Tuesday 19 June 2012

Antara Dendam Dan Rindu Bab 10


Mariam Qistina membuka matanya. Dia berasa pelik melihat begitu ramai tetamu yang hadir di rumahnya hari ini. Adakah mereka sedang mengadakan kenduri kesyukuran? Tetapi peliknya kebanyakan tetamu yang hadir sedang membaca yasin. Apa yang sedang terjadi di rumahnya tatkala ini?
Mariam Qistina terlihat kelibat Irdina yang berlari-lari di sekeliling rumah. Tidak dihiraukan kepada tetamu yang kusyuk membaca surah Yassin. Segera Mariam Qistina bangun. Dia ingin mendapatkan mama dan papanya.
Sebaik sahaja perkataan mama dan papa terlintas dibenak hatinya jantungnya bagaikan terhenti. Badannya menggigil hebat. Langkah yang sedang diorak terasa semakin lemah. Akhirnya Mariam Qistina terus terjelopok.
Irdina yang perasan terus berlari mendapatkan Mariam Qistina. Anak kecil itu masih setia dengan senyumannya.
” Akak..atuh...” kata Irdina dalam pelatnya. Dia menunding jari telunjuknya ke arah kakaknya kepada seorang tetamu yang sedang memerhatikan gelagat mereka.
Tetamu itu terus mendapatkan Irdina manakala Kak Siti datang membantu Mariam Qistina bangun.
” Kuatkan hati Qis. Kita sebagai hambaNya kena terima takdir yang telah Allah tentukan kepada kita. Ingatlah Allah lebih sayangkan mama dan papa Qis. Mari Kak Siti bawa Qis jumpa arwah buat kali terakhir,” pujuk Kak Siti.
Hujan di hati Mariam Qistina makin lebat. Airmata yang sudah menjadi sahabat setianya mula menuruni pipinya yang sudah pucat. Dia memandang Kak Siti supaya Kak Siti faham rasa hatinya saat ini.
” Mama dan papa mana, Kak Siti? Qis nak tengok mereka,” kata Mariam Qistina sambil tersedu.
Sebaik sahaja mendengar perkataan mama dan papa Irdina pula terus melepaskan diri dari pelukan tetamu tadi dan terus berlari kepada Mariam Qistina.
” tu mama...papa...ma tidur.....pa pun tidur,” kata Irdina sambil tangannya menunjukkan ke arah dua kujur tubuh yang sudah ditutup mukanya dengan sehelai kain. Itu kain batik papa dan mama.
Mariam Qistina terus memeluk Irdina yang masih tidak mengerti. Tetamu yang hadir di situ terus menyepikan diri. Ada beberapa orang yang turut menangis kerana simpati. Begitu juga dengan Kak Siti.
” Jom akak....ita umpa mama ngan papa..” kata Irdina setelah Mariam Qistina meleraikan pelukannya.
Wajah Irdina masih begitu. Dia masih tersenyum seperti selalunya. Anak kecil itu masih tidak tahu bahawa sebenarnya kedua ibu bapanya sudah pergi buat selamanya. Mariam Qistina semakin pilu.
Irdina terus menarik tangan kakaknya sambil melangkah ke arah dua jasad yang sedang kaku di pembaringan.
” Akak..kejutkan mama..adik nak main ngan mama....” kata Irdina dalam pelatnya.
Mariam Qistina terasa ingin meraung apabila mendengar bicara Irdina yang nyata tidak mengerti itu. Ada seorang tetamu yang duduk berhampiran mayat membuka kain yang menutupi wajah Puan Seri Nor Aini dan Tan Sri Mohd Jamil.
Sekali lagi Mariam Qistina terus terjelopok di situ.
” Mama...papa....kenapa begitu cepat Allah nak ambil nyawa mama dan papa? Siapa yang nak jaga Qis? Siapa yang nak jaga adik ma, pa? Tengoklah Irdina masih tak mengerti apa-apa. Ya Allah betapa beratnya dugaanMu kepada kami Ya Allah,” tangis Mariam Qistina.
