Tuesday 19 June 2012

Antara Dendam dan rindu Bab 4


“  Aku rasa undian tadi tak adil la. Kenapa setiap tahun Qis je yang menang. Entah-entah dia bayar suruh orang undi dia tak? Maklumlah dia anak orang kaya,” kata Ajmal sambil menjeling kepada Mariam Qistina sebaik sahaja loceng rehat berbunyi. Mereka sekumpulan memang berbulu dengan kejayaan Mariam Qistina.
Mariam Qistina hanya menyepi apabila mendengarkan perlian pedas daripada kawan-kawannya itu. Sudah acap kali dia di perli oleh kumpulan Sarah membuatkan dia sudah lali. Dia sentiasa bersabar kerana baginya sabar itu adalah sebahagian daripada iman dan iman itu ada di dalam syurga Allah. Tidak kalah bagi seseorang yang suka mengalah terhadap perkara yag tidak mendatang kebaikan kepada semua orang.
“ Iye lah. Kalau ikut layak memang confirm Sarah yang menang. Tapi nak buat macamana ada orang main taktik kotor,” Zana pula menambah.
“ Kalau aku tahu macam ini tak ingin aku nak bertanding dengan dia!” Ujar Sarah yang sudah masam mukanya. Sejak dia menerima keputusan tersebut wajahnya sudah tidak boleh tersenyum lagi.
Dora yang mendengar bersimpati dengan nasib Mariam Qistina yang asyik dilemparkan perlian pedas oleh Sarah and the gang. Dia sedih dan kecewa dengan sikap iri hati Sarah and the gang.
Dora tahu Sarah dengki dengan kejayaan Mariam Qistina dan sebab itulah dia mula menghasut rakan-rakan lain supaya membenci Mariam Qistina. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh Sarah kepada Mariam Qistina. Malah pelbagai kata-kata kesat turut dilemparkan Sarah kepada Mariam Qistina namun satu pun tidak di balas oleh Mariam Qistina.
Dora tahu Mariam Qistina adalah seorang yang penyabar. Kalau tidak masakan Mariam Qistina boleh bertahan dengan perlian pedas rakan-rakannya itu. Disebabkan sikap penyabar Mariam Qistina itu jugalah dia disukai oleh ramai orang. 
“ Kalau korang tak puas hati korang pergilah mengadu kepada cikgu Farhana. Tak payah nak memekak kat sini. Buat sakit telinga je,” kata Dora yang sudah tidak tahan dengan sikap Sarah and the gang. Bagaimana Mariam Qistina boleh bertahan sedangkan dia sendiri yang mendengar sudah mula naik angin? Kalau dia di pihak Mariam Qistina sudah lama dikerjakan mereka semua secukup-cukupnya.
“ Oooo ada orang baking rupanya. Berapa dia bayar dekat kau suruh baking dia?” Tanya Sarah yang sudah terjengil biji matanya. Hatinya bertambah baran apabila Dora menyebelahi musuh ketatnya.
Mariam Qistina yang duduk di sebelah Dora memegang lengan Dora. Dia kemudiannya menggeleng kepada Dora memberi isyarat supaya Dora tidak melayan Sarah and the gang. Dia takut pertengkaran kecil ini akan bertambah buruk lagi. Bukannya dia tidak tahu dengan perangai Sarah yang suka sangat mencari pasal ini. Selagi Sarah tidak menang selagi itulah Sarah akan terus bergaduh.
“ Aku tak faham la dengan kau ni Sarah. Yang kau dengki sangat dengan Qis ni apasal? Dia tak pernah pun ganggu hidup kau! Nak melawan cakap kau pun tak pernah. Kau je yang selalu cari fasal dengan dia,” ujar Dora lagi. Dia langsung tidak peduli dengan nasihat Mariam Qistina sebentar tadi. Dia tidak sanggup lagi melihat Mariam Qistina terus-terusan di buli oleh Sarah.
Sarah mendenggus kuat apabila mendengarkan bicara yang begitu berbekas di hatinya. Hatinya panas sekali.
“ Yang kau pula menyibuk apasal? Ada aku ganggu hidup kau?” Tanya Sarah lantang sekali. Tatkala itu hanya ada Sarah, Zana, Ajmal, Mariam Qistina dan Dora sahaja di dalam kelas. Manakala pelajar-pelajar lain sudah berada di kantin untuk menjamu selera.
“ Hah itulah yang aku pelik. Orang tak cari fasal tiba-tiba dia pula cari fasal!” Sokong Ajmal pula.
Zana yang bercekak pinggang juga mengangguk kepala mengiakan kata-kata Ajmal itu.
Mariam Qistina memandang Dora dengan perasaan serba salah. Ibunya selalu berpesan supaya menjauhkan diri daripada Sarah untuk mengelak daripada tercetusnya pergaduhan antara mereka. Tetapi malangnya Sarah seolah-olah sengaja mahu mencari fasal dengannya. Itu yang membuatkan dia mula rasa mahu meradang. Namun dia cuba menahan sabar.
“ Do…kau tak payah la nak cari fasal dengan diaorang. Buat bodoh je,” kata Mariam Qistina dengan suara yang cukup perlahan agar tidak di dengari oleh Sarah and the gang yang berada di barisan belakang kelas manakala mereka pula berada di barisan paling hadapan kelas.
“ Mana boleh buat bodoh. Diaorang dah melampau. Kalau kau tak berani biar aku yang kerjakan mereka ini,” balas Dora pula.
“ Hah apasal bisik-bisik pula tu? Nak mengumpat kitaorang ke?” Tanya Zana yang perasan dengan gelagat musuh ketatnya itu.
