Tuesday 19 June 2012

Antara Dendam Dan Rindu Bab 7


Semenjak daripada peristiwa itu Sarah mula berjinak-jinak dengan cara hidup liar. Dia mula melepak dengan sekumpulan budak remaja perempuan yang mengelarkan diri mereka spice girls. Spice girls merokok di hadapan khalayak ramai dan mendapat duit poket dengan menyeluk saku. Dari mereka Sarah belajar cara-cara untuk menjadi penyeluk saku professional. Kadang-kadang mereka mencuri di gedung membeli-belah. Sarah berasa satu kepuasan yang teramat apabila dia berjaya melakukan perbuatan menyalahi undang-undang itu. Baginya hidup akan lebih bermakna dengan adanya cabaran. Tetapi cabaan yang dilaluinya ini adalah satu cabaran yang menyalahi undang-undang.
Hari ini mereka bercadang untuk mencuri kasut di sebuah kedai kasut ternama di Malaysia. Mencuri kasut yang berjenama sudah menjadi rutin bagi kumpulan spice girls. Malah rancangan mereka tidak pernah sekalipun gagal.
Spice girls yang terdiri daripada tiga orang remaja wanita iaitu Dania, Azzah dan Sarah mula masuk ke dalam kedai kasut tersebut. Mula-mula mereka berpura-pura melihat kasut-kasut yang terdapat di situ. Mencuba dari satu design kasut ke design yang lain pula. Apabila mereka berkenan mereka mula memanggil pelayan.
“ Kasut ini cantik sangat. Ada tak saiz 5 untuk kaki saya?” Tanya Sarah yang sudah pandai dalam bidang ini manakala kawan-kawannya yang lain hanya mengangguk. Kasut itu berharga tiga ratus ringgit.
“ Nanti sekejap ya. Saya pergi tengok kat dalam.” Kata pelayan wanita tersebut dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya.
Mereka juga tersenyum. Pelayan wanita itu nampak lembut dan mungkin juga senang untuk mereka memperbodohkannya. Mereka tersenyum lagi. Bagi mereka pelayan itu amat mudah untuk dibereskan.
Tidak sampai lima minit pelayan wanita itu datang dengan sekotak kasut.
“ Cubalah,” kata wanita itu sopan sekali.
Tanpa melengahkan masa Sarah mencuba. Kasut itu cantik dan saiznya juga berpadanan dengan kakinya. Sarah tersenyum lagi kepada pelayan tersebut.
“ Kasut ini terasa agak kecil sedikit dengan kaki saya. Saya tidak begitu selesa memakainya. Boleh cik bagi saiz yang lebih besar sedikit?” Kata Sarah yang cukup pandai berlakon.
Dia berpura-pura mengayakan kasut tersebut di hadapan cermin. Manakala Dania dan Azzah memuji-muji kecantikan kasut tersebut.
“ Kalau begitu saya akan dapatkan saiz enam untuk cik,” kata pelayan itu. Kemudian dia terus beredar ke dalam untuk mencari saiz yang dimaksudkan.
Spice girls yang sememangnya mempunyai misi tersendiri mula memandang ke sekeliling. Keadaan yang agak sesak di dalam kedai kasut tersebut kerana jualan murah memudahkan lagi misi mereka.
Dengan berhati-hati Azzah mengeluarkan beg plastik yang juga berjenama kedai kasut tersebut di dalam beg sandangnya. Manakala Sarah sudah memasukkan kasut yang dicubanya tadi di dalam kotak kasut. Dania pula memandang sekeliling memastikan keadaan yang sesuai untuk mereka melaksanakan misi penting mereka. Kemudian Dania mengangguk memberikan isyarat bahawa ‘line clear’.
Cepat-cepat Sarah memasukkan kasut tersebut di dalam beg plastik Azzah. Kemudian tanpa perasaan bersalah mereka terus berjalan keluar.
Tiada siapa yang datang untuk menahan mereka. Malah alarm juga tidak berbunyi. Tiada siapa yang menyangka mereka adalah pencuri cilik. Ketika mereka sudah berada jauh daripada kedai tersebut Sarah terpandang pelayan wanita itu yang sudah mengeluarkan kasut bersaiz 6 yang dimintanya sebentar tadi. Dia tahu mereka perlu cepat keluar daripada kawasan membeli-belah tersebut kerana sebentar lagi pastinya pelayan wanita itu akan menyedari tentang kehilangan mereka dan juga kasut tersebut.

No comments:

Post a Comment