Tuesday 19 June 2012

Antara Dendam Dan Rindu Bab 8


“ Saya selalu memetik ungkapan yang di anggap keramat iaitu manjadda wa jadda bererti dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Ungkapan ini memberikan kekuatan dalaman yang cukup luar biasa kepada saya. Kekuatan yang mampu memberikan anjakan paradigma di dalam diri saya. Bagi saya sebagai seorang muslim, kalau kita nak berjaya dalam sesuatu bidang yang kita ceburi kita mestilah meletakkan ketaqwaan kepada Allah sebagai tunjang utama kerana di dalam Al-Quran dalam surah Muhammad ayat ke 7 Allah berfirman “ Bertaqwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan memperkukuhkan kehidupan kamu”. Kehidupan yang dimaksudkan ini amat besar maknanya ia meliputi segalal-galanya dalam perjalanan hidup kita seperti kita dimurahkan rezeki, mendapat keluarga yang bahagia dan pelbagai lagi perkara yang baik.” Ujar Tan Sri Mohd Jamil dengan penuh ketegasan dan adab sopan.
Kelihatan wartawan daripada surat khabar Sinar Harian begitu tekun dan teruja mendengar bait-bait ayat yang dituturkan oleh Tan Sri Mohd Jamil. Dia cukup kagum dengan Tan Sri Mohd Jamil yang begitu gigih membangunkan syarikatnya.
Tan Sri Mohd Jamil memang lelaki yang cekal, hebat dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Kalau tidak masakan beliau dapat membina empayar perniagaan yang hebat yang mana mengikut pandangannya kehebatan Tan Sri Mohd Jamil sama seperti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan syarikat korporat yang lain.
Dia pernah terbaca artikel mengenai Tan Sri Mohd Jamil yang berasal dari kampung yang hidup dalam kesusahan tetapi kecekalan Tan Sri Mohd Jamil menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Kalau tidak masakan majalah Usahawan Hebat iaitu sebuah majalah korporat dalam negara dan majalah Times iaitu sebuah majalah korporat luar negara sentiasa mahu menemubicara Tan Sri Mohd Jamil membincangkan tentang faktor dan cabaran yang dihadapai oleh lelaki hebat itu dalam membangunkan syarikatnya.
” Kalau tidak keberatan boleh tak Tan Sri berkongsi rahsia kejayaan Tan Sri kepada pembaca semua. Saya pasti ramai yang ingin mengetahui rahsia kejayaan Tan Sri itu,” kata wartawan itu.
Tan Sri Mohd Jamil tersenyum manis dengan pertanyaan daripada wartawan tersebut. Dia sebenarnya tidak pernah lokek untuk berkongsi rahsia kejayaannya kepada semua. Lagi pun ilmu yang baik perlu disebarkan supaya manfaatnya dapat dipaktikkan bersama. Lebih banyak kita mengajar orang dengan ilmu yang kita ada, maka lagi banyak ilmu baru yang akan Allah berikan kepada kita.
” simple sahaja. Cuma hendak atau tidak  je untuk kita melakukannya,” kata Tan Sri Mohd Jamil seolah-olah bermain teka-teki dengan wartawan di hadapannya.
” iskh mestilah nak lakukan. Pasti selepas Tan Sri bongkarkan rahsia kejayaan Tan Sri seluruh pembaca akan mengikutnya. Saya yakin sekali. Malah saya sendiri akan mengamalkannya. Apakah rahsia kejayaan Tan Sri itu?” Wartawan itu sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.
Tan Sri Mohd Jamil tersenyum lagi dengan gelagat wartawan dari Sinar Harian itu. Nampak benar dia begitu teruja untuk mengetahuinya.
” Awak percaya tak kalau saya katakan bahawa rahsia kejayaan saya ini adalah dengan bersolat Dhuha dan Tahajjud.” Luah Tan Sri Mohd Jamil yakin sekali.
Wartawan daripada Sinar Harian menganggukkan kepalanya. Dia tahu tujuan bersolat sunat Dhuha supaya dimurahkan rezeki dan menolak bala, solat tahajjud pula dapat membina kekuatan, keberanian dan keyakinan dalam diri pengamalnya. Namun begitu dia sendiri jarang mengamalkannya lantaran kerana kesibukan masa. Pasti lelaki yang cukup berkaliber ini mempunyai pegangan agama yang kuat, kalau tidak masakan dia begitu komited dengan amalan sunat dhuha dan tahajjudnya. Desis hati wartawan tersebut.
” Dalam dunia bisnes kita perlu ada disiplin. Disiplin yang saya praktikkan dalam diri saya adalah dengan bersolat dhuha dan tahajjud setiap hari. Dan setiap kali bersolat saya tidak lupa menitipkan doa seperti ini Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh. Dalam solat tahajjud pula kita hendaklah memohon dan meletakkan sepenuh harapan agar Allah memberikan hati kita sifat berani dan yakin dengan diri sendiri disamping kita meletakkan perasaan tawakkal dan rendah diri kepada Sang Pencipta yang maha agung iaitu Allah SWT” Yakin sekali Tan Sri Mohd Jamil menuturkan bicaranya.