“ Alah si pengecut tu nak minta tolong kawannya baking le tu. Alahai pengecut. Harap badan je besar tapi hati kecil!” Kata Sarah disambut oleh tawa daripada rakan-rakannya yang lain.
Mariam Qistina yang sakit hati mula menjeling kepada mereka. Mahu sahaja dia membalas setiap perlian pedas daripada mereka namun dia terus bersabar. Kata mama sabar itu adalah separuh daripada iman  kerana sebagai seorang manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan begitu jugalah dengan dirinya dan Sarah. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan bersabar serta tidak membesarkan kelemahan itu.
“ Kau tengok tu Qis, diaorang boleh cakap kau pengecut, kau boleh cool lagi,” bisik Dora di telinga Mariam Qistina.
Mariam Qistina hanya tersenyum lalu berkata,
“ Sabar Do. Sabar itu separuh daripada iman.”
Dora juga turut tersenyum apabila mendengarkan kata-kata Mariam Qistina. Memang benar Mariam Qistina lebih matang daripadanya. Walaupun mereka sebaya namun Mariam Qistina bijak menangani masalah yang sedang dihadapinya. Tidak dinafikan kalau Mariam Qistina melayan karenah Sarah and the gang pastinya akan tercetusnya pergaduhan yang lebih teruk lagi.
Sarah yang melihat senyuman musuh ketatnya mula sakit hati. Dia merasakan mereka berdua sedang mempersendakan dirinya. Darahnya mula mendidih. Lalu tanpa menunggu sesaat pun dia terus mendapatkan Mariam Qistina.
“ Hei apasal kau tersenyum tadi? Kau mengata aku ke?” Marah Sarah yang sudah menolak Mariam Qistina dengan tangannya.
Mariam Qistina nyata terkejut dengan tindakan ganas Sarah terhadapnya. Nasib baik ada Dora yang sempat menyambutnya. Kalau tidak sudah pasti dia sudah tersungkur di lantai dan akan di ketawakan oleh Sarah and the gang.
“ Kenapa dengan kau ni Sarah? Apasal kau tolak dia tanpa sebab?” Tanya Dora yang semakin berang.
Ajmal dan Zana juga sudah berada di sebelah Sarah. Kononnya ingin membantu mencetuskan lagi pergaduhan yang lebih besar.
“ Suka hati akulah. Yang dia ni kenapa nak sakitkan hati aku?” Kata Sarah yang sudah membuntangkan biji matanya. Melihatkan wajah Mariam Qistina membuatkan hatinya semakin meradang. Dia tahu Mariam Qistina berlagak baik dihadapan mereka. Kononnya dialah Cinderella Malaysia. Ah menyampah betul!
“ Bila masa aku sakitkan hati kau Sarah?” Tanya Mariam Qistina. Kali ini dia tidak boleh bersabar lagi. Sarah sudah melampau. Dia juga ada maruah dan harga diri yang perlu dipertahankan.
“ Ooo ada mulut rupanya! Ingatkan bisu tadi!” Kata Ajmal sambil menjuihkan bibirnya.
“ Kau orang berdua boleh tak diam? Biar Qis dengan Sarah je yang bercakap. Biar diaorang berdua luahkan apa yang diaorang tak puas hati antara mereka!” Nasihat Dora kepada Ajmal dan Zana.
Ajmal dan Zana pula hanya mencebikkan bibir seolah-olah mempersendakan kata-kata Dora sebentar tadi. 
“ Apa yang kau tak puas hati dengan aku Sarah?”Akhirnya Mariam Qistina melemparkan apa yang sedang terbuku di hatinya.
Sarah tersenyum mengejek dengan persoalan yang dilemparkan oleh Mariam Qistina kepadanya. Tahukah Mariam Qistina bahawa sebenarnya hatinya cukup tersiksa melihat kejayaan demi kejayaan yang diperolehi oleh Mariam Qistina?
“ Kau tanya aku apa yang aku tak puas hati? Sepatutnya kau cermin diri kau sendiri apa yang dah kau buat sampai aku benci sangat dengan kau!” Kata Sarah sambil bercekak pinggang.
“ Hah betul tu. Ada otak tu fikir. Patutnya kau suluh diri kau dahulu!” Sokong Zana manakala Ajmal turut menganggukkan kepalanya.
Mariam Qistina mencemikkan mulutnya. Dia langsung tidak nampak di mana salahnya sehinggakan Sarah bertindak sebegini kepadanya. Bukankah Sarah yang suka mencari fasal dengannya? Sedangkan dia sendiri sudah banyak kali mengalah dengan Sarah. Kebanyakan pergaduhan yang tercetus antara mereka disebabkan perasaan iri hati kepada kejayaan dan usahanya selama ini. Sarah hanya tahu mengutuk, memperlekeh dan mengumpat di atas kejayaan yang diperolehinya.
“ Minta maaflah kalau aku mencelah. Selama ini aku tak pernah nampak salah Qis. Bukankah selama ini kau yang selalu mencari fasal dengan Qis sedangkan Qis tak pernah ganggu pun hidup kau. Jadi aku rasa lebih baik kau yang cerminkan diri kau bukannya Qis,” kata Dora.
“ Kurang ajar!” Marah Sarah.
Dengan tidak di sangka-sangka Sarah terus menerpa ke arah Mariam Qistina lalu terus menarik rambut Mariam Qistina. Mariam Qistina yang nyata terkejut terus menjerit dan cuba menyelamatkan diri. Dia mengerang kesakitan apabila anak-anak rambutnya terikut-ikut rentak rentapan Sarah sedangkan  rambutnya itu tetap melekat kukuh di kulit kepalanya. Manakala Dora pula turut dibelasah oleh Zana dan Ajmal.

No comments:

Post a Comment