapa aktiviti itu sudah lama di tinggalkan Danish. Mungkin anaknya itu telah berubah minat yang lain pula.
Tiada senyuman yang terlukis di bibir emak seperti selalunya. Matanya tepat memandang anak mata Danish. Ingin mencari kepastian pada tanggapannya selama ini.
” Iskkhhh mana ada mak!” Cepat-cepat Danish menafikan. Dia tahu dengan perangai emak yang tidak suka dengan aktiviti sosialnya itu.
” Saya main futsall dengan kawan. Habis futsall lepak kejap kat kedai mamak. Asyik bersembang sampai tak sedar dah pukul 2 pagi. Tu yang lambat balik ni.”
Fuuhh lega. Dapat juga dia memberi alasan logik. Harap-harap emak percaya.
Emak hanya mengeluh mendengar alasan Danish itu. Naluri keibuannya masih rasa tidak sedap hati namun dipendamkan sahaja. Tidak mahu lagi mendesak anaknya itu. Biarlah masa dan keadaan yang merungkai segala-galanya.
Danish menuruni anak tangga. Hati emak perlu ditawan semula. Kalau tidak emak akan membangkitkan perkara ini saban waktu. Dia mencapai tangan emak.
” Kau ni asyik ingat nak enjoy je....Alya tu macamana? Kan elok kalau kau luangkan masa kau dengan Alya. Kasihan dia, sudah lama dia tak merasai kasih sayang bapanya.” Nasihat emak yang masih bimbangkan perangai baru Danish itu.
Danish mendenggus. Dia tidak faham mengapa emak selalu meletakkan tanggungjawab menjaga Alya kepadanya?
” Mak dia kan ada!” Gumam Danish yang sudah melepaskan tangan emak.
” Kamu ni memang tak tahu bertanggungjawab langsung. Kamu tak kesian ke pada Dahlia tu? Dengan nak jaga anak lagi, dengan nak uruskan bisnes lagi. Kamu langsung tak nak membantu. Nasib baik ayah kamu kat India. Kalau tak tahulah nasib kamu!” Emak terus membebel. Mata emak terus meniti kepada ulas bibir Danish. Semakin direnung semakin dirasakan anak terunanya sudah banyak berbohong.  
Danish sudah tidak terkata apa. Dia sudah gelisah apabila emak mula membangkitkan nama ayah.
” Kamu dah lupa tanggungjawab kamu Danish. Kamu dah lupa nak agihkan kasih pada Alya. Kamu dah lupa bisnes kita. Kamu dah kena ubat guna-guna dari betina mana ni?” Emak semakin tidak tertahan dengan perubahan mendadak itu.
Sejak akhir-akhir ini emak banyak berubah. Mencurahkan apa yang tidak berkenan di hati akibat terlalu tertekan dengan keadaan syarikat yang semakin kritikal. Ditambah pula dengan Danish yang tidak mahu dengar akan nasihat emak lagi. Malah sudah hilang rasa tanggungjawab di dalam dirinya.
” Mana ada mak!” Bantah Danish tegas.
Emak terus renung wajah Danish yang nampak keresahan itu. Apakah yang tercanai di hati Danish saat ini?
” Danish dah cuba buat yang terbaik untuk family kita. Danish cuba pulihkan syarikat. Danish dah ikut semua yang mak suruh. Memang Danish akui Danish dah banyak abaikan Alya. Tapi percayalah mak, Danish terlalu sibuk. Danish berjanji selepas ini Danish akan luangkan lebih masa untuk Alya.” Pujuk Danish dengan mengharapkan agar emaknya tidak lagi mencurigainya.
Emak terus mengalih muka ke arah lain. Wajah emak semakin murung. Perasaan kurang enak tetap dirasai dihatinya. Emak seperti dapat merasakan sesuatu yang tidak baik telah dilakukan oleh anaknya.
” Kamu hanya tahu berjanji je.” Balas emak kepada Danish yang mencurigai tindak tanduk anaknya sekarang ini.
Danish tertunduk diam. Emak sudah tersalah anggap. Emak tidak akan faham apa yang sedang dilaluinya. Emak tidak akan tahu cerita yang sebenar. Hanya jiwa dan raganya sahaja yang sedang menanggung penyiksaan perkahwinan yang tidak dirancang ini. Siapa yang tidak mahukan perkahwinan, fikir Danish tetapi biarlah perkahwinan yang tercipta untuknya datang disaat dia betul-betul bersedia. Danish terlalu bingung dengan apa yang ditanggungnya sekarang.
” Kalau kamu dah tak pedulikan kami lagi sekurang-kurangnya mak nak kamu ingat pada ayah. Kesian ayah. Demi kita sekeluarga ayah sanggup tinggal di India. Entah bagaimana nasib ayah sekarang....” Luah emak penuh pilu mengenangkan pengorbanan suaminya yang amat besar. Seharusnya sekarang suaminya sepatutnya berehat sahaja di rumah sambil melayani karenah cucu tunggal mereka, Alya.
” Danish tahu mak.” Jawab Danish. Hati tetap berasa gusar kalau suatu hari nanti rahsia besarnya terbongkar.
Danish tidak pernah lupa tentang pengorbanan ayah yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan perniagaan mereka di India. Dia juga risaukan tentang keselamatan ayah di sana. Baru-baru ini, pekerja di sana merusuh lagi akibat ketidakpuasan hati mereka terhadap polisi baru syarikat. Sudah acapkali keselamatan ayah diancam.
Perasaan bersalah pada ayah, ibu dan keluarga sentiasa merantai-rantai dijiwanya. Danish letih apabila memikirkan segala apa yang telah dilakukan.
” Mak..jangan risaulah. Danish dah besar. Tahulah Danish menjaga diri. Dahlah tu mak, Danish mengantuk ni. Danish naik dulu ya. Selamat malam mak.” Ucap Danish pada emaknya seolah-olah berusaha menamatkan soal jawab yang telah diutarakan oleh ibunya.
” Selamat malam.” Kata emak masih cuba tersenyum pada Danish.
Danish mencium pipi ibunya sebelum melangkah perlahan menaiki tangga menuju ke biliknya.
Dan Emak masih di situ. Masih memikirkan tentang tabiat baru anak lelakinya itu. Adakah anaknya sedang merahsiakan sesuatu daripadanya? Dia perlu mencari jawapannya segera sebelum tragedi buruk melanda keluarganya.

No comments:

Post a Comment