Wartawan itu begitu kagum dengan Tan Sri Mohd Jamil. Alangkah beruntungnya menjadi seorang yang bernama Tan Sri Mohd Jamil. Kaya di dunia dan kaya di akhirat. Amat jarang sekali untuk bertemu insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
” Insyaalah kalau kita praktikkan selalu segala kerja kita yang sukar akan dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.”
” Oh rupa-rupanya itulah rahsia kejayaan Tan Sri. Saya yakin selepas ini ramai yang akan membuat solat dhuha dan tahajjud seperti yang Tan Sri amalkan. Bagaimana pula Tan Sri melihat pembabitan bumiputra di dalam dunia perniagaan?” Tanya Wartawan itu.
” Bagi saya bilangan bumiputera yang menceburi bidang perniagaan adalah sedikit berbanding dengan kaum lain. Walaupun banyak usaha dilakukan untuk meramaikan lagi usahawan Bumiputera, kadar penambahan usahawan baru Bumiputera masih rendah. Ramai yang berpendapat kekurangan modal dan pengalaman mungkin antara faktor menghalang pembabitan lebih ramai Bumiputera dalam perniagaan tetapi bagi pendapat peribadi saya masalah kekurangan modal dan pengalaman boleh diatasi dengan adanya pelbagai program pembangunan dan latihan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.”
“ Apakah pesanan Tan Sri kepada para pembaca di luar sana yang bercadang untuk menjadi usahawan yang berjaya.”
“ Kepada pembaca di sana, harus diingat, rezeki tidak datang bergolek. Mereka yang ingin menjadi usahawan berjaya harus ingat kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan modal yang cukup. Ramai usahawan diberi bantuan modal tetapi masih gagal. Ada banyak faktor menentukan kejayaan usahawan dalam perniagaan. Antaranya ialah minat mendalam, tahap kesungguhan yang tinggi, rajin bekerja, bersedia dengan pengetahuan mengenai bidang diceburi, memahami bagaimana perniagaan berfungsi dan beberapa ciri lain. Oleh itu lengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya sebelum kita menceburi bidang ini dan letakkan pengharapan kita kepada kejayaan kita ini yang paling utama kepada Allah S.W.T kerana Dialah yang mentadbir alam ini dan Dia adalah sebaik-baik sandaran bagi kita sebagai hamba. Sekiranya kita telah mula berjaya, tetapkan di dalam hati bahawa kejayaan yang dikecapi ini hanya sementara dan ia hanyalah pinjaman Allah untuk melihat bagaimanakah penghidupan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Adakah kita bersyukur atau sebaliknya? Itulah resepi yang paling utama bagi saya. ”
 Selesai sesi temuramah bersama wartawan dari akhbar Sinar Harian, Tan Sri Mohd Jamil bertemu pula dengan Encik Rahimi, pengawai kewangan syarikatnya. Rutin hidupnya begitu padat dengan pelbagai urusan perniagaan yang menuntut perhatian segera. Dalam dunia perniagaan setiap detik adalah amat berharga. Jika dia terleka walaupun sesaat akan menyebabkan dia kerugian berjuta ringgit. Itulah prinsip yang dipegangnya hingga kini.
Dia meneliti laporan kewangan yang disediakan oleh Encik Rahimi selaku pengawai kewangan syarikatnya. Dia selalu meneliti aliran keluar masuk kewangan syarikat bagi memastikan syarikat berada di landasan yang kukuh.
” Mengapa setiap kali tender, syarikat Daya Maju Snd Bhd yang mendapat tender daripada kita? Bukankah kita mengamalkan dasar open tender?” Tanya Tan Sri Mohd Jamil setelah meneliti aliran keluar masuk kewangan syarikat. Dia berasa hairan mengapa hanya syarikat tersebut yang diberi tender sedangkan setahunya setiap kali tender begitu banyak syarikat yang masuk tender. Adakah kerana hanya Syarikat Daya Maju Snd Bhd yang menawarkan harga yang amat berpatutan?
” Saya tidak pasti Tan Sri. Setahu saya Encik Sahak yang bertanggungjawab untuk meluluskan tender ini,” beritahu Encik Rahimi jujur sekali.
Tan Sri Mohd Jamil mengeluh. Dia telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada abang kandungnya untuk menguruskan tentang tender syarikat. Dia cukup berharap apa yang sedang terdetik di hatinya saat ini adalah tanggapan jahatnya sahaja. Tidak mungkin abang kandungnya sanggup menikamnya dari belakang.