” Mama..bangun ma..” kata Irdina sambil mengoncang bahu Puan Seri Nor Aini yang kaku.
Pantas Mariam Qistina mendapatkan adiknya. Dia terus memeluk Irdina entah untuk kali ke berapa.
” Mama dah tak ada dik. Mama dan papa dah tinggalkan kita buat selamanya,” beritahu Mariam Qistina. Dia mengelap gugusan airmatan yang sedang laju menuruni pipinya dengan kedua belah tapak tangannya. Irdina tersenyum lagi membuatkan hati Mariam Qistina tersentuh hebat.
” Akak tipu....tu mama...tu papa...” ujar Irdina lagi sambil menunding jarinya kepada kedua jasad yang sudah kaku.
” Adik....mama dan papa sudah tiada dik...” kali ini suara Mariam Qistina agak tinggi sedikit. Dia berasa marah dengan sikap Irdina itu walaupun sebenarnya dia tahu Irdina masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.
” Sudahlah Qis. Irdina masih tidak faham apa-apa lagi. Dia masih kecil. Qis ajaklah Irdina cium arwah buat kali terakhir. Selepas ini arwah akan dikapankan dan dikebumikan,” perlahan suara Kak Siti memberitahu.
Maraiam Qistina terus mengelap airmatanya yang tidak jemu-jemu meneroka kolam matanya itu. Mengapa airmatanya ini begitu payah sekali mahu berhenti sedangkan dia ingin mencium arwah kedua ibubapanya buat kali terakhir?
Mariam Qistina terus merenung lama wajah kedua ibu bapanya. Tenang sungguh wajah mereka seolah-olah mereka sedang lena dalam tidur. Memang benar kata Irdina sebentar tadi mama dan papanya sedang tidur. Tapi kali ini mereka akan tidur buat selama-lamanya. Dada Mariam Qistina sudah berombak kuat mengepung kepedihan yang sedang bermajarela saat ini.
” Cium mama, dik,” kata Mariam Qistina  kepada Irdina yang masih setia disisinya.
Irdina memandang ke arahnya. Dia kemudiannya tersenyum dan terus menggangguk berkali-kali. Seolah-olah begitu gembira apabila diberi kebenaran untuk mencium ibu dan bapannya. Ya sebenarnya Irdina terlalu merindui kedua orang tuanya.
Pantas sekali Irdina bangun mendapatkan kedua ibu bapanya. Dengan penuh kasih, Irdina terus mencium dahi kedua ibu bapanya. Kemudian dia beralih pula di kedua belah pipi mereka.
” Adik sayang mama....adik saaaayang papa,” kata Irdia selepas dia mencium kedua-dua jasad tersebut.
” Bye..bye mama...bye...bye papa...adik nak main dengan akak jap..” kata Irdina sambil melambaikan tangan kepada kedua ibu bapanya. Kemudian dia terus berlari mendapat Mariam Qistina.
Mariam Qistina langsung tidak memperdulikan Irdina yang masih tersenyum kepadanya. Dipandang lama wajah kedua ibu bapanya buat kali terakhir. Sedaya upaya Mariam Qistina menahan dirinya daripada terus meratap. Dia terus menyeka airmatanya.
Kemudian Mariam Qistina mengucup lembut kedua-dua belah pipi dan dahi Puan Seri Nor Aini. Kemudian kucupannya beralih kepada Tan Sri Mohd Jamil dengan perasan kasih.
” Maafkan Qis papa, mama. Halalkan makan minum Qis dan adik.”   
Dia masih tidak puas. Sekali lagi kedua-dua belah pipi kedua orang tuanya dicium penuh kasih.
” Qis akan jaga adik dengan baik seperti mana papa dan mama jaga Qis dulu. Berehatlah di sana pa, ma. Berehatlah daripada ujian dunia.” Kata Mariam Qistina yang sudah semakin tabah.

No comments:

Post a Comment