” Kalau begitu panggil Sahak sekarang!” Arah Tan Sri Mohd Jamil dengan perasaan yang sukar digambarkan. Di dalam hati dia berdoa agar dijauhkan daripada perkara buruk yang akan menggugat ikatan persaudaraan antara dia dan Sahak.
Tidak sampai lima minit Sahak sudah berada di dalam pejabat Tan Sri Mohd Jamil.
” Boleh aku tengok senarai syarikat yang masuk tender?” Tanya Tan Sri Mohd Jamil.
Sahak yang sudah diberitahu tentang tujuan sebenar Tan Sri Mohd Jamil memanggilnya terus menyerahkan fail yang dimaksudkan. Dia masih berlagak biasa kerana dia tahu Tan Sri Mohd Jamil berhati lembut. Dia yakin Tan Sri Mohd Jamil tidak mungkin akan mengambil tindakan undang-undang walaupun Tan Sri Mohd Jamil mendapati dia yang bersalah. Hanya tinggal mereka dua beradik. Tidak mungkin Tan Sri Mohd Jamil sampai hati untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
” Kau tengok ni abang Sahak, banyak lagi syarikat yang menawarkan harga yang jauh lebih rendah daripada Syarikat Daya Maju Snd Bhd, tetapi mengapa kau memilih Syarikat Daya Maju untuk menjalankan projek kita ini? Apakah alasan kau?”
” Maafkan aku. Mungkin aku terlepas pandang.” Kata Sahak berbohong.
Sebenarnya dia telah menerima suapan bernilai ratusan ribu ringgit setiap kali dia meluluskan tender daripada Syarikat Daya Maju Snd Bhd. Sudah hampir lima tahun dia menerimanya tanpa disedari oleh sesiapa.
” Tak kan setiap kali kau terlepas pandang. Boleh dikatakan setiap kali syarikat kita menawarkan tender Syarikat Daya Maju yang akan mendapatnya. Adakah itu boleh dikatakan sebagai terlepas pandang abang Sahak?”
” Kau tahu tak abang Sahak, aku boleh bawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan yang lebih lanjut.” Gertak Tan Sri Mohd Jamil setelah melihat abang kandungnya terus menyepi. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan tender melibatkan Syarikat Daya Maju Snd Bhd. Kalau tidak masakan syarikat ini sentiasa mendapat tender daripada syarikatnya sedangkan Syarikat Daya Maju menawarkan harga yang tinggi. Ini telah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian yang agak besar.
” Apasal pula kau nak laporkan kepada SPRM? Aku tak buat apa-apa pun cuma aku terlepas pandang sahaja,” bela Sahak dengan wajah cuak.
Tan Sri Mohd Jamil mengeleng-gelengkan kepalanya. Langsung tidak terlintas difikirannya abang kandung yang amat dipercayainya telah menikamnya dari belakang. Memang benar kata orang, rasuah boleh menyebabkan seseorang itu menjual prinsip, maruah dan harga diri.
Tan Sri Mohd Jamil mula teringatkan kata-kata Donald Trump dalam bukunya yang bertajuk Think Big;
Hire the best people but don’t trust them.”
Dalam buku ini Donald Trump menceritakan pengalaman dirinya dan juga kenalan ahli perniagaannya yang melakukan kesilapan mendapatkan peguam terbaik, akauntan terbaik, pekerja terbaik dan mempercayai mereka. Apa yang terjadi adalah, mereka menikam dari belakang.
Inilah yang terjadi kepadanya saat ini.
” Kalau tak nak aku laporkan kepada SPRM lebih baik kau ceritakan kepada aku apa yang terjadi sebenarnya?” Kata Tan Sri Mohd Jamil masih cuba berdiplomasi.
Sahak mengeluh. Terkebil-kebil matanya memandang Tan Sri Mohd Jamil mencari alasan yang kukuh.
” La..kan aku dah cakap, aku terlepas pandang. Aku mengaku silap aku. Aku tak perasan pula ada syarikat lain yang menawarkan harga yang lebih rendah. Aku minta maaf ok?” Sahak memberi alasan. Seboleh mungkin dia cuba menutup pekung di dada.
Stupid answer.” Tan Sri Mohd Jamil sudah mula hilang sabar dengan jawapan mudah abangnya untuk melepaskan diri.
” Baiklah...Esok aku akan ke JB. Jadi aku beri masa dekat kau untuk sediakan semua laporan tentang  tender syarikat lima tahun kebelakangan ini dan perlu ada di atas meja aku sebelum aku masuk semula ke ofis!”
Tan Sri Mohd Jamil tahu kali ini dia perlu lebih peka tentang urusan perniagaannya terutama sekali perkara yang melibatkan duit. Di lihat mulut Sahak terngaga mendengarkan bicara Tan Sri Mohd Jamil itu.

No comments:

Post a Comment